Soalan Lazim Berkaitan Tentang Penyakit Influenza A (H1N1) – KKM

Sumber: www.dxna.com

Sumber: www.dxna.com

Apakah penyakit Influenza A (H1N1)?

Influenza A (H1N1) adalah sejenis penyakit berjangkit pada saluran pernafasan yang disebabkan oleh virus influenza A (H1N1). Ia merupakan sebahagian daripada influenza bermusim (seasonal influenza). Ini disebabkan cara jangkitan, tanda-tanda jangkitan dan risiko untuk mendapat jangkitan dan komplikasi akibat Influenza A (H1N1) adalah serupa dengan influenza bermusim (seasonal influenza) yang lain. Bilakah penyakit Influenza A(H1N1) berlaku?

Rantau beriklim sederhana (temperate regions) seperti Negara Amerika Syarikat, mempunyai variasi musim penularan influenza yang jelas, dengan kemuncak penularan yang selalunya berlaku pada musim sejuk. Ini berbeza dengan rantau tropika (seperti Malaysia), di mana tiada musim penularan influenza yang jelas atau dengan kata lain, ianya berlaku sepanjang tahun.

Apakah gejala/tanda-tanda jangkitan virus ini?

Gejala/tanda-tanda jangkitan virus influenza A (H1N1) adalah serupa dengan gejala Influenza-like-Illness (ILI) iaitu seperti demam, batuk, sakit tekak, selesema, sakit badan, sakit kepala, badan berasa sejuk dan lesu. Terdapat juga individu yang dijangkiti virus ini mengalami cirit-birit dan muntah.

Kebanyakan orang yang dijangkiti hanya mendapat gejala/tanda-tanda ringan. Namun begitu, terdapat sebilangan kecil pesakit terutamanya golongan berisiko tinggi mendapat gejala/tanda-tanda teruk sepertipneumonia (jangkitan paru-paru), encephalitis (jangkitan otak), carditis(jangkitan jantung) serta menyebabkan penyakit yang telah dihidapi (seperti asma) bertambah teruk.

Bagaimana kita boleh dijangkiti?

Cara jangkitan virus influenza bermusim termasuk Influenza A (H1N1) di dalam komuniti adalah melalui cecair (droplet) batuk atau bersin daripada pesakit yang dijangkiti Influenza A (H1N1).

Titisan cecair pernafasan yang keluar akan terkena tangan pesakit, permukaan-permukaan (surfaces) atau tersebar ke udara. Seseorang boleh dijangkiti sama ada melalui pernafasan; melalui sentuhan dengan tangan pesakit atau menyentuh permukaan-permukaan yang tercemar dengan titisan cecair pesakit.

Berapa lamakah orang yang dijangkiti boleh menyebarkan virus ini?

Selagi mereka/pesakit mempunyai gejala penyakit ini. Biasanya sehingga tujuh (7) hari daripada tarikh mula mengalami gejala penyakit ini terutamanya semasa demam

Siapakah golongan berisiko tinggi untuk dijangkiti?

Golongan berisiko tinggi terdiri daripada kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis (diabetes).

Adakah terdapat vaksin khusus untuk melindungi diri daripada Influenza A (H1N1)?

Orang awam terutamanya golongan berisiko tinggi boleh mendapatkan pelalian vaksin influenza bermusim yang turut meliputi Influenza A(H1N1) di fasiliti kesihatan swasta yang kini berada di pasaran.

Terdapatkah ubat untuk merawat penyakit ini?

Terdapat ubat antiviral seperti oseltamivir (Tamiflu®) dan zanamivir (Relenza®) yang boleh digunakan untuk merawat penyakit ini. Ubat ini hanya diberikan kepada pesakit-pesakit yang dimasukkan ke hospital.

Langkah – langkah pencegahan yang boleh diambil oleh orang awam

 Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa:

  • Mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, amalan kerap mencuci tangan menggunakan air dan sabun atau hand sanitiser dan mengamalkan adab batuk yang baik;
  • Mengamalkan cara hidup yang sihat.
  • Bagi mereka yang mempunyai gejala Influenza-like-Illness (ILI) adalah dinasihatkan tidak pergi ke tempat tumpuan ramai/tempat kerja dan perlu mendapatkan rawatan segera di klinik yang berhampiran.

Adakah pesakit influenza A (H1N1) perlu dikuarantin?

Pesakit influenza A (H1N1) TIDAK perlu dikuarantin. Namun begitu, sekiranya anda berasa TIDAK SIHAT atau mengalami gejala selesema:

  • Anda dinasihatkan untuk berada di rumah dan elakkan berada di tempat kerja, sekolah atau tempat sesak;
  • Berehat dan meminum banyak air;
  • Tutup mulut dan hidung bila batuk dan selesema dan, jika menggunakan tisu, buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah. Bersihkan tangan segera dengan sabun dan air atau bersihkan dengan bahan cuci berasaskan alkohol;
  • Jika anda tidak mempunyai tisu ketika batuk atau bersin, tutup mulut dan hidung dengan dengan lengan dan siku anda;
  • Gunakan mask bagi mengelakkan titisan cecair tersebar kepada orang lain di sekeliling anda. Pastikan anda memakai mask dengan cara yang betul; dan
  • Jika perlu mendapatkan rawatan lanjut ataupun gejala bertambah teruk seperti demam dan batuk/sakit tekak yang berterusan hendaklah segera berjumpa doktor untuk pemeriksaan.

Kalau seseorang pesakit positif H1N1 dan telah sembuh, adakah beliau boleh hadir ke tempat kerja/institusi seperti biasa?

Ya, beliau boleh hadir ke tempat kerja/institusi seperti biasa. Secara umumnya seseorang pesakit yang telah mendapat rawatan lengkap, tidak akan menjangkiti orang lain.

Apakah langkah – langkah yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)?

Sebagai langkah – langkah kesiapsiagaan, KKM melakukan pemantauan situasi influenza di negara ini bagi mengesan kejadian luar biasa melaluiInfluenza Surveillance System (MISS) termasuk Influenza-like Illness (ILI), pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan severe acute respiratory infection (sARI) dan juga pesakit dengan jangkitan saluran pernafasan yang teruk yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga bertanggungjawab bagi memantau jenis virus influenza di Malaysia.

Disediakan oleh:

Bahagian Kawalan Penyakit

Kementerian Kesihatan Malaysia

15 MEI 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box