SITUASI SEMASA KEJADIAN PENYAKIT TANGAN, KAKI DAN MULUT (HFMD) DI MALAYSIA- KKM

11149446_10152688181456237_5345376931084469096_nKementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga ingin memaklumkan mengenai situasi semasa penyakit tangan, kaki dan mulut atau “Hand, Foot And Mouth Disease” (HFMD) di Malaysia. Penyakit HFMD adalah endemik di Malaysia dan berlaku sepanjang tahun. Sehingga hari terakhir minggu epid 14/2015 (11 April 2015), sejumlah 13,497 kes HFMD telah dilaporkan dengan purata  kes dilaporkan seminggu di seluruh negara sebanyak 964 kes. Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 83% jika dibandingkan dengan minggu yang sama pada tahun 2014 di mana sebanyak 7,368 kes telah dilaporkan dengan purata mingguan sebanyak 526 kes.

Negeri Sarawak menyumbangkan jumlah kes terbesar setakat ini berbanding negeri lain iaitu 6,333 kes (46.9%), diikuti oleh Selangor 2,727 kes (20.2%), Johor 919 kes (6.8%), WPKL 661 kes (4.9%), Perak 642 kes (4.8%) dan Sabah 593 kes (4.4%), sementara negeri-negeri lain kurang dari 400 kes. Pada tahun 2015, Negeri Johor melaporkan sebanyak 919 kes iaitu peningkatan kes HFMD sebanyak 410 kes (81%) tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun 2014 (509 kes). Manakala satu kes kematian disyaki HFMD telah dilaporkan di negeri Johor dan pihak kementerian masih menunggu keputusan daripada Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sg. Buloh, Selangor.

Hasil pemantauan 120 sampel virus HFMD sehingga 7 Mac 2015 oleh Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan pula mendapati 39 sampel (32%) positif virus Enterovirus 71 (EV 71) dan 14 sampel (12%) positif virus Coxsackie A16.

Penyakit HFMD disebabkan oleh enterovirus dengan majoriti adalah disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV 71). Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis mereka yang berpenyakit dan tempoh inkubasi adalah antara 3-5 hari. Kebiasaan jangkitan adalah ringan(mild) dengan simptom demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Hampir keseluruhan pesakit yang mengidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan perubatan dalam masa 7 ­ke 10 hari. Kanak-kanak juga boleh mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, muntah, cirit birit dan kurang selera makan. Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti ensefalitis dan myocarditis namun, ianya jarang berlaku.

Penyakit HFMD ini berkait rapat dengan amalan kebersihan diri dan persekitaran. Jangkitan penyakit HFMD berlaku apabila manusia terdedah kepada kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis mereka yang berpenyakit.  Penyakit ini cepat menular dengan kadar hampir 100% di kalangan kanak-kanak kecil kurang dari 10 tahun terutamanya di premis tempat tumpuan kanak-kanak seperti di taska/tadika. Justeru, KKM ingin menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan supaya:

  1. Tidak membawa anak ke tempat-tempat awam/ sekolah / taska / tadika / pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan.
  2. Membawa anak yang mempunyai tanda jangkitan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.
  3. Mengamalkan kebersihan dengan mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin, dan selepas menyentuh / merawat lepoh dan semasa mencuci najis kanak-kanak tersebut.
  4. Membersihkan (basmi kuman menggunakan larutan chlorine based)permainan anak serta lantai rumah terutama tandas.
  5. Memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul.
  6. Menggunakan peralatan makan dan minum yang berasingan dan tidak berkongsi barangan dengan anak-anak yang lain.
  7. Pihak pengusaha TASKA, TADIKA dan lain-lain pusat jagaan kanak-kanak disarankan supaya mengadakan saringan di pintu-pintu masuk (gate-keeping) bagi memastikan tiada tanda-tanda jangkitan HFMD sebelum kanak-kanak dibenarkan memasuki premis.

KKM sentiasa memantau kejadian penyakit HFMD di seluruh negara dan mengambil tindakan kawalan dan pencegahan. Untuk makluman, penyakit HFMD merupakan penyakit berjangkit yang perlu dinotifikasi mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Orang ramai boleh melaporkan kejadian kes HFMD di premis taska/tadika/sekolah ke Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat.

Sekian, terima kasih.

YB DATUK SERI DR. S.SUBRAMANIAM

MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box