Situasi Demam Denggi di Malaysia Bagi Minggu 41 – KKM

dengueSepanjang minggu ke 41 tahun 2014 iaitu bagi tempoh 5 Oktober hingga 11 Oktober, sejumlah 1,822 kes Demam Denggi telah dilaporkan, menurun 318 kes (15%) berbanding dengan minggu sebelumnya iaitu 2,140 kes. Namun begitu masih terdapat enam (6) negeri yang menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Johor, Pulau Pinang, Kedah, Pahang, Perlis dan WP Kuala Lumpur & Putrajaya. Manakala dari Januari hingga 11 Oktober 2014, kumulatif kes Denggi yang dilaporkan di seluruh negara adalah 80,578 kes, meningkat 221% (55,459 kes) berbanding dengan hanya 25,119 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama pada tahun 2013.

Pada minggu lepas, terdapat empat (4) kematian akibat komplikasi Denggi dilaporkan iaitu masing-masing di Sabah, WP Kuala Lumpur, Johor dan Perak. Kesemua kes telah disahkan meninggal akibat komplikasi Demam Denggi. Sehingga 11 Oktober 2014, kumulatif kematian denggi yang dilaporkan di seluruh negara berjumlah 153 kematian berbanding dengan 55 kematian yang dilaporkan bagi tempoh sama tahun 2013.

Sehingga 11 Oktober, sejumlah 612 lokaliti wabak yang masih aktif dilaporkan di seluruh negara melibatkan 402 lokaliti di Selangor, 88 lokaliti di Kelantan, 35 lokaliti di Johor, 25 lokaliti di Sarawak, 11 lokaliti di Pulau Pinang, 10 lokaliti di WP Kuala Lumpur & Putrajaya, 10 lokaliti di Pahang, sembilan (9) lokaliti di Melaka, tujuh (7) lokaliti di Perak, lima (5) lokaliti di Terengganu, empat (4) lokaliti di Sabah, tiga (3) lokaliti di Kedah, dua (2) lokaliti di Negeri Sembilan serta satu (1) lokaliti di Perlis. Daripada jumlah ini, terdapat 113 lokaliti hotspot dilaporkan di seluruh negara iaitu 65 lokaliti di Selangor, 45 lokaliti di Kelantan dan masing-masing satu (1) lokaliti di Sarawak, Sabah dan Perak.

Daripada pemantauan KKM, sebanyak 82,747 premis telah diperiksa dengan 1,186 premis didapati terdapat pembiakan Aedes pada minggu lepas dengan menunjukkan kadar pembiakan Aedes 1.4 %. Kawasan yang menyumbangkan kepada kadar pembiakan Aedes (A.I) tinggi diseluruh negara adalah Tanah Perkuburan (8.8%), Tapak Binaan (5.8%), tanah/Lot Kosong (5.3%), Tempat Ibadat (4.5%), Tempat Pembuangan Sampah (4.1%), Sekolah (3.8%), Taman Rekreasi (3%), Pejabat Kerajaan (2.5%) dan Kilang (2.1%). Kawasan-kawasan dengan kadar pembiakan Aedes yang tinggi ini berada berhampiran dengan kawasan persekitaran kita, samada kediaman, tempat kerja atau sekolah. Masyarakat juga perlu mengambil inisiatif dengan melaksanakan aktiviti gotong royong bagi menghapuskan tempat-tempat pembiakan Aedes setiap minggu dan KKM mengharapkan penglibatan semua ahli komuniti dalam melaksanakan aktiviti ini.

KKM juga sentiasa memastikan maklumat berkesan dapat disampaikan kepada masyarakat bagi meningkatkan lagi tahap kesedaran terhadap bahaya demam denggi. Empat (4) saluran rasmi boleh dilayari oleh masyarakat bagi mendapat maklumat tentang denggi iaitu portal web Kementerian Kesihatan Malaysia (www.moh.gov.my), idengue untuk komuniti (http://idengue.remotesensing.gov.my/idengue/index.php), facebook Crisis Prepadeness and Response Centre (https://www.facebook.com/kkmcprc) dan infosihat (www.infosihat. gov.my).

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box