Sakit Gigi – Dr. Husna Razak

Source: doctorasky.com

Source: doctorasky.com

Pernahkah anda terkebil-kebil berbaring di atas katil pada waktu tengah malam hingga ke dinihari kerana gigi anda sakit berdenyut-denyut? Puas berbaring, anda duduk. Puas duduk, anda berdiri. Namun sakit gigi tidak juga hilang, malah anda hampir saja menghantukkan kepala sendiri ke dinding dek sakit yang tidak terperi.

Sakit gigi boleh bermula dengan tiba-tiba atau secara beransur-ansur, juga sakit sepanjang masa atau cuma sakit akibat stimulasi. Sebab utama sakit gigi terjadi adalah apabila pulpa (lapisan gigi paling dalam di mana terdapatnya tisu lembut yang terdiri daripada salur darah dan saraf yang sensitif) meradang.

Sebab-sebab utama radang pulpa adalah:

  • Karies gigi.

Karies gigi yang dibiarkan untuk tempoh panjang sehingga mencapai tahap kronik adalah sebab utama anda sakit gigi. Pada mulanya, karies cuma ada pada permukaan enamel (lapisan paling luar). Jika dibiarkan, ia akan mula merebak ke lapisan dentin (lapisan kedua, antara enamel dan pulpa). Karies pada dentin boleh menyebabkan rasa ngilu atau sakit ketika anda mengambil minuman sejuk.

Tanpa rawatan yang sepatutnya, karies akan merebak ke pulpa. Apabila karies tiba di pulpa, kuman mula memainkan peranannya; melakukan kemusnahan berganda. Pulpa yang terkesan teruk akibat karies ini akan mati, lalu kuman karies akan mengembara melalui saluran akar dan menyebabkan terjadinya abses (pembentukan nanah). Abses boleh menyebabkan kebengkakan dan sakit berdenyut-denyut yang berterusan sehinggalah rawatan yang sesuai diberikan.

  • Gigi retak (cracked tooth).

Retakan pada gigi muncul dengan jalur retak yang halus yang kadang-kadang tidak kelihatan pada mata kasar. Jika doktor anda mengesyaki gigi anda sakit kerana retak, terdapat beberapa ujian yang boleh dilakukan untuk mengesahkan keadaan ini.

  • Tampalan lama yang telah longgar, pecah atau tercabut.

Setelah beberapa tahun, tampalan lama pada gigi mungkin akan mengalami sedikit kerosakan. Ia mungkin pecah sedikit di bahagian tepi, longgar atau tercabut. Semua keadaan ini boleh menyebabkan ‘kebocoran’ yang boleh membuka jalan kepada kuman untuk masuk ke dalam gigi dan menyebabkan jangkitan atau karies.

  • Gusi mengecut (receding gum).

Akibat penyakit gusi kronik, gusi boleh mengecut dan mendedahkan bahagian akar gigi. Bahagian akar gigi lebih sensitif kepada haba berbanding bahagian korona, jadi gigi mungkin akan terasa ngilu setiap kali anda cuba menikmati minuman berais. Terdedahnya akar gigi juga bermakna akar cenderung kepada pembentukan karies yang seterusnya boleh menyebabkan kesakitan.

Selain itu, terdapat beberapa kondisi yang boleh menyebabkan sakit menyerupai sakit gigi walaupun gigi berkenaan sihat dan tiada radang pulpa, iaitu:

  • Abses pada gusi (periodontal and gingival abscess).

Pengumpulan nanah pada gusi disebabkan oleh jangkitan kuman akibat trauma atau penyakit gusi kronik. Oleh kerana bengkak sering didapati berdekatan dengan gigi, kesakitan yang dialami boleh disalah tafsir sebagai sakit gigi.

  • Ulser pada gusi berdekatan gigi.
  • Sakit ketika gigi hendak keluar, contohnya gigi bongsu.

Ketika gigi bongsu keluar, gusi di sekelilingnya boleh dijangkiti kuman dan membengkak sekiranya kebersihan tidak dijaga dengan teliti. . Sakit gigi bongsu juga kadang-kadang boleh merebak sehingga ke rahang dan telinga.

  • Sinusitis atau resdung.

Oleh kerana akar gigi atas selalunya terletak berdekatan sinus (terutamanya maxillary sinus) dan saraf pada bahagian muka saling berkaitan antara satu sama lain, sinusitis boleh menyebabkan anda rasa sakit pada gigi terutamanya gigi atas di bahagian belakang.

  • Sakit pada sendi rahang (temporomandibular joint).

Temporomandibular joint (TMJ) adalah sendi yang menghubungkan rahang bawah anda kepada tengkorak. Sekiranya TMJ mengalami trauma atau sebarang sindrom, sakit yang dirasai boleh mirip seperti sakit gigi.

Rawatan sakit gigi.

Jenis rawatan untuk sakit gigi bergantung kepada penyebab sakit tersebut. Oleh yang demikian, doktor gigi anda akan memeriksa dan melakukan ujian seperti x-ray untuk mengesahkan punca kesakitan dan mencadangkan rawatan yang sesuai seperti tampalan, rawatan salur akar (root canal treatment) atau cabutan. Penggunaan ubat tahan sakit hanyalah penyelesaian sementara. Punca sakit gigi itu sendiri harus ditangani dan dihapuskan dengan rawatan spesifik yang akan diterangkan dengan lebih lanjut oleh doktor gigi anda.

Rawatan terbaik untuk sakit gigi adalah pencegahan. Kebanyakan punca yang telah dihuraikan secara ringkas di atas boleh dielakkan dengan menjaga kebersihan mulut anda dengan baik dan lengkap setiap hari. Memberus gigi, flos, mengurangkan makanan dan minuman bergula serta berhenti merokok adalah cara terbaik untuk mencegah sakit gigi. Semuanya bermula daripada anda, dan sekarang masih tidak terlalu lewat untuk mengambil langkah pertama.

Dr. Husna Razak (BDS) (KLE VK) seorang pegawai pergigian yang bekerja di Kelantan. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

Rujukan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box