Pesakit Dialisis dan Risiko Kemurungan- Dr Nur Hidayati

Kurang upaya. Hilang punca pendapatan. Tiada kebebasan. Terasing dari dunia luar. Gelap masa hadapan.

DialysisInilah antara perkara yang berlegar di dalam fikiran seseorang yang baru mengetahui bahawa buah pinggang mereka tidak lagi berfungsi dengan baik. Inilah yang terdetik di hati sesiapa yang perlu menjalani rawatan dialisis.

Apabila seseorang itu dibebankan dengan penyakit kronik sebegini, amatlah mudah untuk mereka terjerumus ke perangkap kemurungan. Ramai pesakit merasa masa hadapan mereka kian malap. Mereka mula mengasingkan diri dari dunia luar kerana tidak mahu membebankan orang sekeliling mereka. Ada juga yang menjauhkan diri dari masyarakat kerana malu melihatkan diri mereka yang kurang normal dengan salur kateter melekat di leher atau perut.

Ada juga yang merasakan hilang nikmat hidup apabila mereka menghidapi kegagalan buah pinggang. Mereka tidak dapat lagi makan seperti orang lain. Setiap hari – mereka perlu mencatu jumlah air yang diminum. Mereka tidak lagi boleh makan sesuka hati. Berbagai pantang larang yang perlu diamalkan sehingga ada yang terus hilang selera untuk makan.

Ramai pesakit kegagalan buah pinggang yang takut untuk menjalani dialisis kerana mereka fikir – hidup dengan rawatan dialisis adalah menyedihkan. Ada juga yang merasakan rawatan dialisis akan terus melemahkan mereka hingga tahap mereka tidak mampu lagi menjalani kehidupan normal.

Jangan sembunyikan perasaan gundah ini. Kongsikan kerisauan dan kepiluan di hati. Kepada anda yang mempunyai keluarga atau rakan taulan terdekat yang baru disahkan dengan masalah buah pinggang, hulurkanlah bahu anda untuk mereka berkongsi perasaan dan meluahkan kesedihan mereka. Berikanlah dorongan dan sokongan untuk mereka teruskan hidup dengan lebih positif. Jangan biarkan mereka keseorangan untuk melalui dugaan ini.

Kepada ahli perubatan sekalian – bukalah mata anda dan pantau para pesakit anda. Jika mereka menunjukkan tanda-tanda kemurungan, bertindaklah segera dan pastikan mereka mendapat bantuan serta rawatan lanjut. Bukan sahaja pesakit buah pinggang boleh mengalami kemurungan, mana-mana pesakit penyakit kronik berisiko untuk mengalami tanda-tanda kemurungan.

Antara tanda-tanda penyakit kemurungan

  1. Perasaan sedih ataupun rasa baran dan marah setiap waktu melebihi atau selama dua minggu. Mereka mungkin kelihatan asyik bersedih dan kerap menangis secara tiba-tiba.
  1. Tiada semangat ataupun kurang minat dengan perkara yang disukai.
  1. Susut berat badan dan kurang selera makan
  1. Perubahan corak tidur seharian. Ada pesakit sukar untuk tidur (insomnia) atau asyik tertidur seharian.
  1. Perubahan dalam melakukan aktiviti seharian, sama ada terlebih aktif atau kurang aktif.
  1. Kerap letih dan kurang bertenaga
  1. Suka menyalahkan diri sendiri
  1. Kurang ketekunaan dan sukar untuk menumpu perhatian terhadap kerja seharian
  1. Mempunyai keinginan mahupun perasaan mahu membunuh diri atau tidak mahu meneruskan hidup.

Beringatlah – tugas anda bukan sekadar menyihatkan tubuh badan pesakit. Anda juga perlu menyembuhkan hati mereka.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box