Perubatan Alternatif: Apa Yang Anda Perlu Tahu – Khairul Naim bin Zainal Abidin

Source: www.avecinia.com

Source: www.avecinia.com

Bidang perubatan seringkali dibahagikan kepada dua cabang besar, iaitu perubatan moden dan perubatan alternatif. Sebelum kedatangan ilmu pengetahuan Barat yang berasaskan ilmu sains, kaedah rawatan di kalangan masyarakat di Malaysia banyak bergantung kepada kaedah perubatan tradisional yang berasaskan pengetahuan turun-temurun, penggunaan herba bahkan kaedah mistik. Sehingga abad ke 21, perubatan alternatif masih mendapat tempat di kalangan masyarakat negara ini. Sehubungan itu, pada tahun 2004, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menubuhkan sebuah bahagian yang dinamakan Bahagian Perubatan Tradisional & Komplementari, bertujuan untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat akses rawatan perubatan alternatif yang selamat dan berkesan.

Dengan perkembangan media massa terutamanya media baru seperti Facebook, Twitter, Instagram, Whatsapp, blog dan sebagainya, strategi aktiviti promosi produk kesihatan dan perubatan alternatif juga turut berevolusi ke arah yang lebih moden. Pelbagai produk & kaedah rawatan yang dikatakan mampu merawat pelbagai penyakit, termasuk penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kanser, kencing manis, masalah jantung dan sebagainya berlegar di ruang alam siber. Kaedah pengiklanan selalunya menggunakan kaedah visual yang memaparkan gambar pesakit yang kononnya pernah mencuba rawatan atau produk tersebut, di mana gambar pesakit sebelum mendapatkan rawatan dibandingkan dengan gambar pesakit selepas mendapatkan rawatan. Kaedah ini selalunya digabungkan dengan testimoni-testimoni individu yang dikatakan pernah menggunakan produk atau menjalani rawatan yang diiklankan.

Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh para pengguna sebelum membeli sebarang produk atau menggunakan rawatan perubatan alternatif iaitu:

Sekiranya melibatkan produk perubatan alternatif yang berbentuk sediaan farmaseutikal (contoh: kapsul, tablet, krim, suntikan, salap)

  • Pastikan produk tersebut berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (mempunyai pelekat logo hologram KKM dan mempunyai nombor pendaftaran MAL)
  • Pastikan produk tersebut tidak mempunyai dakwaan kebolehan untuk mengubat yang melampau (contoh: mampu memulihkan pelbagai jenis penyakit, terutamanya penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, penyakit jantung dan sebagainya)

Sekiranya melibatkan rawatan terapi alternatif (contoh: homeopati, refleksologi, akupuntur, bekam, rawatan amalan pengubatan Islam)

  • Pastikan pengamal perubatan tersebut tidak mengiklankan kebolehan untuk merawat atau mencegah penyakit-penyakit berikut:
    • Penyakit atau kerosakan buah pinggang.
    • Penyakit atau kerosakan jantung.
    • Diabetes
    • Epilepsi atau sawan.
    • Batuk kering.
    • Asma/lelah.
    • Ketagihan dadah.
    • Penyakit berkaitan mata.
    • Tekanan darah tinggi.
    • Gangguan mental.
    • Lemah nafsu seks
    • Masalah gangguan fungsi seks.
    • Penyakit berjangkit melalui seks.
    • Lain-lain masalah berkaitan fungsi seksual.
  • Pastikan pengamal perubatan alternatif tersebut tidak menawarkan khidmat perubatan moden seperti menawarkan suntikan, pembedahan atau pembedahan pergigian.

Seperti yang telah dibincangkan dalam artikel Ubat-Ubatan dan Kosmetik Berdaftar Dengan Kementerian Kesihatan, pengambilan produk yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia akan mendedahkan pengguna kepada risiko bahaya produk yang mungkin dicampur bahan kimia berbahaya dan dihasilkan dalam persekitaran yang tidak menepati piawai kebersihan yang sepatutnya. Bagi perkhidmatan rawatan perubatan alternatif pula, pengguna dinasihatkan agar mendapatkan khidmat nasihat daripada pengamal perubatan bertauliah atau daripada pegawai di Bahagian Perubatan Tradisional & Komplementari sebelum meneruskan hasrat untuk mendapatkan khidmat pengamal perubatan alternatif. Perkara ini penting bagi mengelakkan komplikasi yang tidak diingini di kemudian hari.

Sekiranya pengguna mengesyaki sesuatu produk kesihatan & kosmetik mencurigakan dan menyalahi undang-undang, salurkan maklumat kepada Bahagian Penguatkuasa Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-7841 3200 atau melalui sistem aduan atas talian bersepadu di laman sesawang berikut : http://moh.spab.gov.my/eApps/sdmscasepool/SdmsCasePool/add.do

Bagi sebarang aduan dan maklumat lanjut berkenaan info pengamal perubatan alternatif pula,pengguna boleh menghubungi Bahagian Perubatan Tradisional & Komplementari, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-2698 5077 atau dengan melayari laman sesawang mereka: http://tcm.moh.gov.my/v4/bmelayu/

 Khairul Naim bin Zainal Abidin seorang pegawai farmasi yang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box