Perlukah Berpantang Selepas Pembedahan? – Dr Ahmad Mahyuddin

Source: www.wikihow.com

Source: www.wikihow.com

Seorang remaja berusia 17 tahun masuk ke bilik konsultasi ku dengan bertongkat. Dia hanya tersenyum melihatku. Wajah yang amat ku kenali. “Apa khabar awak hari ni Adam?” Saya memula bicara.

Beliau duduk di kerusi di depanku. Ibunya pula hanya berdiri. Adam mengalami kepatahan pada tulang peha (femur bone) kanan beliau akibat kemalangan jalanraya 3 minggu yang lalu. Kami telah melakukan pembedahan ‘plating’ dimana kepatahan tulang femur tersebut telah dibetulkan dan distabilkan dengan sebatang besi (implant). Tanpa pembedahan ini, kepatahan tersebut akan sembuh dengan keadaan berselisih sebanyak 4 cm. Akibatnya, beliau akan tempang.

“Saya baik doktor, Alhamdulillah”. Luka ni pun dah sembuh. Tapi kadang-kadang masih ada rasa sengal-sengal kat peha kanan ni” Ujar beliau dengan penuh mesra. Saya memeriksa luka tempat pembedahan beliau. Terdapat parut sepanjang 15cm yag telah sembuh. Jahitan juga telah dibuka.

“Cantik luka awak ni Adam. Dah sembuh sepenuhnya” Saya senyum kepada beliau. “Makcik suruh dia berpantang doktor, lepas pembedahan tu, memang makcik tak bagi dia makan telur, ayam, ikan semua tu. Takut bernanah luka tu nanti”. Panjang lebar ibu beliau bercerita. Aku tersenyum kelat.

Masyarakat kita memang suka berpantang. Kalau tidak berpantang, takut luka bernanah atau lambat baik katanya. Namun, adakah ini benar? Adakah kajian saintifik yang membuktikan keberkesanan berpantang ini?

Terdapat beberapa faktor yang menentukan cepat atau lambatnya luka kita sembuh. Faktor-faktor ini termasuk:

  1. Saiz luka
  2. Sel darah merah (Hemoglobin) yang cukup
  3. Tiada jangkitan kuman yang berlaku
  4. Nutrisi atau zat makanan yang seimbang, terutamanya protein
  5.  Masalah kesihatan pesakit – seperti kencing manis, masalah hati, buah pinggang

Makanan seperti ikan, ayam dan telur sebenarnya amat kaya dengan zat protin. Berpantang daripada mengambil makanan ini akan mendedahkan pesakit kepada risiko kekurangan zat protin dan melambatkan proses penyembuhan luka. Pandangan bahawa makanan berprotin ini akan menyebabkan kegatalan serta nanah tidak dapat dibuktikan secara kajian saintifik.

Pesakit perlu mengambil makanan seperti daging merah, kekacang dan bayam yang dapat menambahkan pembentukan sel darah merah. Sel darah merah ini amat penting dalam proses penyembuhan luka dimana ia membawa nutrisi serta sel-sel yang terlibat dalam pembentukan tisu dan sistem imuniti badan.

Kawalan tahap gula dalam darah yang optimum juga akan mempercepatkan proses penyembuhan luka. Oleh itu, apa yang penting ialah berpantang daripada mengambil makanan manis yang berlebihan. Manakala, tahap gula dalam darah perlu diperiksa secara berkala bagi memastikan ia terkawal.

Pesakit yang mempunyai masalah hati dan buah pinggang biasanya mempunyai masalah sembab, dimana anggota kaki atau tangan pesakit membengkak kerana edema atau kandungan air yang berlebihan. Ia menyebabkan luka pada kulit berada dalam keadaan tegang dan ini boleh mengganggu proses penyembuhan luka. Pesakit perlu mematuhi nasihat yang diberi oleh doktor mengenai kuantiti maksimum air yang boleh diminum setiap hari. Doktor mungkin akan memberikan ubat bagi membolehkan lebihan air ini dikeluarkan melalui air kencing.

Selain daripada perkara di atas, pantang paling penting yang perlu dijauhi oleh setiap pesakit ialah ROKOK. Mengikut kajian, merokok bukan sahaja akan melambatkan proses penyembuhan luka, malah ia membantutkan proses percantuman tulang yang patah, melemahkan system pertahanan badan, serta membuatkan luka lebih terdedah kepada jangkitan kuman.

Sekiranya anda masih juga mahu berpantang, maka, nasihat saya, berpantanglah daripada merokok.

Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Mahyuddin, seorang pakar bedah ortopedik yang bertugas di sebuah hospital di Pahang. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

 

Rujukan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box