Penyakit Gusi dan Kehilangan Gigi Pada Pesakit Diabetes – Dr Marini Ismail

PeriodontitisAnda pasti sedar bahawa diabetes merupakan penyakit yang boleh memberi kesan kepada seluruh badan termasuk mata, saraf, buah pinggang, jantung, dan organ-organ penting dalam badan. Tapi adakah anda tahu bahawa diabetes turut memberi kesan kepada mulut? Masalah mulut yang biasa dilihat akibat diabetes ialah penyakit gusi. Penyakit gusi boleh menyebabkan kesakitan dan kesukaran mengunyah makanan serta kehilangan gigi.

Penyakit gusi biasanya disebabkan oleh plak dan kebersihan gigi yang kurang memuaskan. Plak ialah lapisan melekit campuran air liur, makanan, dan kuman yang terkumpul pada gigi dan di celah lapisan gusi yang memberi risiko berlakunya gingivitis. Apabila plak terkumpul secara berterusan tanpa dibersihkan, ia mengeras menjadi tartar (kalkulus). Kedua-dua plak gigi dan tartar dipenuhi kuman-kuman merbahaya yang sekiranya tidak dibersihkan akan menyebabkan kerengsaan pada gusi dan gingivitis. Gingivitis ialah peringkat pertama penyakit gusi. Jika plak dan tartar tidak dibersihkan dan gingivitis dibiarkan tanpa dirawat, keradangan dan kerosakan tisu di sekeliling gigi, gusi, tulang, dan serat yang menyambungkan gigi kepada gusi boleh berlaku, dan seterusnya menyebabkan penyakit gusi yang lebih teruk yang dinamakan periodontitis. Gigi mungkin menjadi longgar dan perlu dicabut. Oleh sebab penyakit gusi biasanya tidak menyakitkan, anda mungkin tidak sedar akan masalah tersebut sehingga kerosakan serius telahpun berlaku.

Penyakit gusi lebih kerap berlaku dan lebih teruk pada mereka yang mengalami diabetes yang kurang terkawal. Oleh itu, mereka cenderung untuk kehilangan lebih banyak gigi daripada mereka yang mempunyai diabetes dalam kawalan.

Sila rujuk pada doktor gigi serta merta sekiranya anda mengalami diabetes dan sedar akan sebarang tanda/simptom penyakit gusi, termasuk:

  • Gusi merah, bengkak, atau sakit
  • Gigi longgar
  • Kerap mengalami nafas berbau (halitosis)
  • Lapisan gigi yang semakin merosot – Gigi kelihatan lebih panjang
  • Gigi beralih dari tempat asal
  • Ruang terbuka di percelahan gigi
  • Bernanah di celah gigi dan gusi (apabila gusi ditekan)
  • Gigi palsu tidak muat dengan baik
  • Perubahan pada kedudukan gigi apabila menggigit

Faktor-faktor yang mengaitkan diabetes kepada penyakit gusi:

  • Kebersihan mulut yang kurang memuaskan merupakan faktor utama pada penyakit gusi untuk semua orang, tetapi lebih teruk kesannya pada pesakit diabetes..
  • Diabetes boleh memberi kesan kepada struktur saluran darah dan memperlahankan kitaran darah, dan menjadikan tisu gusi lebih mudah dijangkiti
  • Diabetes akan menurunkan ketahanan badan kepada jangkitan yang akan meningkatkan kebarangkalian gusi mengalami jangkitan
  • Kadar glukosa yang tinggi dalam air liur merangsang pembiakan bakteria yang menyebabkan penyakit gusi.
  • Pesakit diabetes yang merokok berpeluang lebih tinggi untuk mengalami penyakit gusi daripada mereka yang merokok dan tidak mengalami diabetes.

Jenis-jenis lain masalah kesihatan mulut yang sering dialami pesakit diabetes termasuk:

  • Gusi bengkak dan bernanah
  • Karies gigi
  • Jangkitan kulit seperti jangkitan Candida
  • Lichen planus (sejenis keradangan kulit )
  • Ulser mulut
  • Gangguan pada deria rasa
  • Mulut kering dan pedih ( kadar penghasilan dan pengaliran air liur rendah)
  • Penyembuhan perlahan tisu-tisu mulut

Cadangan untuk mengurangkan/mengelakkan masalah kesihatan mulut termasuk:

  • Mengikut nasihat doktor berkenaan diet dan ubat untuk memastikan kadar gula dalam darah berada pada kadar normal sebaik mungkin.
  • Berjumpa doktor gigi sekurang-kurangnya dua kali setahun untuk nasihat tentang penjagaan di rumah, intervensi awal dan prosedur pencegahan kerap untuk memastikan gigi dan gusi sihat.
  • Jadualkan rawatan pergigian pada waktu pagi dan makan ubat-ubat anda seperti diarahkan. Prosedur pergigian seharusnya singkat dan bebas stres.
  • Tunjukkan doktor gigi anda senarai nama-nama ubat dan kadar pengambilannya. Doktor gigi anda perlu tahu maklumat ini untuk memberi ubat yang paling kurang berkemungkinan bertindak balas dengan ubat-ubat lain yang sedang diambil.
  • Sekiranya kadar gula dalam darah berada di luar kawalan, tangguhkan prosedur pergigian bukan kecemasan melainkan terdapat jangkitan akut yang berkembang cepat seperti nanah yang memerlukan rawatan serta merta.
  • Elakkan mulut kering dengan meminum banyak air atau mengunyah gula-gula getah tanpa gula untuk membantu pengaliran air liur.
  • Berhenti merokok.
  • Gunakan berus gigi lembut dan gantikannya setiap 3 bulan.
  • Gosok gigi sekurang-kurangnya 3 minit dua kali sehari menggunakan ubat gigi berfluorida, atau selepas setiap waktu makan jika boleh.
  • Flos sekurang-kurangnya sehari sekali.
  • Jika memakai gigi palsu, pastikan gigi tersebut bersih dan tanggalkan pada waktu malam. Ketatkan atau selaraskan sekiranya gigi berasa longgar atau kurang selesa.

Dr. Marini Ismail seorang pegawai pergigian yang bertugas di Selangor. Rencana ini diterjemahkan dari versi asal di https://www.mmgazette.com/gum-diseases-tooth-loss-in-diabetic-patients-dr-marini-ismail/ oleh Nur Nadhirah.

Rujukan:

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box