Pengesanan Awal Gejala Kemurungan Bermula Dengan Anda Dan Komuniti #ReachOut – Dr. Mohd Shaiful Ehsan

student-depressionPertanyaan Umum

“Encik, Apa khabar hari ini?” Itu antara permulaan perbualan yang diungkapkan oleh sesetengah pihak doktor di klinik apabila berjumpa dengan pesakit kronik mereka yang datang mendapatkan rawatan susulan. Sesungguhnya pertanyaan umum seperti itu mampu memberi respons yang lebih meluas dari pihak pesakit, tidak sahaja tertumpu kepada tahap kawalan penyakit fizikal semata-mata, tetapi juga emosi mereka pada masa itu. Selain mengeratkan persefahaman antara doktor dan pesakit, ianya juga membuatkan pesakit berasa lebih dihargai dan lebih terbuka untuk menceritakan keadaan dan masalah baru mereka. Ini secara tidak langsung menggalakkan pesakit memberitahu sekiranya mereka dalam keaadaan tertekan ataupun tidak. Ya, ini antara strategi yang telah dan perlu kami ambil ketika megendalikan pesakit di klinik-klinik kesihatan. Cara lain termasuklah bertanya secara khusus dan ringkas kepada MEREKA YANG BERISIKO mendapat kemurungan berkenaan gejala kemurungan sekiranya mereka masih belum berceritakan keadaan mereka kepada pihak doktor.

Pesakit Kronik Berisiko Murung

Mengapa pertanyaan umum sebegitu penting? Ini kerana sekiranya tidak ditanya, pesakit seringkali tidak mahu atau tidak berkesempatan untuk berkongsi perasaan murung mereka ketika itu. Justeru, gejala kemurungan tersebut akan berkumpul dan terpendam dalam diri pesakit yang akhirnya akan membawa padah kepada diri dan keluarga mereka. Mereka mungkin menganggap pihak doktor agak sibuk dan tidak berminat untuk mengambil tahu hal perihal mereka di rumah, apatah lagi perasaan rungsing mereka ketika itu. Tanpa kita sedari, mereka yang menghidapi penyakit kronik seperti penyakit tidak berjangkit juga cenderung mendapat kemurungan untuk jangka masa panjang. Seringkali kita tersalah anggap bahawa hanya mereka yang mempunyai masalah yang besar atau perubahan hidup yang mendadak yang akan cenderung ke arah kemurungan. INI ADALAH ANGGAPAN YANG SALAH. Kajian menunjukkan pesakit-pesakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, kerosakan buah pinggang, lelah, sawan dan angin ahmar lebih berpotensi mengalami tekanan dan kemurungan. Ini berpunca daripada kesan fizikal penyakit itu sendiri yang mengurangkan kualiti hidup mereka berbanding orang lain, perasaan risau sekiranya keadaan menjadi bertambah teruk, bebanan kewangan dan kos rawatan, tak kurang juga rasa bersalah terhadap ahli keluarga kerana perlu menanggung mereka. Bagaimana pula dengan pihak ibu bapa dan penjaga yang menjaga anak-anak istimewa dan penyakit kronik seperti masalah jantung, thalassemia dan down syndrom? Ya mereka juga berisiko untuk mendapat kemurungan biarpun mereka tidak mengalami sendiri penyakit itu. Ini adalah kerana impak sesuatu penyakit tidak sahaja memberi kesan kepada pesakit semata-mata, tetapi kepada penjaga, keluarga dan masyarakat setempat terutama dari sudut sosial, ekonomi dan fikiran. Justeru kesemua golongan berisiko ini perlu ditanya kabar mereka.

Remaja Dan Warga Tua

Dua golongan ini juga berisiko untuk mendapat tekanan dan kemurungan. Namun seringakali terlepas pandang oleh pihak masyarakat mahupun keluarga. Remaja cenderung mencuba sesuatu yang baru dan mengikut budaya kawan. Mereka mudah mengalami konflik dalaman dan luaran sementara masih mencari identiti sendiri. Ini termasuklah tekanan di rumah, tekanan sesama rakan mahupun tekanan di sekolah. Tanpa pendedahan dan didikan yang wajar, mereka boleh terjebak dengan pergaulan bebas dan penyalahgunaan dadah dek kerana ingin mencari jalan penyelesaian ringkas untuk mengatasi tekanan mereka. Sesungguhnya apa yang mereka perlukan adalah perhatian, perbualan dan kasih sayang. Justeru perubahan sikap dan prestasi merundum di sekolah adalah tanda yang perlu diberi perhatian oleh semua.

Warga tua cenderung mendiamkan diri dan memendam perasaan mereka demi menjaga perasaan ahli keluarga yang lain. Mereka juga menunjukkan gejala yang berbeza berbanding golongan yang lain. Antaranya:

  1. Kurang daya tumpuan
  2. Kesukaran berak
  3. Sakit-sakit badan
  4. Rasa gelisah
  5. Kesukaran tidur
  6. Tahap kesihatan fizikal yang makin teruk
  7. Daya pemikiran yang lemah

Justeru, selain mengenalpasti punca-punca penyakit yang lain seperti nyanyuk dan sebagainya, kebarangkalian kemurungan juga perlulah diambil kira dalam warga tua.

Tanggungjawab Anda Dan Kami

Justeru menjadi tanggungjawab anda sebagai ahli keluarga dan ahli komuniti untuk mengenalpasti perubahan sikap yang ada pada ahli keluarga anda mahupun rakan-rakan anda pada peringkat awal lagi. Bertanyalah kepada mereka sekiranya ada masalah yang mereka alami. Berikan sokongan dan segeralah membawa mereka kepada pihak doktor untuk pengesahan dan rawatan lanjut.

Anda merupakan DUTA kami di rumah, di sekolah dan di tempat kerja. Ini kerana pihak doktor barangkali hanya berkesempatan berjumpa dengan pesakit setiap kali masa rawatan dan temujanji di klinik. Namun anda mempunyai peluang dan masa yang lebih dan seringkali bersama dengan ahli keluarga anda dan rakan anda. Sekiranya anda rasa sangsi, tidak salah untuk sekurang-kurangnya menggunakan “pertanyaan umum” dan bertanya kabar pada mereka.

Bagaimana pula dengan diri anda sendiri? Nilailah diri anda sendiri secara bijak. Sekiranya anda merasa tertekan atau hilang harapan, mahupun merasa kurang berminat melakukan aktiviti yang sering anda gemari sebelum ini, anda MUNGKIN MENGALAMI tanda-tanda awal kemurungan.

Anggapan Semua Perlu Masuk Hospital?

Sekiranya anda beranggapan semua pesakit murung dan tekanan perlu dimasukkan hospital, ANDA TERSILAP BESAR. Ini adalah kerana MAJORITI penyakit kemurungan BOLEH DIRAWAT DI KLINIK dan komuniti sahaja. Ya, pihak doktor akan menilai tahap keterukan kemurungan anda mahupun ahli keluarga anda berdasarkan temubual lanjut di klinik-klinik kesihatan. Sekiranya ianya berada pada tahap awal dan sederhana, rawatan terus boleh dimulakan di peringkat klinik sahaja. Ini termasuklah rawatan ubat-ubatan, nasihat dan sokongan, juga kemudahan cara pulih kerja atau fisioterapi terlatih yang mampu mengajar anda cara mengurangkan tekanan dengan aktiviti regangan dan pernafasan. Anda perlu mengikuti rawatan susulan untuk melihat respons anda terhadap rawatan yang diberikan. Hanya keadaan yang teruk, membahayakan dan tiada respons kepada ubatan-ubatan awal memerlukan khidmat rawatan lanjut di hospital.

Ini secara tidak langsung dapat mengurangkan stigma dan anggapan negatif masyarakat terhadap kemurungan anda. Ini kerana tiada siapa yang tahu tujuan anda ke klinik kesihatan berdekatan dan temujanji rawatan melainkan anda dan pihak doktor.

Langkah Pencegahan

Pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati. Amalkan cara hidup yang sihat termasuk pemilihan makanan yang seimbang, pengawalan berat badan dan rehat serta tidur yang mencukupi. Aktiviti fizikal seperti bersenam dan regangan bukan sahaja meningkatkan kesihatan badan, tetapi juga mampu mengurangkan tekanan. Ianya juga terbukti berkesan termasuk pada golongan warga tua.

Eratkan hubungan sesama ahli keluraga dan rakan sekerja. Luangkan masa yang lebih untuk berbual mesra dan makan bersama dengan ahli keluraga. Bertanyalah kabar mereka setiap hari. Elakkan daripada memendam perasaan sendiri mahupun terjebak dengan penyalahgunaan dadah mahupun merokok.

Terima kekurangan dan kelebihan diri sendiri secara positif. Rasa ingin memuaskan hati semua orang perlulah dikikis. Beralah dalam perbalahan juga mampu mengawal keadaan dan konflik dalam pergaulan. Beralah tidak bermakna kita kalah, tetapi menunjukkan kematangan kita dalam berfikir. Sentiasalah memuji diri sendiri dan mengatakan diri kita hebat dan mampu mengatasi cabaran yang ada.

Akhir sekali, berjumpalah dengan pihak doktor di komuniti anda. Kami sedia membantu dan menilai kemurungan anda. Dapatkan rawatan segera. Jangan berlengah lagi. Mari BERTANYA KABAR!

Dr. Shaiful Ehsan sedang melanjutkan pelajaran beliau untuk menjadi seorang Pakar Perubatan Keluarga dan kini merupakan seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau sangat mementingkan pendidikan kesihatan kepada semua pesakit beliau.

Rujukan:

  • John Murtagh’s General Practice by John Murtagh
  • Clinical Practice Guidelines Management Of Major Depressive Disorder
  • Saringan Kesihatan Warga Emas – Portal MyHEALTH

screen-shot-2016-09-08-at-9-39-04-am

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box