Pemantauan Kebersihan Premis Makanan di Bazar Ramadan – KKM

Sumber: mynewshub.cc

Sumber: mynewshub.cc

Kementerian Kesihatan prihatin mengenai kewujudan bazar Ramadan pada setiap kali bulan Ramadan. Dalam hal ini, Kementerian Kesihatan telah memulakan aktiviti pemantauan sebelum bermulanya bulan Ramadan lagi iaitu dengan menjalankan pemeriksaan di peringkat sumber iaitu meliputi bahan mentah dan tempat penyediaan makanan bagi peniaga-peniaga yang telah dilesenkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pada bulan Ramadan, Kementerian Kesihatan terus menjalankan aktiviti pemantauan di bazar-bazar Ramadan yang beroperasi di seluruh negara. Di antara aspek keselamatan makanan yang ditekankan semasa pemeriksaan adalah memastikan semua pengendali makanan telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan latihan pengendali makanan termasuk mendapat suntikan pelalian anti tifoid, kebersihan pengendali makanan, amalan pengendalian makanan yang baik dan tahap kebersihan gerai. Di samping itu, Kementerian Kesihatan juga menjalankan pemantauan ke atas makanan yang dijual di bazar Ramadan sepanjang bulan Ramadan.

Selain pemeriksaan yang dijalankan, Kementerian Kesihatan juga giat menjalankan beberapa aktiviti promosi berkenaan keselamatan dan kebersihan makanan, antaranya iklan promosi ’Perhati dan Pilih’ melalui saluran radio di sepanjang bulan Ramadan. Aktiviti promosi yang dijalankan bertujuan untuk mendidik pengguna untuk sentiasa peka mengenai aspek kebersihan dan keselamatan makanan semasa membeli dan memilih makanan di bazar Ramadan untuk mengelakkan keracunan makanan.

Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan makanan. Orang ramai dinasihatkan agar menggunakan kuasa pembeli yang ada pada mereka dengan hanya membeli makanan di premis makanan yang bersih. Sekiranya pengguna merasa ragu-ragu dengan status keselamatan sesuatu makanan yang dijual di bazar Ramadan, pengguna boleh memaklumkan Kementerian Kesihatan melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman web http://fsq.moh.gov.my/v3 dan juga laman Facebook rasmi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysiahttp://www.facebook.com/bkkmhq.

DATUK DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box