Osteoporosis: Tulang Umpama Cengkerang Telur – Dr Ahmad Mahyuddin

osteoporosis-637x400Anda pasti pernah menyediakan masakan telur sebagai hidangan pagi bukan? Apabila anda pecahkan telur, itulah keadaan tulang seseorang pesakit yang mengalami Osteoporosis. Tulangnya umpama cengkerang telur yang nipis dan isinya tiada. Secara mudahnya, Osteoporosis adalah keadaan dimana tulang kita menjadi rapuh.

Mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau World Health Organization (WHO), Osteoporosis ditakrifkan sebagai satu penyakit sistemik (melibatkan seluruh badan) yang mengalami jisim tulang yang merosot (low bone mass) dan kerosakan struktur mikro tulang yang menyebabkan tulang rapuh dan meningkatkan risiko kepatahan berlaku.

Osteoporosis disebabkan oleh pelbagai faktor. Bagi memudahkan pembaca agar lebih faham, Osteoporosis boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu Primary Osteoporosis dan Secondary Osteoporosis.

Primary Osteoporosis

Primary Osteoporosis ialah keadaan dimana Osteoporosis berlaku tanpa disebabkan oleh ubat-ubatan atau masalah perubatan yang lain. Primary Osteoporosis ini pula terdiri daripada 2 jenis iaitu:

Type 1 Osteoporosis (Osteoporosis 1)

Ini berlaku kepada wanita apabila mereka mengalami proses Menopos (putus haid). Wanita yang mengalami Osteoporosis ini terdedah kepada patah tulang belakang dan pergelangan tangan.

Type 2 Osteoporosis (Osteoporosis 2)

Jenis kedua Osteoporosis ini melibatkan proses penuaan dan dilihat berlaku terhadap pesakit yang berusia 75 tahun ke atas bagi kedua-dua jantina. Ia disebabkan oleh kurangnya penyerapan kalsium. Jika dibandingkan dengan Osteoporosis 1, majoriti pesakit Osteoporosis 2 lebih terdedah kepada patah tulang pinggul dan peha.

Antara perkara yang boleh meningkatkan risiko Primary Osteoporosis berlaku ialah:

  1. Genetik – Caucasian (berkulit putih), Asia, wanita, sejarah keluarga, kurus
  2. Hormon – Kekurangan hormon Oestrogen, Menopause (putus haid)
  3. Gaya hidup – Merokok, pengambilan alkohol dan kehidupan tidak aktif
  4. Diet – Kekurangan pengambilan kalsium atau vitamin D

Secondary Osteoporosis

Secondary Osteoporosis pula ialah apabila Osteoporosis terjadi akibat daripada pengambilan ubat-ubatan tertentu atau disebabkan oleh masalah kesihatan pesakit.

Sesetengah ubat boleh menyebabkan Osteoporosis berlaku apabila ia menghalang proses penyerapan kalsium atau mengganggu metabolism kalsium di dalam badan kita. Antara contoh ubat-ubatan ini ialah Thyroxine, Antacid, Lithium dan Warfarin.

Metabolisma kalsium juga boleh terganggu bagi pesakit yang menghidap penyakit hati kronik (Chronic Liver Disease), penyakit buah pinggang kronik (Chronic Kidney Disease), masalah sistem endokrin dan usus. 

Simptom

Ramai pesakit yang mengalami Osteoporosis datang kerana mengalami rasa sakit atau sengal-sengal tulang terutamanya bahagian belakang dan pinggang. Tidak kurang juga yang datang akibat patah tulang. Kepatahan yang kerap berlaku bagi pesakit Osteoporosis melibatkan tulang pengelangan tangan (wrist or distal radius fracture), tulang pinggul (intertrochanteric or neck of femur fracture) dan juga tulang belakang (vertebra fracture).

Setiap kepatahan ini mempunyai teknik rawatan yang berbeza bergantung kepada lokasi dan konfigurasi kepatahan tersebut.

Bagaimana caranya bagi mengesan Osteoporosis?

Bagi mengetahui tahap kekuatan tulang seseorang atau Bone Mass Density (BMD), doktor biasanya akan melakukan ujian Dual Energy Xray Absorptiometry atau DEXA scan. Ujian ini menggunakan teknologi xray dan ia memberi nilai tertentu bagi tulang setiap pesakit yang diuji. Nilai ini diberi dalam bentuk T-score, iaitu ia membandingkan tulang pesakit dengan populasi muda yang dalam jantina dan bangsa yang sama. T-score antara -1 dan -2.5 menunjukkan kekuatan tulang yang merosot (keadaan yang dikenali sebagai Osteopenia) manakala Osteoporosis pula akan menunjukkan nilai T-score yang lebih rendah daripada -2.5.

Pencegahan

Rawatan yang terbaik ialah pencegahan awal iaitu dengan cara memastikan BMD yang optimal (T score antara 0 ke -1). Ia boleh dicapai dengan memastikan pengambilan sumber kalsium yang mencukupi. Selain daripada itu, risiko Osteoporosis juga boleh diminimakan sekiranya kita berhenti merokok, tidak mengambil minuman beralkohol, mengamalkan pemakanan yang seimbang dan melakukan senaman secara berkala.

Merokok

Merokok telah dikenalpasti sebagai antara penyebab Osteoporosis berlaku apabila ia mengganggu fungsi hormon Estrogen yang berkait rapat dengan metabolisma kalsium. Perokok lebih terdedah untuk mendapat Osteoporosis.

Pengambilan minimum beralkohol

Minum lebih daripada 2 gelas minuman beralkohol sehari akan membuatkan anda lebih terdedah untuk mendapat Osteoporosis.

Senaman

Tulang kita adalah tisu yang amat dinamik. Ia memberi respon kepada tekanan dan beban yang dikenakan ke atasnya. Lebih banyak beban dan tekanan, ia akan menjadi semakin tebal dan kuat bagi menampung beban tersebut, dan begitulah sebaliknya. Oleh itu, senamam secara berkala akan dapat membina kekuatan tulang anda. Jom bersenam!

Pemakanan

Pengambilan makanan yang mengandungi kandungan kalsium yang mencukupi setiap hari adalah amat penting bagi mengelakkan Osteoporosis daripada berlaku. Lelaki dan wanita dewasa berusia antara 18-50 tahun memerlukan 1000mg kalsium setiap hari. Ia meningkat kepada 1200 mg setiap hari bagi wanita berusia lebih 50 tahun dan lelaki yang melebihi usia 70 tahun.

Antara diet yang mengandungi kandungan kalsium yang tinggi ialah:

  • Makanan berasaskan tenusu
  • Sayuran hijau
  • Ikan salmon dan sardin (dengan tulang)
  • Kacang soya
  • Bijirin

Rawatan

Rawatan Osteoporosis boleh dibahagikan kepada rawatan ubat-ubatan dan pembedahan. Terdapat banyak jenis ubat-ubatan termasuk suplemen di farmasi dan hospital yang digunakan untuk rawatan Osteoporosis.

Majoriti ubat-ubatan dan suplimen ini bertujuan untuk mengurangkan proses pengikisan tulang (bone resoprtion) oleh sel Osteoclast. Namun ada juga ubat yang boleh mengaktifkan sel Osteoblast yang bertanggungjawab menghasilkan tulang baru. Ia juga boleh mengurangkan risiko mendapatkan kepatahan tulang.

Penggunaan ubat-ubatan yang melibatkan Hormone Replacement Therapy (HRT) pula boleh melambatkan Osteoporosis namun ia boleh menimbulkan kembali symptom-simptom putus haid (menopause). HRT juga dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser payudara dan kanser rahim.

Penggunaan ubat-ubatan ini bergantung kepada tahap Osteoporosis serta masalah-masalah kesihatan pesakit yang berkaitan. Jenis ubat yang boleh dimakan adalah berbeza antara seorang pesakit dengan pesakit yang lain. Anda perlu berbicang dengan doktor yang merawat anda mengenai ubat-ubatan yang paling sesuai untuk anda.

Pembedahan

Pembedahan bagi pesakit Osteoporosis hanya dilakukan sekiranya kepatahan berlaku. Bagi kepatahan tulang belakang (vertebral fractures), prosedur seperti kyphoplasty dan vertebroplasy bagi mengembalikan bentuk serta integriti tulang yang patah boleh dilakukan.

Pesakit Osteoporosis juga sering mengalami kepatahan tulang pinggul, tulang peha dan pergelangan tangan walaupun hanya akibat trauma yang minima. Tulang yang patah ini, ada yang perlu dirawat secara pembedahan dan memerlukan penggunaan implant yang khusus bagi memastikan ia dapat memegang tulang yang rapuh.

Apa yang saya ingin tekankan disini, bukan semua kepatahan tulang yang melibatkan Osteoporosis memerlukan pembedahan. Doktor akan berbincang dengan anda mengenai pilihan yang terbaik jika anda atau saudara anda mengalaminya.

Nasihat

Nasihat saya, marilah kita sama-sama memastikan pengambilan diet yang mempunyai kandungan kalsium yang mencukupi setiap hari, elakkan rokok dan minuman beralkohol, serta lakukanlah senaman secara berkala.

Jika kita menjejaki usia tua atau menjaga ibubapa warga emas, pastikan kita mengambil langkah-langkah bagi mengurangkan risiko kecederaan atau kepatahan di kediaman kita. Antara langkah-langkah yang saya boleh cadangkan di sini termasuklah menyediakan pemegang (railing) di bilik air dan di sisi tangga, memastikan tiada objek yang menghalang pergerakan di dalam rumah, meletakkan alas kaki di dalam bilik air agar tidak licin dan jika anda tinggal di kediaman 2 tingkat, pastikan ibubapa anda tidur di bilik tingkat bawah. Ini akan dapat mengurangkan kekerapan mereka turun naik tangga sekali gus mengurangkan risiko trauma dan kepatahan.

Dr. Ahmad Mahyuddin seorang pakar bedah ortopedik di Pahang. Kenali beliau lebih lanjut di laman The Team.

Rujukan

  • Postgraduate Orthopaedics, Paul A. Banasziewicz, page 520-521
  • Review of Orthopaedics, Mark D. Miller, page 30-33
  • http://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/osteoporosis/basics/prevention/con-20019924

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box