Kenyataan Akhbar Menteri Kesihatan Malaysia Situasi Denggi Di Malaysia Sehingga Minggu Ke 3 – KKM

dengueBagi tiga minggu pertama tahun 2015, sejumlah 8,502 kes denggi telah dilaporkan di seluruh negara iaitu meningkat sebanyak 65% atau 3,361 kes berbanding minggu yang sama tahun 2014 iaitu 5,141 kes. Manakala untuk kematian denggi pula,bagi tempoh yang sama sebanyak 20 kematian denggi dilaporkan dengan peningkatan sebanyak 186% berbanding tujuh (7) kematian pada tahun 2014.

Salah satu faktor yang mempengaruhi peningkatan kes dan kematian ini ialah perubahan serotaip denggi (serotype shift) yang berlaku pada bulan Ogos 2014. Pada masa tersebut terdapat perubahan serotaip dominan daripada DEN 2 kepada DEN 1. Daripada pemerhatian KKM akan berlaku peningkatan kes dan kematian selepas 4 bulan daripada serotype shift ini.

Melalui pemantauan KKM sehingga 24 Januari 2015, sejumlah 1,064 lokaliti wabak yang masih aktif dilaporkan di 14 negeri. Negeri Selangor melaporkan 728 lokaliti diikuti 141 lokaliti di Perak, 54 lokaliti di Johor, 32 lokaliti di Pulau Pinang dan 21 lokaliti di Sabah. Manakala negeri-negeri lain seperti Sarawak, Melaka, WP Kuala Lumpur & Putrajaya, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah melaporkan kurang daripada 20 lokaliti. Daripada jumlah lokaliti wabak ini, sebanyak 219 daripadanya adalah lokaliti hotspot iaitu165 lokaliti hotspot di Selangor, 45 lokaliti hotspot di Perak, masing-masing empat (4) lokaliti hotspot di Pulau Pinang dan Sarawak serta satu (1) lokaliti hotspot di Sabah.

Selain daripada itu, faktor-faktor yang menyebabkan peningkatan kes denggi adalah seperti berikut :

  1. Faktor persekitaran yang tidak bersih dan menyumbang kepada tempat- tempat pembiakan Aedes misalnya bekas plastik, tong, tayar, bekas plastik, baldi dan bekas polisterin. Kadar Pembiakan Aedes (AI) di kawasan wabak dan hotspots umpamanya masih tinggi iaitu di antara 1.9% hingga 33.3%.
  2. Pergerakan manusia yang tidak terbatas dan lebih meluas terutamanya bagi pesakit yang telah dijangkiti virus denggi yang memudahkan penyebaran virus denggi.
  3. Faktor cuaca contohnya musim hujan dimana bekas-bekas yang boleh menakung air akan menjadi tempat pembiakan Aedes dan meningkatkan populasi nyamuk Aedes dewasa serta penyebaran virus denggi.
  4. Tabiat masyarakat yang membuang sampah merata-rata dan tidak mengurus sampah dengan baik. Disamping itu, kurangnya kesedaran masyarakat untuk melaksanakan tindakan pencegahan iaitu aktiviti“cari dan musnah” tempat pembiakan Aedes setiap minggu.
  5. Selain faktor yang tersebut diatas, pada tahun 2014 KKM telah memperkukuhkan kaedah mendiagnosa kes denggi iaitu melaksanakan penggunaan ujian Combo Rapid Test Kit bagi mengesahkan kes yang disyaki denggi di semua negeri bagi tujuan untuk diagnosa awal dan tindakan segera dapat dilakukan. Oleh itu, lebih banyak kes denggi dapat dikesan.

Bagi mencegah penularan kes denggi, pihak masyarakat memainkan peranan yang sangat penting dan ianya perlu dijadikan sebagai amalan kehidupan seharian mereka. Antara perkara-perkara yang perlu untuk dilakukan oleh pihak masyarakat adalah seperti berikut:-

  1. Menjaga kebersihan persekitaran kawasan perumahan masing-masing dengan memastikan sampah sarap dibuang dengan berhemah dan kaedah yang betul. Mereka juga perlu memeriksa premis kediaman dan kawasan persekitaran mereka sekurang-kurangnya10 minit setiap minggu serta memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes.
  2. Melakukan pencegahan denggi di dalam rumah iaitu :-
  3. Mengunakan semburan aerosol di dalam rumah semasa nyamuk Aedes sedang aktif iiatu diantra 5 -7 pagi dan petang dengan kaedah berikut :-
  4. Pastikan tiada penghuni di dalam bilik semasa semburan aerosol dijalankan.

iii. Tutup semua tingkap dan pintu dan jangan biarkan makanan terdedah

  1. Sila patuhi arahan penggunaan pada label botol aerosol untuk keselamatan anda
  2. Sembur aerosol di serata bilik selama 5-10 saat
  3. Sembur secara terus di tempat nyamuk berehat kebiasaanya tempat yang gelap dan terlindung seperti bawah meja, belakang almari, bawah katil dan stor barang/ peralatan

vii. Tinggalkan bilik selepas menyembur dan biarkan tertutup sekurang-

kurangnya 10 minit sebelum masuk semula.

  1. Memasang jaring penghalang nyamuk di tingkap rumah bagi mengelakkan nyamuk masuk ke dalam rumah.
  2. Penghuni rumah boleh juga memasang penghalau nyamuk seperti “mosquito Mat”, “Vaporizer” dan lingkaran penghalau nyamuk semasa berada di dalam rumah pada waktu subuh atau senja.
  3. Untuk pencegahan denggi di luar rumah, pihak masyarakat digalakkan untuk menggunakan repelan atau memakai baju berlengan dan berseluar panjang serta berwarna cerah bagi melindungi dri dari gigitan nyamuk Aedes.
  4. Mengaktifkan program COMBI serta gotong-royong di kawasan kediaman masing-masing terutama di lokaliti hotspot bagi menghapuskan tempat- tempat pembiakan Aedes seperti di kawasan tanah lapang, taman rekreasi, tempat ibadat dan sebagainya.
  5. Bagi mengelakkan berlakunya kematian, pihak masyarakat perlu mengetahui gejala demam denggi seperti demam kuat secara mengejut, sakit kepala, sakit sendi, ruam pada badan dan amaran awal seperti sakit perut, cirit birit dan muntah berterusan. Sekiranya mengidap gejala dan tanda-tanda tersebut, perlu mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berhampiran.

Semua pihak perlu mengambil serius isu peningkatan kes dan kematian denggi yang berlaku pada masa ini. Sehubungan itu, komitmen daripada pelbagai jabatan, agensi, NGO dan semua lapisan masyarakat adalah diperlukan terutama dalam memastikan kebersihan persekitaran adalah menjadi keutamaan. Sekiranya tiada tindakan pencegahan yang dilakukan, dikhuatiri kes denggi dan kematian akan terus meningkat. Dalam situasi ini semua pihak perlu mengambil tanggungjawab untuk mencegah demam denggi.

YB DATUK SERI DR. S.SUBRAMANIAM MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

28 Januari 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box