“Kenapa Gigi Anak Saya Rongak?” – Dr. Husna Razak

Sumber: http://www.nurtureps.com.au

Sumber: http://www.nurtureps.com.au

Saya pasti anda semua pernah lihat kanak-kanak yang giginya rongak. Gigi hadapannya kelihatan kehitaman, malah mungkin sudah pecah-pecah hingga tiada rupa gigi normal lagi. Ada ibu bapa yang memberi alasan bahawa gigi anak mereka memang “sudah reput ketika mula-mula tumbuh lagi.” atau “Tak mengapalah doktor, cuma gigi susu.”

Sebenarnya, kecuali terjadi kekacauan dalam proses pertumbuhan gigi (contohnya amelogenesis atau dentinogenesis imperfecta), semua gigi kita tumbuh dengan normal pada mulanya. Namun, setelah gigi tumbuh di dalam mulut, ia mula terdedah dengan keadaan persekitaran mulut pH yang rendah yang terdiri daripada komponen-komponen seperti air liur, kuman, sisa makanan dan sebagainya.

Di Malaysia, berdasarkan kajian yang dibuat pada tahun 2007, sebanyak 74.5% kanak-kanak yang berusia 6 tahun mengalami masalah karies gigi. Tambah menyedihkan, lebih satu perempat daripada kanak-kanak berusia 5 tahun mempunyai lebih dari 10 gigi susu yang pernah mengalami karies! Penemuan ini jelas mendorong kepada keperluan mencegah dan mengurangkan karies gigi di kalangan kanak-kanak.

Mengapakah gigi susu penting untuk kesihatan kanak-kanak?

  • Membolehkan kanak-kanak makan secara normal untuk pengambilan nutrisi yang penting bagi tumbesaran.
  • Membantu kanak-kanak belajar bertutur. Ketiadaan gigi mungkin akan menyebabkan kanak-kanak tersebut pelat dan lambat belajar menyebut sesetengah huruf dengan betul.
  • Membantu tumbesaran otot dan tulang muka dengan seimbang.
  • Menyediakan ‘templat’ dan tempat yang cukup untuk gigi kekal tumbuh ke posisi yang betul.
  • Memberi penampilan yang lebih menarik. Oleh itu, gigi susu yang sihat membantu perkembangan psikologi kanak-kanak.

Proses karies.

Secara ringkasnya, karies terjadi akibat pancernaan gula dalam makanan oleh kuman dalam air liur. Ini menyebabkan penghasilan asid yang boleh menghakis gigi. Oleh sebab adanya penglibatan kuman dalam proses ini, karies gigi telah dikenalpasti sebagai penyakit yang boleh berjangkit.

Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko karies gigi dikalangan kanak-kanak, antaranya :

  • Diet yang kurang sihat terutamanya pengambilan makanan dan minuman yang tinggi kandungan gula.
  • Menyusu botol. Terutamanya jika kanak-kanak kecil diberi minuman bergula di dalam botol susu kemudian dibiarkan tidur dengan botol susu di dalam mulut sepanjang malam.
  • Status sosioekonomi dan pendidikan ibu bapa atau penjaga yang rendah dikaitkan dengan peningkatan karies gigi kanak-kanak kerana kurangnya kesedaran tentang kepentingan kesihatan mulut.
  • Kuman Mutans Streptococci (MS). Kuman ini adalah di antara kuman yang bertanggungjawab dalam pembentukan karies gigi. Ketika lahir, kanak-kanak tiada kuman MS di dalam mulut. Namun, perkongsian air liur dengan ibu bapa (contohnya ketika perkongsian makanan, sudu, dsb) menyebabkan kanak-kanak dijangkiti MS.
  • Plak mengandungi berjuta-juta kuman yang menyebabkan karies. Kanak-kanak yang tidak memberus gigi didapati mempunyai plak gigi yang banyak serta karies gigi yang teruk.

Apakah yang boleh berlaku sekiranya karies gigi kanak-kanak tidak dirawat?

Kesan yang paling jelas tentunya rasa sakit. Kanak-kanak mungkin akan menangis dan mengadu kesakitan, terutamanya pada waktu malam. Sekiranya rawatan segera tidak diberikan, karies boleh melarat sehingga bernanah dan kebengkakan muka (cellulitis). Pada tahap ini, ada kemungkinan kanak-kanak itu terpaksa dimasukkan ke wad untuk diberikan intravenous antibiotic bagi mengelakkan kuman daripada merebak ke tempat lain di dalam badan.

Tanda-tanda awal karies gigi bagi kanak-kanak.

Sebagai ibu bapa/penjaga, andalah orang yang paling banyak meluangkan masa dengan kanak-kanak. Jadi, anda sebenarnya memainkan peranan penting sebagai orang yang pertama mengesan pembentukan karies gigi kanak-kanak diperingkat awal. Anda hanya perlu mengangkat bibir anak anda seperti dalam gambar dan periksa bahagian atas dan hadapan gigi.

Pada peringkat awal, karies gigi kanak-kanak muncul sebagai tompok-tompok putih di atas permukaan gigi, yang kebiasannya bermula di gigi hadapan dan atas. Lama-kelamaan, ia boleh bertukar menjadi tompok kuning, perang atau hitam. Pada mulanya, gigi hadapan dan atas yang terlibat, diikuti gigi-gigi lain. Jika dibiarkan berterusan , tompok-tompok tersebut boleh merebak ke lapisan gigi yang paling dalam dan pecah-pecah, lalu kelihatan rongak.

Rawatan karies gigi kanak-kanak:

  • Seperti kata slogan terkenal, “Anda mampu mengubahnya.” Kesihatan gigi bermula dari rumah. Kurangkan memberi kanak-kanak snek dan minuman bergula. Sebaliknya, tukarlah kepada menu yang lebih sihat seperti buah-buahan sebagai snek.
  • Kawal pembentukan karies. Dalam proses ini, doktor gigi akan menasihatkan anda mengenai langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan risiko karies gigi untuk anak-anak anda. Contohnya:
  • Elakkan anak anda daripada tidur dengan botol susu di dalam mulut sepanjang malam.
  • Jangan beri minuman bergula kepada anak anda dalam botol susu.
  • Berus gigi anak anda dengan ubat gigi berflorida.
  • Menstabilkan karies gigi yang sedia ada. Gigi berlubang yang sudah ada karies akan dibersihkan dengan spoon excavator (alat tangan yang mempunyai bentuk seperti sudu kecil) dan akan ditampal dengan bahan tampalan yang sesuai, contohnya glass ionomer cement (GIC). Salah satu ciri istimewa GIC adalah keupayaannya untuk membebaskan florida. Setelah karies distabilkan, ia tidak akan merebak untuk mengelakkan kesan yang lebih teruk.
  • Cabutan. Gigi yang tidak dapat diselamatkan, contohnya yang bernanah, kadang-kadang terpaksa dicabut. Namun begitu, rawatan ini bergantung kepada keadaan. Kanak-kanak kecil selalunya sukar bekerjasama. Cabutan awal juga boleh menyebabkan sususan gigi dan rahang tumbuh dalam keadaan tidak seimbang pada masa hadapan.

Dr. Husna Razak (BDS) (KLE VK) seorang pegawai pergigian yang sedang bertugas di Kelantan. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

Rujukan:

  • Clinical practice guidelines for management of severe early childhood caries http://www.moh.gov.my/attachments/8298.pdf
  • Guidelines for Early Childhood Oral Healthcare (2008), Oral Health Division, Ministry of Health Malaysia

6 comments for ““Kenapa Gigi Anak Saya Rongak?” – Dr. Husna Razak

  1. August 1, 2014 at 9:19 am

    Bagaimana cara simple untuk gosok gigi budak setahun? macam ada tanda2 karies dah gigi anak sy ni

    • Dr Husna
      August 5, 2014 at 5:10 pm

      Puan Fyda,
      Puan boleh cuba gunakan kain bersih yang lembap dan gosok permukaan gigi anak puan sehingga plak hilang. Puan juga boleh cuba dapatkan berus gigi khas untuk kanak-kanak yang ada dijual di pasaran.

  2. August 4, 2014 at 10:23 am

    Salam…anak kedua saya umur setahun setengah amat susah nak gosok gigi. Ada tak sebarang cara yang mudah & berkesan? Sbb dah ada tanda-tanda karies & hampir rongak.

    • Dr Husna
      August 5, 2014 at 5:13 pm

      Waalaikumussalam Puan Yani. Puan boleh cuba gosok gigi anak puan dengan kain bersih yang lembap sehingga plak hilang secara keseluruhan. Tidak terlalu lewat untuk mulakannya sekarang kerana penting untuk kita pupuk tabiat membersihkan gigi dan mulut sejak kecil. Puan juga boleh jadikan menggosok gigi sebagai aktiviti keluarga, contohnya dengan melakukannya bersama-sama dengan adik-beradik dan ahli keluarga yang lain bersama anak puan.

  3. wan noriza bt wan othman
    December 11, 2014 at 4:27 pm

    Salam..
    Doktor..anak saya berumur setahun 2 bln.tiap2 malam sy menggosok gigi nya dgn berus gigi baby yg plastik lembut.tp tanpa disedari terdpt karies gigi pd gigi depannya..walopun dah guna kain lembap tp kesan kuning itu tetap tidak hilang.
    soalan sy..boleh kah ia dihilangkan..sy takut bjangkit dgn gigi lain.bagaimana caranya dktor..boleh guna alat apa2 tak?
    Sekian..trima kasih doktor

  4. Pn Azreen
    January 27, 2015 at 3:30 pm

    Salam doktor. anak saya kini berusia 6 tahun. Pada tahun lepas 2 batang gigi hadapan (gigi susu) telah cabut secara normal. gigi anak saya pun normal & sihat, tiada hitam atau pereputan berlaku. Gigi susu itu tercabut secara sendiri tanpa perlu jumpa doktor. cumanya sehingga \hari ini gigi anak saya still tidak tumbuh. adakah kerana faktor pemakanan? apa yg doktor boleh suggest?

    hjdjf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box