Kenali Ubat Lelah Anda – Dr Nadia Mohd Effendy

Source: DrEd

“Cikgu, anak saya tidak boleh turut serta pada hari sukan kerana dia lelah.” Keadaan ini sering kali berlaku kerana ramai di kalangan masyarakat menyangka pesakit lelah tidak boleh melakukan aktiviti fizikal. Fahaman ini adalah tidak tepat. Lelah atau asma boleh dikawal dengan baik jika pesakit dan keluarga mengenal pasti ubat-ubatan yang bersesuaian serta mengamalkan langkah penjagaan yang betul.

Asma merupakan penyakit lazim dan sinonim dengan kehidupan harian terutamanya di kalangan kanak-kanak. Ia direkodkan sebagai salah satu penyakit yang menyumbangkan kepada kadar morbiditi dan kematian yang tinggi di negara kita. Pengetahuan pesakit dan keluarga pesakit terhadap jenis-jenis ubatan lelah amatlah penting untuk mengawal lelah serta mengelakkan komplikasi paru-paru yang lebih serius.

Rawatan asma dibahagikan kepada tiga kelas iaitu ubat pelega (relievers) yang juga dikenali sebagai bronkodilator, ubat kawalan (controllers) dan ubat pencegah (preventers).

Ubat pelega (Relievers)

  1. Beta-agonist / short-acting β-agonists (SABA)

Contoh:

  1. Salbutamol (Brand names: Asthalin/Butavent/Salamol/ Salmax/Ventamol/Ventolin)
  2. Terbutaline (Brand names: Ataline/Bricanyl/Terbron)

Ubatan kelas ini boleh didapati dalam bentuk tablet, sirap dan juga alat sedut (inhaler). Ia paling lazim digunakan dalam bentuk inhaler yang berwarna biru untuk memberikan kesan yang pantas, berbanding dengan tablet atau sirap. Digunakan untuk melegakan serangan asma akut (acute), mencegah bronkospasma, bronkitis kronik, emfisema dan dispnea akut. Ia juga boleh digunakan oleh pesakit asma sebagai pencegahan serangan asma akibat alergen atau faktor risiko lain. Kesan sampingan lazim ubatan kelas ini adalah tremor, palpitasi, kekejangan otot dan kegelisahan.

  1. Methylxanthine

Contoh: Theophylline (Brand names: Apo-Theo/ Nuelin).

Ubatan kelas ini didapati dalam bentuk tablet dan sirap. Digunakan sebagai terapi tambahan bersama bronkodilator lain untuk melegakan bronkospasma akibat asma, bronkitis dan emfisema. Ubat kelas ini boleh menyebabkan kesan sampingan yang lebih serius seperti gangguan gastrousus, tremor, insomnia dan konvulsi. Oleh sebab itu, ubat ini jarang digunakan sebagai monoterapi.

  1. Anti-muskarinik

Contoh: Ipratropium bromide (Brand name: Atrovent) dan triotropium bromide (Brand name: Spiriva)

Ubatan kelas ini boleh didapati dalam bentuk inhaler dan nebulizer. Digunakan sebagai terapi tambahan bersama salbutamol untuk melegakan bronkospasma akibat asma dan chronic obstructive pulmonary disease (COPD). Kesan sampingan ubatan kelas ini adalah mulut kering, batuk, sembelit, takikardia dan palpitasi.

Penyediaan kombinasi ipratoprium bromide dan salbutamol juga boleh didapati seperti Combivent, Duolin dan Ipramol. Ubat kombinasi ini digunakan untuk serangan bronkospasma akibat COPD.

Ubat kawalan (Controllers)

  1. Long-acting β-agonists (LABA)

Contoh: Salmeterol (Brand name: Seretide), formeterol (Brand name: Oxis).

Ubatan kelas ini lazimnya digabungkan bersama ubat anti-radang seperti fluticasone. Kombinasi yang lazim digunakan dikenali sebagai Seretide inhaler (Salmeterol + Fluticasone propionate) yang berwarna ungu dan Symbicort turbuhaler (Formoterol + Budesonide) yang berwarna oren atau coklat. Ubat ini digunakan sebagai kawalan jangka masa panjang bagi pesakit asma untuk mengawal simptom lelah. Juga digunakan sebagai pencegahan daripada serangan asma akibat sukan. Antara kesan sampingan ubat ini adalah kandidiasis orofarinks, gangguan percakapan (disfonia), sakit kepala dan palpitasi. Pesakit dinasihatkan untuk berkumur selepas menggunakan inhaler jenis ini untuk menjaga kebersihan dan mencegah kandidiasis.

  1. Anti-IgE monoclonal antibody

Contoh: Omalizumab (Xolair)

Ubat ini digunakan untuk asma berterusan yang disebabkan alergi, dan tidak dapat dikawal dengan menggunakan ubat anti-asma yang lain. Ubat ini diberikan secara suntikan intravenus atau subkutaneus. Ubat jenis ini menyebabkan kesan sampingan ringan iaitu kesakitan atau jangkitan di tempat suntikan. Disebabkan kos ubat yang mahal, omalizumab kurang digunakan berbanding ubat anti-asma yang lain.

Ubat pencegah (Preventers)

  1. Kortikosteroid

Contoh: Beclomethasone (Brand names: Beclate/ Beclazone/ Beclomet), Fluticasone (Flixotide), Budesonide (Brand names: Budecort)

Ubat ini juga dikelaskan sebagai agen anti-radang yang digunakan untuk mengurangkan inflamasi saluran bronkial. Digunakan sebagai profilaksis atau pencegahan serangan asma. Inhaler yang digunakan sebagai kawalan pencegahan lazimnya didapati dalam warna oren/coklat. Kesan sampingan ubat ini adalah kandidiasis mulut dan tekak. Pesakit dinasihatkan untuk berkumur selepas menggunakan inhaler jenis ini untuk menjaga kebersihan dan mencegah kandidiasis.

  1. Mast cell inhibitors

Contoh: Cromolyn sodium, Nedocromil, Ketotifen

Ubat kelas ini boleh didapati dalam bentuk inhaler, tablet dan sirap. Digunakan sebagai pencegahan serangan asma seperti asma yang dicetuskan oleh sukan, ubatan atau alergen lain. Kesan sampingan ubat kelas ini termasuklah mulut kering dan mengantuk.

  1. Leukotriene antagonists

Contoh: Montelukast (Brand names: Montelair/ Singlulair).

Ubat kelas ini lazimnya didapati dalam bentuk tablet. Digunakan sebagai pencegahan serangan asma terutamanya untuk serangan asma yang dicetuskan oleh sukan, ubatan atau alergen lain. Montelukast digunakan sebagai terapi tambahan bersama ubat anti-asma lain untuk mengawal asma ringan dan sederhana.

Rajah di bawah menunjukkan beberapa contoh rawatan asma

Sumber: Asthma Education by Cipra Medpro (Pty) Ltd.

Selain mengenal pasti jenis ubat-ubatan asma, pesakit dan keluarga pesakit juga perlu mengambil langkah penjagaan seperti berikut:

  1. Mendapatkan nasihat dan pemantauan berterusan daripada doktor. Pastikan dos ubatan yang diambil adalah bersesuaian dengan keadaan pesakit. Ini adalah untuk memastikan keberkesanan rawatan serta mengurangkan kesan sampingan. Jangan mulakan atau menghentikan terapi tanpa nasihat doktor. Pesakit juga perlu mendapatkan nasihat tentang penggunaan alat sedut yang berlainan jenis dengan cara yang betul. Ini bagi memastikan mereka menerima ubat secara optimum.
  1. Elakkan atau kurangkan pendedahan terhadap risiko yang boleh menyebabkan serangan asma seperti habuk, bulu binatang peliharaan, asap rokok, sesetengah ubatan dan lain-lain. Pesakit asma perlu mengambil ubat profilaksis/ pencegah jika terdedah kepada faktor-faktor ini.
  1. Mengawal pemakanan dan melakukan aktiviti fizikal. Pesakit perlu mengenal pasti dan mengelakkan sebarang makanan yang boleh mencetuskan serangan asma. Sentiasa amalkan pemakanan yang seimbang dan gaya hidup sihat. Jangan takut untuk melakukan sebarang aktiviti fizikal. Lakukan aktiviti fizikal yang bersesuaian dengan keadaan semasa pesakit dan ambil ubat pencegah seperti yang disebutkan di atas.

Rujukan:

  1. Guidelines on Management of Adult Asthma: A Consensus Statement of the Malaysian Thoracic Society.
  2. Clinical Practice Guidelines for the Management of Childhood Asthma. 2014. Academy of Medicine of Malaysia. Malaysian Thoracic Society.
  3. MIMS Malaysia 2017.

Disediakan oleh,

Dr. Nadia Mohd Effendy,

Pensyarah

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box