Jangkitan Rotavirus di Pusat Jagaan Kanak-Kanak – Norvena Hisyam

hmgcc_nursery_2011_11_02_656Anak anda dihantar ke pusat jagaan harian dalam keadaan sihat dan ceria. Apabila pulang ke rumah didapati anak kecil tersebut mengalami cirit birit dan muntah berpanjangan disusuli dengan demam! Jangan ambil remeh sekiranya tanda-tanda tersebut dialami oleh anak anda. Ia berkemungkinan disebabkan oleh jangkitan rotavirus. Virus ini pada asalnya dikaji oleh ahli virologis bernama Ruth Frances Bishop pada tahun 1973 dan dinamakan sebagai rotavirus kerana bentuknya yang seakan-akan roda. Rota bermaksud roda dalam bahasa Latin.

Cara sebaran jangkitan ini adalah berpunca daripada najis. Apabila pengendalian kebersihan kurang sempurna, virus ini boleh melekat pada tangan dan permukaan lain seperti alat-alat permainan. Kebanyakkan simptom selepas terkena jangkitan mulai timbul dalam tempoh kurang daripada 48 jam. Bagi kanak-kanak di bawah umur 2 tahun, rotavirus boleh menyebabkan kematian sekiranya tidak mendapat rawatan segera. Cirit-birit dan muntah-muntah berpanjangan boleh menyebabkan dehidrasi iaitu kehilangan bendalir badan yang serius. Tanda-tanda demam juga turut dialami oleh satu per tiga daripada kanak-kanak yang telah dijangkiti oleh virus ini. Simptom-simptom ini boleh berlarutan sehingga 3 ke 8 hari.

Pencegahan yang paling efektif yang dilaporkan adalah melalui pengambilan suntikan vaksin namun bukanlah 100% mampu mencegah jangkitan ini. Tambahan pula vaksin ini tidak diberikan secara percuma kerana tiada dalam Program Imunisasi Kebangsaan setakat ini kerana penyebarannya masih boleh dicegah sekiranya kebersihan diri dan keluarga diambil berat. Berikut adalah panduan kepada ibu bapa khusus untuk anak-anak mereka yang dijangkiti rotavirus berpunca dari pusat jagaan kanak-kanak:

Elakkan daripada menghantar anak anda ke pusat jagaan kanak-kanak 

Selain dapat memantau dengan lebih teliti keadaan anak anda yang sakit, anda juga membantu mengurangkan risiko penyebaran rotavirus kepada kanak-kanak yang lain.

Catat kekerapan simptom yang dialami 

Bilangan kekerapan cirit-birit dan muntah yang dialami akan dijadikan maklumat penting bagi doktor yang merawat anak anda. Pemeriksaan fizikal dan ujian najis seterusnya akan dilakukan untuk mengesahkan penyakit yang dialami.

Awasi tanda-tanda dehidrasi yang teruk seperti:

  • Kurang kencing (pantau melalui bilangan lampin yang digunakan)
  • Bibir dan mulut kering
  • Mata dan pipi cengkung

Maklumkan kepada doktor sekiranya anda ketahui terdapat kanak-kanak lain di pusat jagaan tersebut yang mengalami simptom yang sama atau telah disahkan positif rotavirus. Maklumat ini penting bagi mempercepatkan proses rawatan seterusnya.

Ambil rawatan segera 

Antibiotik tidak dapat mengubati virus. Antibiotik berfungsi melawan bakteria. Rawatan yang akan diberikan adalah bertujuan untuk mengembalikan air dan garam mineral badan melalui oral rehydration therapy (ORS). Sekiranya terdapat tanda-tanda kehilangan air yang serius seperti muka dan mata yang cengkung, pesakit perlu dimasukkan ke dalam wad untuk pemantauan yang lebih teliti. Kekurangan garam mineral badan boleh menyebabkan kematian.

Teruskan penyusuan susu ibu

Kanak-kanak menjadi tidak bermaya dan menyebabkan sesetengah mereka menjadi kurang selera untuk makan dan minum. Bagi kanak-kanak di bawah usia 2 tahun, penyusuan secara langsung (breastfeeding on demand) boleh membantu menenangkan kanak-kanak di samping membantu mereka mengembalikan tenaga dan air melalui susu ibu.

Pembersihan

Gesa pengusaha pusat jagaan kanak-kanak untuk melakukan pembersihan di pusat tersebut menggunakan cecair antiseptik kerana virus ini mampu hidup di permukaan alat-alat permainan (dan juga tempat-tempat lain seperti permukaan meja) selama beberapa hari sekiranya tidak dicuci.

Jaga kesihatan diri anda

Ya. Virus ini boleh menjangkiti orang dewasa dengan mudah. Kebersihan tangan selepas mengendalikan najis dan pakaian yang terkena najis perlulah dibuat dengan baik. Basuh tangan sebersih-bersihnya. Cuci pakaian atau peralatan yang terkena najis dengan segera. Ingat! Virus ini boleh bertahan di permukaan selama beberapa hari.

Bersabarlah, ia akan berakhir

Berita baik untuk ibu bapa dan penjaga kerana kekusutan menghadapi virus ini akan berakhir dengan lebih cepat bagi kanak-kanak yang mempunyai sistem imunisasi badan yang baik.

Cuci bersih-bersih!

Sentiasa amalkan kebersihan di mana sahaja kita berada. Baik di tandas awam mahupun di rumah. Jangkitan rotavirus boleh berulang sekiranya kebersihan diambil ringan. Sifat semulajadi si kecil yang suka memasukkan barang-barang ke dalam mulut merupakan satu cabaran besar dalam mencegah virus ini.

Norvena binti Hisyam adalah seorang pegawai farmasi yang bekerja di Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

Rujukan:

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box