Imbasan Ultrabunyi Trimester Pertama – Azizul Ismie Mohd Puad

Sumber: www.sheknows.com

Sumber: www.sheknows.com

Dalam pengamalan perubatan, ada pusat-pusat diagnostik atau pakar perbidanan yang menyarankan supaya dilakukan tiga kali imbasan ultrabunyi dalam tempoh kehamilan. Untuk setiap kali imbasan ini ada tujuannya tersendiri. Hasil cerapan imbasan ini dapat membantu para doktor tersebut menilai dan memantau proses kehamilan tersebut.

Imbasan trimester 1 (juga dipanggil trimester pertama) dilakukan antara minggu 11 dan 13 kehamilan. Imbasan ini dilakukan oleh juruultrabunyi (sonografer) atau doktor-doktor yang bertauliah. Berikut ialah maklumat-maklumat yang ingin diketahui oleh para doktor yang terlibat:

  • Bilangan janin. Pertama sekali, doktor perlu tahu adakah janin itu hanya satu, atau kembar. Jika hamil kembar, doktor ingin tahu kembar jenis apa. Adakah kembar seiras, atau kembar tidak seiras? Kembar seiras biasanya ada satu uri. Kembar yang berkongsi uri boleh mendapat kerumitan lain di tengah dan hujung kehamilan.
  • Hidup mati janin. Tempoh awal kehamilan ialah tempoh kritikal untuk hayat janin. Ada janin yang lemah atau bermasalah akan mati awal-awal lagi tanpa disedari oleh ibu yang mengandung. Kebanyakan janin yang mati akan mengakibatkan ‘turun darah’ tetapi ada yang mati tanpa ada tanda (baru mati). Janin yang hidup akan mempunyai degupan jantung dan boleh dilihat bergerak-gerak walaupun si ibu belum merasa apa-apa tendangan.
  • Penentuan usia janin dan tarikh dijangka lahir. Usia janin boleh ditentukan dengan mengukur panjang kepala-ke-punggung (crown-rump length/CRL) dan dari usia janin, doktor boleh menghitung bila janin akan matang dan boleh lahir. Penentuan usia janin pada tempoh ini dikira paling tepat kerana janin masih bergantung kepada nutrien dalam ‘yolk sac’ dan belum terdedah kepada faktor-faktor lain yang boleh ‘memperbesar’ atau ‘mengecilkan’ janin (cth: pemakanan ibu, keadaan kesihatan ibu, komplikasi uri dsb).
  • Penentuan usia janin juga boleh menentukan bila tarikh haid akhir yang sebenar. Ada wanita yang haidnya tidak teratur dan memberikan tarikh yang tidak tepat. Ada juga wanita yang tidak begitu hirau bila masa haid terakhirnya (terutamanya wanita beranak ramai dan tak teruja mendapat anak). Tarikh yang tidak tepat menyebabkan kiraan tarikh bersalin menjadi salah. Dengan membuat kiraan usia janin menerusi ukuran CRL, tarikh lahir yang tepat boleh didapati dan dibandingkan dengan tarikh haid akhir yang diberi.
  • Mengesan kecacatan akibat keganjilan kromosom. Kecacatan akibat keganjilan kromosom (chromosomal anomalies) contohnya seperti sindrom Down (trisomi 21), Turner dan Edward akan menunjukkan tanda yang sangat karakteristik pada janin. Kecacatan sebegini biasanya melibatkan gangguan dalam salur limfa dan menyebabkan cecair terkumpul di belakang tengkuk janin. Air yang terkumpul ini akan membentuk satu lapisan/kawasan yang ‘lutsinar’. Ketebalan lapisan ini menjadi petanda janin yang dikandung mempunyai kecacatan kromosom.
  • Satu lagi tanda kecacatan kromosom ialah kehadiran tulang hidung. Janin yang ada keganjilan kromosom mempunyai tulang hidung yang pendek atau tiada langsung. Kalau dapat diperhatikan, pesakit-pesakit sindrom tadi (cth: sindrom Down) mempunyai wajah yang ketara dan mudah dikenali akibat tulang hidung yang pendek, atau tiada batang hidung.
  • Mencari apa-apa penyakit lain pada rahim dan anggota kelamin seperti fibroid, sista ovari, hamil ‘molar’ (molar pregnancy) dan sebagainya. Ada wanita yang tidak tahu kewujudan fibroid dalam rahimnya, dan jika fibroid itu besar, ia boleh mengganggu proses kelahiran kelak. Ada juga wanita yang mengandungkan ‘mole’. Jika wanita itu hamil ‘molar’, gejala kehamilan adalah sama (rasa loya) tetapi hakikatnya tiada janin pun di dalam rahim. ‘Mole’ ialah hasil persenyawaan yang tidak menjadi dan berisiko menjadi kanser (choriocarcinoma).
  • Mengesan kedudukan uri. Walaupun masih awal, ada doktor yang menggunakan kesempatan ini untuk mengetahui kedudukan uri. Uri boleh melekap pada dinding belakang, dinding depan atau dinding atas/bumbung rahim. Yang paling ditakuti ialah kedudukan uri rendah. Tetapi diagnosis uri rendah biasanya diberi lewat dalam tempoh hamil (trimester 2 atau 3).

Begitulah secara amnya apa yang dilakukan oleh sonografer atau pakar perbidanan pada imbasan ultrabunyi trimester 1. Setiap kehamilan adalah penting dan setiap maklumat yang didapati sangat bermakna dalam membantu mempersiap pasangan ibu bapa mengharungi saat-saat kritikal ini.

Azizul Ismie ialah sonografer yang bertugas di sebuah klinik O&G swasta yang masyhur di Kuantan. Jika ada pemeriksaan ultrabunyi dengan beliau, sila ambil maklum yang semua keputusan akan diberi oleh Doktor Pakar. Azizul tidak boleh mendedahkan keputusan terus kepada pesakit untuk mengelakkan silap faham atau percanggahan maklumat.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box