I.K.H.L.A.S. Rawatan Kencing Manis – Dr. Mohd Shaiful Ehsan

type-2-diabetesRamai di antara pesakit kencing manis seringkali beranggapan rawatan kencing manis hanyalah bergantung pada ubat-ubatan. Ini menyebabkan mereka berasa hilang keyakinan dalam mendapatkan rawatan dan seringkali memikirkan kesan sampingan berbanding kebaikan yang bakal diperolehi. Tak kurang juga ada diantara pesakit yang merasakan diri mereka tiada peranan khusus dalam membantu mengawal serta menstabilkan bacaan gula mereka. Adakah rawatan kencing manis begitu hambar?

Apakah matlamat rawatan kencing manis yang sebenar?

Berikut adalah matlamat utama yang perlu difahami:

  1. Membebaskan pesakit daripada gejala-gejala kandungan gula yang tinggi; seperti letih, lesu, tidak bermaya, kerap rasa dahaga dan kerap kencing. Dengan kata lain, bertujuan meningkatkan kualiti hidup para pesakit.
  2. Menurunkan paras gula kepada paras yang lebih baik.
  3. Mengesan dan mencegah risiko komplikasi kencing manis.
  4. Mengawal dan mengubati komplikasi kencing manis yang sudah ada.

Namun, apakah cara untuk mencapai matlamat tersebut. Jawapannya dapat saya simpulkan dengan pengamalan I.K.H.L.A.S. IKHLAS adalah ringkasan untuk salah satu pendekatan holistik dalam merawat KENCING MANIS. Mari kita lihat satu persatu komponen I.K.H.LA.S.:

I – Ilmu dan Informasi:

‘I’ merujuk kepada ilmu dan informasi. Pendidikan dan ilmu pengetahuan merupakan perkara penting untuk para pesakit ketika melakukan saringan penyakit, apatah lagi ketika diberitahu mereka menghidapi penyakit kencing manis. Para pesakit perlu memahami terlebih dahulu apakah itu kencing manis secara terperinci. Kencing manis adalah penyakit kronik yang perlu dikawal. Jadi mereka perlu faham akan konsep ini. Ianya tidak dapat disembuhkan atau dinyahkan dari badan dalam masa yang singkat. Maklumat ini penting agar pesakit tidak tertipu dengan rawatan-rawatan yang ‘indah kabar dari rupa’, yang seringkali memaparkan janji-janji manis termasuk kaedah penurunan gula yang cepat.

Para pesakit termasuk ahli keluarga juga perlu diberitahu berkenaan sasaran tahap gula yang stabil yang perlu dicapai. Dan apakah peranan yang boleh mereka lakukan. Ini termasuklah mengenalpasti tanda-tanda kandungan gula yang tinggi serta terlalu rendah (hipoglisemia), dan gejala-gejala merbahaya yang boleh mereka alami yang memerlukan rawatan segera. Pesakit perlu faham apakah komplikasi yang boleh berlaku akibat gula yang tidak stabil ataupun terlalu tinggi. Fungsi insulin dalam mengawal metabolisma gula di dalam badan juga perlu difahami. Pesakit juga perlu tahu apakah fungsi ubat-ubatan dalam penurun tahap gula dalam darah serta cara yang efektif untuk mengambilnya.

Sebagai pengamal perubatan pula, adalah menjadi tugas kami untuk mendapatkan ‘I’ juga iaitu ilmu dan informasi yang tepat berkenaan dengan latar belakang diri para pesakit sebelum memulakan rawatan. Ini termasuklah sejarah kesihatan pesakit, tabiat pemakanan, menu utama yang diambil pesakit, rutin aktiviti harian dan juga sejarah kesihatan keluarga. Kami juga perlu menilai bacaan tekanan darah dan berat badan pesakit ketika mendapatkan rawatan. Selain itu, kami juga perlu memeriksa keadaan dan fungsi organ dalam badan pesakit pada saat pertama kali berjumpa dengan mereka. Ini termasuklah memeriksa keadaan mata, jantung, saluran darah pada tangan dan kaki berserta dengan fungsi saraf. Sampel darah pesakit juga perlu diambil bertujuan menilai tahap kesihatan dan fungsi buah pinggang, hati dan kolesterol para pesakit. Ini semua penting dalam memulakan rawatan kami termasuk dalam pemilihan ubat-ubatan yang sesuai dengan profil kesihatan pesakit secara menyeluruh.

K – Kental dan Positif:

‘K’ merujuk kepada sifat kental dan kendiri yang baik. Setiap pesakit perlulah mempunyai hati yang cekal dan kental. Mendapat kencing manis bukanlah satu pengakhiran dalam hidup, tetapi anggaplah ia sebagai cabaran yang boleh diatasi. Dapatkan sokongan bukan sahaja dari pihak pengamal perubatan, tetapi juga daripada keluarga anda. Keluarga boleh terlibat secara tidak langsung dalam rawatan pesakit dengan sama-sama mengamalkan cara hidup yang sihat, seperti menukar diet seharian di rumah dan mewujudkan hari-hari senaman sekeluarga yang tetap sebagai aktiviti mingguan keluarga. Para pesakit juga perlu bermotivasi untuk mengambil rawatan dan tidak menyalahkan keadaan dan perlu lebih menyayangi diri sendiri. Dengan berfikiran positif, hasil rawatan yang bakal diperolehi juga semakin baik.

H – Hidup yang Sihat:    

‘H’ merujuk kepada hidup yang lebih sihat. Biar apapun penyakit kronik yang dihidapi, semestinya amalan cara hidup yang sihat perlu senantiasa diperaktikkan. Ianya bukan sahaja antara rawatan terawal yang berkesan sebelum memulakan rawatan ubat-ubatan, tetapi merupakan rawatan sepanjang hayat yang berkesan untuk menurunkan bacaan gula dan meningkatkan kualiti hidup. Amalan cara hidup yang sihat adalah wajib.

Antara cara hidup yang sihat termasuklah:

Pemakanan seimbang – unsur karbohidrat, protein, lemak dan fiber perlulah mengikut nilai kalori yang diperlukan seharian dan dibahagikan kepada sarapan pagi, tengah hari, petang dan malam. Elakkan daripada memakan gula ringkas seperti manisan, ais krim, minuman ringan, minuman berkordial dan juga minuman ‘3 in 1’. Jangan takut untuk mengambil unsur karbohidrat seperti nasi, tetapi ambillah dalam kuantiti yang disarankan iaitu tidak melebihi satu per empat saiz piring. Satu per empat yang lain pula perlulah mengandungi unsur protein seperti ikan yang dimasak secara panggang berbanding goreng. Manakala baki separuh daripada piring perlulah mengandungi sayur-sayuran dan unsur fiber. Sekiranya ingin memakan buah-buahan, ikutlah saiz hidangan yang disarankan dan makanlah ketika menjamah menu utama. Elakkan daripada mengambil buah-buahan tanpa makanan utama, untuk mengelakkan penigkatan gula yang cepat. Ambillah juga pemakanan yang mengandugi kadar indeks gula yang rendah (low glycaemic index), yang mana peningkatan gula di dalam darahnya adalah lebih perlahan.

Amalkan aktiviti harian yang aktif,bermula dengan aktiviti yang sederhana ringan kepada aktiviti yang lebih aktif mengikut profil kesihatan dan kemampuan pesakit. Tetapi bagi pesakit yang mempunyai masalah kesihatan seperti sakit jantung atau buah pinggang yang teruk, keadaan saluran darah yang tidak stabil atau kandungan gula yang sangat tinggi, pesakit perlulah mendapatkan nasihat dan rawatan terlebih dahulu. Aktiviti aktif yang berlebihan adalah berbahaya dan tidak digalakkan bagi golongan pesakit ini. Justeru, penilaian dan pemeriksaan awal seperti melakukan penilaian keadaan jantung terlebih dahulu dan mengawal paras gula dengan ubat-ubatan adalah perlu sebelum melakukan senaman cergas.

L- Latih

‘L’ pula merujuk kepada latih iaitu mengawal dan melatih diri dengan mengawal jumlah dan jenis pemakanan yang diambil sehari, berdisiplin dalam pengambilan ubat, konsisten dalam melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya selama 150 minit seminggu dan melatih diri untuk senantiasa berfikiran positif. Pada peringkat awal, insulin juga boleh diperkenalkan kepada pesakit yang bersetuju dan bermotivasi mengamalkan insulin. Insulin bukanlah satu cara terakhir, tetapi adalah alternatif ubat-ubatan yang boleh dimulakan di peringkat awal. Latih juga bermaksud pesakit tidak cuai dalam pengambilan ubat-ubatan berjadual dan tidak lupa akan temujanji yang telah ditetapkan.

A – Awasi

‘A’ merujuk kepada – Mengawasi diri daripada penyakit-penyakit yang boleh terjadi akibat komplikasi kencing manis. Ini termasuk melakukan langkah-langkah pencegahan seperti berhenti merokok, mengelakkan minuman beralkohol, menjaga kesihatan mata, mengekalkan bacaan tekanan darah yang baik, menjaga kesihatan organ-organ dalam badan dan mengenalpasti tanda-tanda awal komplikasi penyakit kencing manis termasuk mati pucuk bagi lelaki. Sekiranya ada tanda-tanda awal, teruslah dapatkan nasihat doktor sertarawatan lanjut.

Awasi juga merujuk kepada amalan yang sihat seperti tidak mengambil bahan-bahan jamu terlarang yang boleh merosakkan kesihatan buah pinggang dan hati. Kurangkan pengambilan garam kepada satu sudu kecil sahaja sehari. Jika mengalami kegemukan, sasar penurunan berat badan sekitar 5-10% dalam masa 6 bulan dan cuba dapatkan nasihat pakar pemakanan untuk mengurangkan nilai kalori yang diambil sehari.

Awasi juga bermaksud para pesakit perlu mengikuti pemantauan pemeriksaan kesihatan yang telah disarankan oleh pihak kesihatan seperti pemeriksaan ‘elektrocardiogram’ atau ECG, iaitu pemeriksaan jantung sekurang-kurangnya setahun sekali, pemeriksaan mata terperinci sekurang-kurangnya setahun sekali, pemeriksaan imbasan paru-paru (chest x-ray) setahun sekali untuk menyaring penyakit tuberkulosis, melakukan pemeriksaan berkala pada fungsi hati dan buah pinggang sekurang-kurangnya setahun sekali (sekiranya normal) dan mengambil langkah-langkah pencegahan luka pada kaki atau ‘ulcer’ kaki.

S – Susulan.

‘S’ merujuk kepada rawatan susulan. Setiap pesakit kencing manis perlu mendapatkan rawatan susulan bersama pihak doktor, pihak pakar pemakanan (dietitian) dan pihak pengajar kencing manis (diabetic educator). Biarpun bacaan gula pesakit adalah normal dan pesakit tidak mengambil sebarang ubat-ubatan, namun pesakit masih perlu mendapatkan nasihat dan pemantauan susulan melalui temujanji dengan pihak doktor secara berkala. Ini kerana kencing manis adalah penyakit kronik dan komplikasi daripada penyakit ini dapat dicegah dengan lebih awal.

Pihak pesakit juga perlulah memberitahu pihak doktor jika ada yang ingin bercuti ke luar negara atau menunaikan haji dan umrah mahupun yang merancang untuk mengandung. Ini membolehkan pihak kesihatan menyediakan ubat yang mencukupi ketika pesakit berada di luar negara dan memberikan nasihat yang sesuai kepada pesakit termasuk sasaran bacaan gula dan pengubahsuaian ubat dalam tempoh tertentu sebelum mengandung.

Akhir kata, semoga I.K.H.L.A.S dapat membantu para pesakit memahami peranan mereka dalam mengoptimumkan rawatan kencing manis mereka serta komplikasi kencing manis dan mendapat gambaran sebenar berkenaan kawalan penyakit kencing manis.

Dr. Shaiful Ehsan sedang melanjutkan pelajaran beliau untuk menjadi seorang Pakar Perubatan Keluarga dan kini merupakan seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Artikel ini diterbitkan semula sempena Hari Diabetes Sedunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box