Caesarean: Bukan Pengakhiran Kepada Kelahiran Normal – Dr Mardiana Kipli

Sumber: www.examiner.com

Sumber: www.examiner.com

Dahulu saya melahirkan anak secara pembedahan caesarean. Bolehkah saya bersalin secara normal pada kali ini?

Dilema ini adalah biasa untuk ibu-ibu yang pernah menjalani pembedahan caesarean. Ramai yang tertanya-tanya sama ada mereka boleh bersalin normal pada kandungan yang seterusnya atau perlu menjalani pembedahan caesarean sekali lagi. Memandangkan kes-kes sebegini mempunyai risiko, mereka akan dirujuk kepada pakar obstetriks untuk dinilai sama ada mereka sesuai untuk mencuba bersalin normal atau tidak. Secara lazimnya, pesakit ini akan diberi kaunseling untuk memilih bersalin secara normal ataupun menjalani pembedahan caesarean sekali lagi.

Kebanyakan pesakit berasa takut untuk bersalin secara normal apabila mendengar risiko pecah rahim boleh berlaku kepada pesakit yang pernah menjalani pembedahan caesarean. Walau bagaimanapun, risiko ini sangatlah kecil dan lebih daripada 75 peratus pesakit yang pernah menjalani pembedahan caesarean ini telah berjaya menempuhi proses bersalin secara normal tanpa apa-apa komplikasi. Malah, peratusan kejayaan lebih tinggi sekiranya pesakit ini mengalami kontraksi sendiri tanpa perlu dipaksa bersalin (induce). Sepanjang proses bersalin, pihak hospital akan sentiasa memantau degupan jantung bayi di samping memastikan pesakit dalam keadaan yang stabil setiap masa. Sekiranya terdapat tanda-tanda awal rahim pecah seperti jantung bayi tidak kuat atau “lemas”, sakit di bahagian parut pembedahan atau pendarahan luar biasa pada pesakit, pembedahan caesarean secara kecemasan akan dilakukan dengan segera.

Andai kata anda takut untuk bersalin normal kerana sakit, sesetengah hospital menawarkan bius epidural yang sangat efektif untuk memastikan anda rasa lebih selesa semasa proses bersalin. Pelbagai ubat penahan sakit lain yang lain juga selamat untuk digunakan dan tidak akan mengganggu proses bersalin. Kebanyakan hospital mengamalkan ‘husband friendly’ yang membenarkan suami untuk menemani anda sepanjang masa proses bersalin.

Adakah anda tahu bahawa bayi yang bersalin secara normal lebih sihat daripada bayi yang bersalin secara pembedahan caesarean? Satu perbandingan telah dilakukan di antara kedua-dua kumpulan bayi, di mana bayi yang bersalin secara pembedahan caesarean sebelum 39 minggu lebih cenderung mengalami masalah pernafasan berbanding dengan bayi yang bersalin secara normal. Ini adalah disebabkan bayi yang melalui proses bersalin normal menghasilkan hormon kortisol yang lebih tinggi untuk mematangkan sel-sel pernafasan di dalam paru-paru bayi.

Sekiranya anda memilih untuk bersalin normal, anda juga boleh mengelakkan pelbagai komplikasi yang boleh berlaku semasa pembedahan caesarean seperti pendarahan, uri melekat pada parut rahim, kecederaan pada pundi kencing atau usus disebabkan perlekatan pada parut lama. Selain daripada itu, pesakit yang menjalani pembedahan caesarean juga terdedah kepada risiko darah beku di dalam pembuluh darah kaki atau deep vein thrombosis yang boleh menyebabkan kematian sekiranya darah beku ini pecah dan tersumbat pada jantung atau paru-paru. Perlu diingatkan juga, risiko bius juga perlu diambil kira sekiranya pesakit menjalani pembedahan caesarean.

Secara umumnya, proses penyembuhan adalah lebih cepat untuk pesakit yang berjaya bersalin normal. Kebanyakan pesakit yang bersalin normal boleh berjalan dengan lebih awal, lebih aktif dan dibenarkan pulang ke rumah lebih cepat. Pesakit juga tidak akan mengalami sakit yang lama selepas bersalin dan boleh mengendalikan bayi dengan lebih cepat berbanding dengan pesakit yang menjalani pembedahan.

Sebelum anda memilih untuk bersalin normal selepas pembedahan caesarean, beberapa faktor perlu dipertimbangkan terlebih dahulu. Adalah penting untuk mengetahui sejarah pembedahan caesarean anda dahulu untuk memastikan tiada komplikasi pada kandungan dahulu. Hysterotomy atau pembedahan yang dilakukan sebelum 28 minggu secara lazimnya tidak dibenarkan bersalin normal pada kandungan seterusnya kerana ianya mempunyai risiko tinggi untuk mendapat rahim pecah. Jarak kandungan yang kurang daripada 18 bulan juga meningkatkan risiko rahim pecah tiga kali ganda lebih tinggi kerana bahagian yang dibedah belum sembuh sepenuhnya. Ibu yang telah menjalani pembedahan caesarean lebih daripada sekali juga tidak dibenarkan mencuba bersalin normal kerana risiko untuk rahim pecah sangatlah tinggi selepas itu.

Kesimpulannya, bersalin normal adalah baik untuk ibu dan bayi walaupun pernah menjalani pembedahan caesarean sebelum ini. Apa pun pilihan anda, sama ada memilih untuk bersalin biasa atau menjalani pembedahan caesarean sekali lagi, pesakit dan pasangan perlu memahami dan menilai baik buruknya kaedah bersalin yang dipilih itu. Perlu diingatkan, semua pesakit yang pernah menjalani pembedahan caesarean hendaklah mendapatkan rujukan rawatan daripada pakar obstetriks. Bersalin di hospital adalah penting untuk memastikan keselamatan ibu dan bayi sentiasa terjamin semasa proses bersalin nanti.

Dr. Mardiana Kipli M.D. (UNIMAS) merupakan seorang Pakar Perbidanan dan Sakit Puan yang mempunyai kelulusan  Sarjana Perbidanan dan Sakit Puan (Masters in Obstetric & Gynaecology) dan sedang berkhidmat di Kuching. Artikel ini ditulis sempena Bulan Kesedaran Caesarean Sedunia yang berlangsung pada bulan April 2015.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

7 comments for “Caesarean: Bukan Pengakhiran Kepada Kelahiran Normal – Dr Mardiana Kipli

  1. ayu
    April 15, 2015 at 10:48 am

    Dah 2x czer…ohh..nampaknya lepas ni kena czer lagilah gamaknya.. uhuuuu…..susah nak jaga kalau bersalin secara pembedahan ni tau..apapun..syukur sebab semua selamat..

  2. nadia1984
    April 15, 2015 at 11:19 am

    salam Doktor..saya baru lepas bersalin anak yang ketiga.Anak yang pertama czer dan anak yang kedua secara normal.Anak yang ketiga terpaksa czer secara kecemasan kerana saya tumpah darah.Jarak antara anak pertama kedua setahun dan kedua dengan ketiga dua tahun.Soalan saya adakah saya boleh hamil lagi keempat dan bagaimana proses kelahirannya nanti..Adakah melalui pembedahan atau boleh normal

    • Mardiana
      April 19, 2015 at 1:30 am

      salam. disebabkan puan sudah dibedah lebih drpd sekali, amatlah penting untuk menjarakkan kandungan minimum 2 tahun untuk memastikan parut luka itu sembuh sepenuhnya. kandungan ke 4 puan perlu di caesar terus kerana puan sudah pun dibedah dua kali. bersalin biasa tidak dibenarkan lagi kerana parut pada rahim tidak lagi kukuh seperti dulu.

      kita akan menjangka pembedahan caesar yg ke tiga ini lebih rumit drpd sebelumnya disebabkan adhesian atau perlekatan di dlm parut lama. insyaAllah, sekiranya puan dibedahkan oleh doktor yang berpengalaman, mudah-mudahan tiada sebarang masalah berlaku semasa pembedahan caesar yg ke tiga itu nanti. sesetengah hospital menggalakkan tubal ligation dilakukan serentak semasa caesaer ke tiga untuk menggelakkan lebih byk komplikasi sekiranya puan sudah dibedah berulangkali.

  3. shaidatus
    May 14, 2015 at 10:06 am

    assalamualaikum dr.. saya sdg pregnant 34 weeks.. primigravida n ada uterine fibroid 8×9 di posterior lower segment.. bole ka sya c-section skali buang fibroid tu??

    • mardiana
      May 23, 2015 at 6:13 pm

      w’lam.

      Fibriod semasa mengandung tidak boleh dipotong sekali semasa caesar kerana ia boleh menyebabkan pendarahan yg tidak terkawal semasa pembedahan. Disebabkan pengaruh hormon semasa mengandung, saluran darah pada fibriod dan rahim akan menjadi lebih kembang. Selalunya fibriod boleh mengecut atau hilang sendiri selepas bersalin. Sila pastikan puan mendapat pemeriksaan gynae selepas habis berpantang untuk memantau saiz fibriod tersebut.

  4. che rohana
    May 18, 2015 at 9:58 am

    assalamualaikum. sy disahkan hamil skrg 3 bln slps c-ser ank sulung 8 bln..sy tringin untuk bersalin secara normal krn trauma dgn ksakitan brsalin c-ser. Adakah saya akn dbenarkn utk bersalin normal ank ke2 ni? utk pngetahuan doktr sy juga mmpunyai mslh jantung pling minimal pd injap dn hanya brjumpa pakar setahun skali utk pemantauan tanpa mngambil sebrg ubat dn rawatan.

  5. nora
    July 11, 2015 at 2:25 pm

    Assalam dr,,
    Saya sekarang sedang mengandung anak yg ke 3 selepas bersalin anak pertama secara czer dan anak kedua pun czer jarak anak pertama dn kedua adalah setahun,
    Dan saya sekarang sy mengandung anak ke3 dengan jarak 4 tahun selepas bersalin czer anak ke2 dan Saya berancang ingin bersalin secara normal…adakah saya di beri peluang bersalin secara normal…atau adakah peluang untuk saya mendapat ank ke 4 jika ank ke 3 saya pun czer…mohon pencerahan…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box