Bahayakah COVID-19 kepada Pesakit Buah Pinggang Kronik dan Dialisis? – Dr Nur Hidayati Mohd Sharif

Bertalu-talu soalan ditanya oleh pesakit saya – bahayakah COVID-19? Mereka takut untuk datang menjalani sesi dialysis dan temujanji mereka. Apatah lagi apabila melihat statistik pesakit yang meninggal dunia akibat COVID-19 rata-ratanya mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi seperti mereka.

Tidak dinafikan sebagai seorang pesakit dialisis yang mempunyai berbagai penyakit kronik – anda mempunyai risiko yang lebih tinggi daripada orang yang tidak berpenyakit untuk mendapat jangkitan COVID-19. Maka, amatlah penting bagi semua pesakit dialisis mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri dari jangkitan COVID-19.

Antara langkah yang boleh anda ambil termasuklah :-

  • Kekal berada di rumah dan hanya keluar untuk rawatan dialisis
  • Menjauhkan diri daripada individu yang mempunyai simptom jangkitan COVID-19 seperti demam, sakit tekak serta batuk berpanjangan. Jika boleh, elakkan bergaul rapat dengan orang luar walaupun mereka tidak menunjukkan tanda penyakit (tiada simptom). Kajian menunjukkan jangkitan COVID-19 boleh juga disebarkan oleh mereka yang tidak mempunyai tanda penyakit.
  • Kekalkan penjarakkan sosial (social distancing) sebanyak lebih 1 meter (3 kaki) apabila berjumpa dengan orang lain.
  • Jangan bersentuhan atau bersalaman semasa berurusan seperti melakukan pembelian makanan atau menerima bungkusan barangan. Amalkan penyerahan tanpa kontak (contactless delivery) di mana barangan, ubatan atau makanan yang diserahkan diletakkan di tempat barangan seperti atas meja atau ditinggalkan di tepi pintu
  • Tidak menyertai apa-apa keraian ataupun perjumpaan beramai-ramai. Ini adalah termasuk dengan aktiviti keagamaan (contoh perhimpunan gereja, sembahyang berjemaah, kuliah agama dan sebagainya) dan majlis keraian keluarga seperti perkahwinan, majlis hari jadi atau kenduri
  • Tidak menggunakan pengangkutan awam untuk pergi ke pusat dialisis. Jika perlu, pastikan menggunakan topeng muka dan mengguna pembersih tangan (hand sanitizer)
  • Ahli keluarga yang tinggal bersama anda perlu juga mengambil langkah berjaga-jaga yang sama. Mereka perlu pastikan bahawa mereka sendiri tidak terdedah dengan jangkitan COVID-19 kerana mereka boleh memberi jangkitan itu kepada anda dengan mudahnya
  • Sentiasa jaga kebersihan dengan membasuh tangan dengan sabun atau mengguna pembersih tangan (hand sanitizer) sebelum dan selepas rawatan dialisis

Anda juga dinasihatkan untuk mengikut jadual rawatan dialisis yang telah ditetapkan oleh pusat dialisis dan tidak menukar waktu rawatan yang telah ditetapkan. Anda perlu mengawal jumlah pengambilan air bagi mengelakkan keadaan berlebihan air yang memerlukan anda dimasukkan ke hospital untuk rawatan kecemasan.

Saya ada batuk dan demam. Saya perlu datang melakukan rawatan dialisis. Apa yang saya perlu lakukan?

Pusat dialisis anda patut telah membuat langkah berjaga-jaga untuk menghindari jangkitan COVID-19 di dalam pusat dialisis. Pusat dialisis perlu melakukan saringan terhadap semua pesakit yang mempunyai tanda awal jangkitan paru-paru sebelum mereka masuk ke pusat dialisis. Langkah ini penting untuk melindungi kesihatan staf dan pesakit dialisis di pusat itu.

Jika anda mempunyai tanda jangkitan paru-paru – seperti demam, batuk atau sakit tekak – sila maklumkan ke pusat dialisis anda terlebih dahulu. Pakailah topeng muka sebelum anda masuk ke pusat dialisis, semasa rawatan dialisis sehinggalah anda pulang ke rumah. Jika anda mempunyai risiko jangkitan COVID-19, seperti kontak rapat yang telah disahkan positif untuk jangkitan COVID-19, anda juga perlu menjalani saringan COVID-19.

Apa yang saya harus lakukan jika saya atau kontak rapat saya disyaki telah dijangkiti COVID19?

Anda perlu menjalani saringan COVID-19 secepat mungkin. Sila beritahu kepada pusat rawatan dialisis jika anda atau kontak rapat anda disyaki dijangkiti COVID-19. Apabila pusat dialisis dimaklumkan anda atau kontak rapat anda disyaki jangkitan COVID-19 mereka perlu melakukan langkah pengasingan untuk mengelakkan potensi penyebaran jangkitan COVID-19.

Bagaimana saringan COVID-19 dilakukan?

Saringan COVID-19 dilakukan mengunakan sampel swab (kapas kesat). Sampel diambil dari hidung dan mulut. Swab ini kemudiannya diuji untuk melihat jika ada mengandungi bahan genetic virus yang menyebabkan jangkitan COVID-19. Ujian itu dipanggil RT PCR.

Jikalau ujian ini positif, anda disahkan telah dijangkiti COVID-19. Anda  perlu menjalani kuarantin di hospital yang dikhaskan untuk rawatan COVID-19. Di dalam hospital, anda akan dirujuk kepada pakar buah pinggang di hospital itu untuk meneruskan rawatan dialisis anda sepanjang tempoh kuarantin.

Dr Nur Hidayati Mohd Sharif adalah pensyarah dan pakar perubatan dalam bidang Perubatan Dalaman dan Nefrologi.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box