Bagaimana Denggi Membunuh? – Dr Nur Hidayati

Ramai yang menyangka jangkitan denggi tidak merbahaya. Tanggapan ini adalah salah! Malah, setiap tahun terdapat peningkatan kes kematian akibat demam denggi di Malaysia.

Mengapa ada yang mati selepas mendapat demam denggi sedangkan ramai sahaja yang dijangkiti demam denggi tanpa mendapat komplikasi yang teruk?

Kanak-kanak, warga emas, golongan yang mempunyai masalah kesihatan seberti obesiti, kencing manis dan darah tinggi mempunyai risiko tinggi untuk mengalami komplikasi teruk seperti kegagalan organ dan sindrom renjatan denggi (Dengue Shock Syndrome) hingga membawa kematian. Bagi golongan yang mempunyai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, masalah jantung atau buah pinggang yang kronik, penyakit yang mereka hidapi boleh melarat apabila dijangkiti demam denggi sehingga mengancam nyawa mereka.

Contohnya jika seseorang mempunyai kencing manis dan masalah buah pinggang dijangkiti demam denggi, mereka lebih berisiko untuk mengalami komplikasi daripada penyakit mereka seperti ketoasidosis dan kegagalan buah pinggang hingga memerlukan rawatan dialisis. Mereka juga lebih cenderung mendapat komplikasi denggi seperti sindrom renjatan denggi (Dengue Shock Syndrome) atau demam denggi berdarah (Dengue Hemorrhagic Fever). Risiko kematian bagi seseorang mengalami komplikasi denggi atau komplikasi penyakit yang teruk adalah amat tinggi.

Apabila wabak denggi menular luas, lebih tinggi kebarangkalian untuk wabak ini mengjangkiti golongan yang mudah mengalami komplikasi termasuklah kanak-kanak dan warga emas. Itulah sebabnya  amat penting bagi kita mengekang penularan wabak denggi ini dari peringkat awal lagi.

Bagaimana kita mengawal penularan wabak denggi?

Masyarakat Malaysia harus mengambil langkah proaktif untuk melindungi diri dan keluarga daripada jangkitan demam denggi. Antara cara-cara yang anda boleh lakukan untuk melindungi diri anda daripada jangkitan demam denggi :-

1. Lindungi diri anda dari gigitan nyamuk Aedes

Pakai pakaian yang melitupi kebanyakan bahagian tubuh untuk melindungi diri anda dari gigitan nyamuk. Anda boleh pasang jaring nyamuk dan skrin pada tingkap untuk mencegah nyamuk dari memasuki rumah. Selain dari itu, anda juga boleh menggunakan ubat nyamuk semasa berada di luar kawasan rumah.

2. Musnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes

Langkah yang paling berkesan untuk mencegah denggi ialah dengan memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk berhampiran kawasan kediaman anda. Nyamuk Aedes amat suka membiak di tempat yang senang menakung air; seperti longkang yang tersumbat, pasu kosong, tayar buruk dan bekas menyimpan air. Anda harus memastikan air di dalam pasu bunga dan bekas air di luar rumah selalu ditukar untuk mencegah nyamuk daripada membiak di dalamnya.

Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Nur Hidayati, seorang doktor perubatan dalaman yang bertugas di sebuah hospital di Selangor. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

 

Rujukan:

  1. Sam, S.-S., Omar, S. F. S., Teoh, B.-T., Abd-Jamil, J., & AbuBakar, S. (2013). Review of Dengue Hemorrhagic Fever Fatal Cases Seen Among Adults: A Retrospective Study. PLoS Neglected Tropical Diseases, 7(5), e2194. http://doi.org/10.1371/journal.pntd.0002194
  2. http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3642057/
  3. CPG Management of Dengue Infection In Adults (Third Edition

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box