Apabila Ibu Jari Kaki Membengkok – Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed

Anda mungkin terlihat ibu jari kaki seseorang membengkok ke arah jari kelingking hingga kadang-kala bersilang dengan jari kaki yang di sebelahnya. Keadaan ini dikenali sebagai Hallux valgus.

Sumber: Dr. Mahyudding (dengan kebenaran pesakit)

Sumber: Dr. Mahyuddin (dengan kebenaran pesakit)

Ia disebabkan oleh ketidakseimbangan pada otot dan urat tendon pada kaki tersebut. Pada peringkat awal ianya mungkin tidak menimbulkan sebarang masalah, namun keadaan ini bersifat progresif, semakin lama ibu jari pesakit akan semakin bengkok dan menyebabkan radang, kesakitan serta ‘Bursitis’. Bursitis ialah radang pada tisu bursa iaitu tisu pelapik antara kulit dan tulang ibu jari kaki.

Kajian menunjukkan keadaan ini sepuluh kali lebih kerap terjadi pada wanita berbanding lelaki. Antara faktor-faktor yang meninggikan risiko berlakunya keadaan ini ialah pemakaian kasut yang ketat terutamanya kasut berbentuk tirus atau runcing dan juga kasut bertumit tinggi. Pesakit-pesakit Rheumatoid arthritis serta penari ballet juga berisiko untuk mendapat masalah kesihatan ini.

 

Etiologi

Punca terjadinya masalah ini masih lagi misteri namun terdapat bukti yang faktor genetik boleh menyumbang ke arah masalah ini. Sebab-sebab lain ialah trauma seperti kepatahan tulang jari kaki, kerosakan tisu dan saraf kaki, masalah sistem saraf otot seperti Polio dan penyakit Charcot-Marie-Tooth.

Pada peringkat awal, keadaan ini tidak memberi sebarang masalah kepada pesakit kecuali isu kosmetik. Masalah mula timbul apabila komplikasi berlaku. Jari kaki yang membengkok ini meyebabkan tulang sisi menjadi timbul. Tulang timbul ini dikenali sebagai ‘Bunion’. Apabila pesakit berjalan dengan memakai kasut, kulit pada luar bunion ini akan bergesel dan menyebabkan radang serta luka. Pemakaian kasut berbentuk tirus atau runcing boleh menyebabkan simptom menjadi semakin parah.

 

Rawatan

Rawatan biasanya dibuat berdasarkan peringkat masalah yang sedang dihadapi. Pada peringkat awal, keradangan boleh dikurangkan dengan ubat anti-radang serta dituam dengan menggunakan ais. Pesakit juga akan dinasihatkan untuk memilih kasut atau selipar yang sesuai bagi mengelakkan tekanan pada bahagian sisi kaki. Alas atau ‘padding’ pada bahagian tulang yang tertonjol dapat mengurangkan radang atau mengelakkan luka pada bahagian itu.

Sekiranya luka atau ulcer terbentuk, ia perlu dicuci sehingga sembuh. Sekiranya luka ini dijangkiti kuman, antibiotik perlu diberikan kepada pesakit.

Tiada ubat-ubatan yang boleh membetulkan kebengkokan ini. Satu-satunya cara ialah dengan melakukan pembedahan. Tujuan utama pembedahan dilakukan adalah bagi mengelakkan komplikasi yang timbul. Sebab kedua pula adalah bagi tujuan kosmetik. Terdapat pelbagai prosedur yang melibatkan pemotongan tulang dan juga jahitan pada tisu kapsul jari kaki bagi membetulkan keadaan ini.

Sekiranya anda mempunyai masalah ini, anda boleh mendapatkan maklumat dan rawatan lanjut dengan berjumpa dengan doktor ortopedik yang berhampiran.

 

Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Mahyuddin, seorang pakar bedah ortopedik yang bertugas di sebuah hospital di Pahang. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

 

Rujukan

  • Postgraduate Orthopaedics, Pau A. Banaszkiewicz. Cambridge University Press 2009

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box