Shisha: Adakah Risikonya Berbaloi? – Dr. Dhesi BR

Sumber: http://www.theepochtimes.com

Sumber: http://www.theepochtimes.com

Satu kajian yang dijalankan oleh American Lung Association pada tahun 2007 menunjukkan peningkatan penggunaan shisha di seluruh dunia dan kebanyakannya terdiri daripada kalangan remaja dan pelajar universiti. Para belia menganggap shisha suatu produk herba dan berpendapat bahawa asap shisha tidak mengandungi tembakau.

Pada 2010, tinjauan “Monitoring The Future” mendapati 17% daripada remaja sekolah menengah di Amerika Syarikat menghisap shisha. Mengikut undang-undang di Malaysia, produk rokok yang berdaftar hanya boleh mengandungi tahap-tahap nikotin dan TAR (total aerosol residue: jumlah baki aerosol) yang dibenarkan sahaja manakala shisha yang dihasilkan dalam pelbagai pek mengandungi tahap tembakau yang berbeza.

Di Malaysia, piawaian asap rokok dikawal selia mengikut Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2008. Tahap nikotin maksima yang dibenarkan ialah 1.5mg se-batang, manakala tahap TAR tidak boleh melebihi 20mg se-batang.

Cara penyediaan shisha juga mendatangkan bahaya kepada penggemarnya. Puncak balang hookah ataupun mangkuk yang menakung shisha selalunya dilitupi kerajang aluminum, dan bara diletakkan di atasnya untuk memanaskan tembakau tersebut. Wasap toksik terhasil apabila bara arang bertindakbalas dengan kerajang aluminum.

Tapak balang hookah yang kaca, berperanan sebagai kebuk asap dan ianya juga diisi dengan air. Air ini bercampur dengan wasap toksik dan ianya akan menambah kelembapan asap, mengakibatkan wasap karsinogenik berada lebih lama di dalam peparu.

Memandangkan shisha juga suatu aktiviti sosial, corong yang digunakan untuk menyedut asap berperisa itu biasanya dikongsi bersama. Satu kajian menunjukkan bahawa corong itu boleh menjadi sumber kepada banyak jenis mikro bakteria dan virus seperti tuberkulosis dan hepatitis A, lantas meningkatkan risiko penghisap shisha dijangkiti penyakit.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), satu sesi selama 60 minit bershisha menghasilkan antara 100 ke 200 kali lebih banyak asap berbanding rokok biasa. Sesi bershisha juga biasanya dianggap sebagai aktiviti hiburan dan penghisap lebih cenderung menyedut asap toksik ini lebih lama pada jangka masa yang panjang sekaligus menambah risiko mendapat kanser mulut dan peparu akibat serapan toksik yang berpanjangan.

Apa sahaja yang mengandungi tembakau meningkatkan peluang sel-sel kanser untuk timbul. Secara umumnya, ramai orang beranggapan bahawa shisha tidak berbahaya, dan rokok pula dianggap sangat mebahaya. Secara tidak langsung ini menyumbang kepada peningkatan kes kanser peparu dan kanser mulut dikalangan pengemar shisha yang beranggapan bahawa ‘shisha-tidak-mengandungi-tembakau’!

Pada pendapat saya, kempen-kempen kesedaran bahaya menghisap shisha’ tidak akan memberi kesan yang berkekalan. Adalah penting kita mengkaji dan membuat diagnosis tentang tabiat masyarakat yang sedia wujud dahulu sebelum kita mengambil tindakan mengubah tabiat mereka.

Walau bagaimanapun, “Membuat diagnosis tentang masalah di kalangan masyarakat” yang dicadangkan tadi bukanlah kaedah menyeluruh. Budaya dan latar belakang sesuatu masyarakat itulah yang akan menentukan sikap terhadap shisha. Adalah penting kita memahami budaya dan latar belakang tersebut sebelum memperkenalkan apa-apa tindakan atau intervensi kesihatan. Hanya dengan itu, kita mampu memperbetul tanggapan salah terhadap shisha ini.

Dr. Dhesi BR adalah pengasas Malaysian Medical Gazette. Kenali dia tentang lebih lanjutnya di laman The Team.

Artikel ini diterjemah dari artikel Shisha: Is it worth the risk? Penterjemah: Encik Azizul Ismie

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box