Antara gejala utama yang seringkali diadukan oleh warga emas adalah gejala sakit-sakit badan. Mengikut kajian, ianya boleh merangkumi hampir 70% daripada gejala-gejala yang diadukan, iaitu antara yang terbanyak berbanding gejala-gejala lain di kalangan warga emas berusia 60 tahun dan keatas. Namun, adakah gejala ini sekadar gejala ringan yang boleh dianggap sebagai sakit-sakit biasa sahaja?

Jawapannya adalah ya dan tidak. Ini kerana terdapat dua kumpulan punca yang menyebabkan gejala sakit-sakit badan ini. Yang pertama adalah faktor penuaan yang mana dikenali juga sebagai sarcopenia, di mana berlakunya penurunan mendadak jisim otot dan kekuatan sendi akibat faktor usia. Untuk golongan pertama ini, selalunya sakit-sakit badan tersebut bersifat ringan hingga sederhana, iaitu tidak terlalu tajam atau menusuk, lebih kepada rasa lenguh, sengal, atau kekakuan otot dan sendi. Ianya tidak mengganggu aktiviti harian secara ketara. Ianya berlaku selepas aktiviti berat, berjalan lama, atau berdiri terlalu lama, dan kebiasaanya berkurangan selepas berehat. Sekiranya kekakuan sendi berlaku, ianya hanyalah pada awal pagi dan berlaku dalam masa yang singkat. Kekakuan juga hanya melibatkan sendi besar atau kawasan bebanan seperti di lutut, pinggul, pinggang dan bahu. Pesakit juga tidak mengalami sebarang gejala lain. Inilah yang dikatakan sakit-sakit badan yang biasa.
Manakala sakit-sakit badan yang tergolong dalam punca yang tidak normal (bukan sakit-sakit biasa) termasuklah kerapuhan tulang (osteoporosis), radang dan kehausan sendi (osteoarthritis), serangan akut gout, penyakit autoimmune di mana antibodi menyerang sel sendiri, sakit neuropatik akibat diabetes atau penyakit saraf, kanser metastatik dan juga akibat tekanan emosi, kemurungan, kekurangan tidur, dan isolasi sosial. Kerapuhan tulang pula boleh menyebabkan warga emas berisiko mendapatkan kepatahan tulang dengan mudah, di mana pesakit akhirnya boleh menjadi terlantar dan tidak boleh berjalan lagi tanpa bantuan. Justeru adalah sangat penting untuk kita membezakan ciri-ciri sakit biasa dan tidak biasa ini.
Antara ciri-ciri yang menunjukkan punca sakit-sakit badan ini adalah membahaya termasuklah:
• Sakit yang berterusan atau semakin teruk
• Sakit tidak hilang walaupun berehat, urut, atau ambil ubat tahan sakit ringan.
• Sakit semakin kuat dari masa ke masa, atau menyebabkan sukar bergerak dan tidur.
• Rasa sakit mengganggu aktiviti harian seperti berjalan, berpakaian, atau mandi.
• Sakit terjadi walaupun tidak melakukan apa-apa aktiviti, terutama pada waktu malam hingga mengganggu tidur.
• Sakit disertai dengan gejala-gejala lain seperti demam, penurunan berat badan, hilang selera makan, berpeluh malam, atau keletihan melampau.
• Wujud tanda keradangan pada badan atau sendi seperti sendi bengkak, merah, panas, dan sukar digerakkan.
• Rasa sakit yang menyucuk, berdenyut, kebas, atau panas seperti terbakar pada tangan atau kaki.
• Otot terasa cepat penat, hilang kekuatan, atau sukar memegang benda.
• Kekakuan pagi yang lama (>30 minit), walaupun selepas bangun dan bergerak.
Rawatan untuk sakit-sakit badan ini perlulah bergantung kepada jenis penyakit yang ada. Namun jika ianya adalah sakit-sakit yang biasa, rawatan tanpa pergantungan kepada ubat bolehlah dilakukan seperti berikut:
• Senaman dan fisioterapi ringan, senaman regangan dan pengukuhan otot (seperti tai chi, yoga lembut)
• Berjalan ringan setiap hari (20–30 minit) untuk mengekalkan kekuatan otot dan pergerakan sendi.
• Rawatan haba dan sejuk oleh ahli fisioterapi mahupun di rumah – untuk melegakan kekakuan otot dan sendi, dan mengurangkan sakit ringan selepas aktiviti berat.
• Urutan lembut untuk membantu melancarkan peredaran darah dan mengurangkan ketegangan otot.
• Memastikan posisi duduk dan tidur menyokong tulang belakang dengan baik. Gunakan tilam sederhana keras dan elakkan membongkok lama.
• Pemakanan seimbang seperti kalsium dan vitamin D, seperti susu, ikan bilis, dan sayuran hijau.
• Mengamalkan pengambilan protein berkualiti tinggi seperti ikan, telur, kekacang untuk mengekalkan jisim otot.
• Mengekalkan pengambilan air yang mencukupi
• Tidur sekurang-kurangnya enam jam sehari
Secara kesimpulannya, sakit-sakit badan di kalangan warga emas adalah kerap berlaku. Ianya perlu dibezakan sama ada tergolong dalam golongan berbahaya atau biasa-biasa sahaja. Di kala berasa tidak pasti, bersegeralah berjumpa dengan pihak doktor untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.

Artikel ini ditulis oleh Dr Mohd Shaiful Ehsan Shalihin seorang Pakar Perubatan Keluarga di Kulliyyah of Medicine, International Islamic University Malaysia.
