Riadah Semasa Berpuasa Ramadan – Dr Ahmad Mahyuddin Mohamed

“Letih la, macamana nak bersenam kalau tengah puasa ni…”

“Tak payah beriadahlah bulan Ramadan ni, tak larat nanti…”

Ada yang bertanya kepada saya bolehkah nak bersenam semasa berpuasa dan bila masa terbaik jika nak beriadah di bulan Ramadan. Saya tulis puasa Ramadan kerana ada pelbagai cara berpuasa sebenarnya mengikut agama dan budaya masyarakat di dunia. Bagi penganut agama Islam yang berpuasa Ramadan di Malaysia kita tidak dibenarkan makan dan minum selama lebih 13 jam. Ada sesetengah tempat di dunia memerlukan penganut Islam berpuasa lebih lama, contohnya 16 jam di New York dan 19 jam di Oslo, bergantung kepada waktu sahur dan berbuka puasa di tempat masing-masing.

 

 

Isu apabila beriadah dan berpuasa Ramadan ialah kekurangan air atau dehydration dan kita tidak boleh minum bagi kembali menghidrasikan badan kita semasa berpuasa. Berikut saya kongsikan beberapa tips saya berkenaan beriadah di bulan Ramadan:

 

Masa terbaik untuk beriadah.

Secara mudahnya kita boleh bahagikan kepada 2 masa terbaik jika nak beriadah:

 

  • Sebelum berbuka

Anda boleh beriadah dalam sejam sebelum berbuka puasa kerana anda akan berbuka puasa tidak lama selepas itu dan kembali menghidrasikan badan anda.

 

  • Malam hari

Namun jika masa tidak mengizinkan, mungkin kerana tugas, memasak atau ke bazar makanan, anda boleh beriadah satu jam selepas berbuka atau selepas selesai menunaikan solat sunat tarawih. Ini adalah kerana anda telah kembali bertenaga.

  • Sebelum bersahur

Ini pun adalah masa yang anda boleh gunakan untuk beriadah. Apa yang penting ialah kita boleh gantikan hidrasikan kembali badan kita selepas beriadah.

  1. Elakkan melakukan aktiviti fizikal secara berlebihan pada tengahari kerana anda tidak dapat minum bagi menghidrasikan kembali badan anda.
  1. Beriadahlah secara sederhana pada bulan Ramadan ini dengan aktiviti yang anda biasa lakukan. Mulakan dengan setengah jam terlebih dahulu dan jika anda mampu, lanjutkan ke satu jam dan seterusnya.
  1. Anda boleh fokus kepada aktiviti menguatkan otot (strengthening) dan aktiviti kardio ringan sebelum berbuka. Aktiviti yang lebih berat lebih elok dilakukan selepas berbuka puasa.
  1. Jika anda tidak biasa atau jarang bersenam, saya nasihatkan anda lakukan senaman ringan sahaja seperti melakukakan regangan dan berjalan kaki.
  1. Begitu juga jika anda ada masalah kesihatan seperti kencing manis (diabetes), anda perlu dapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu bagi mengelakkan sebarang komplikasi.

Kesimpulannya, berpuasa bukanlah alasan untuk tidak bersenam atau beriadah. Kita hanya perlu tahu cara yang betul bagi melakukannya. Selamat mencuba!

 

#drmahyuddin

#bersenamsambilberpuasa

Rujukan

  1. https://www.virginmediatelevision.ie/xpose/article/lifestyle/288768/Ramadan-This-is-what-you-need-to-know-if-youre-fasting-but-still-want-to-exercise
  1. https://globalnews.ca/news/3515344/ramadan-fasting-exercising-tips/
  1. https://www.livestrong.com/article/500051-should-i-exercise-while-fasting/

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box