Pengenalan dan Perkembangan Terkini dalam Rawatan Migrain – Dr Tan Wee Yong

 

Sakit kepala merupakan sering berlaku kepada individu dalam masyarakat kita. Satu kajiselidik yang dijalankan oleh universiti tempatan menyatakan bahawa 9.6% rakyat dewasa Malaysia mengalami migrain.

 

Apa itu migrain?

Migrain merupakan satu jenis sakit kepala yang tersendiri, unik dan lain daripada sakit kepala yang lain. Biasanya, sakit kepala ini berlaku di sebelah kepala sama ada kiri atau kanan. Pesakit merasa sakit yang menekan mata. Ada di kalangan pesakit migrain mungkin mengalami kekebasan tangan dan kaki. Pesakit juga mungkin mengalami perasaan mual dan pening. Namun begitubukan semua simtom akan dialami oleh setiap pesakit.

 

Apa perbezaan migrain berbanding sakit kepala yang biasa ?

Migrain mempunyai fasa-fasa yang tersendiri. Secara klasiknya, pesakit akan bermula dengan fasa prodrome di mana pesakit akan berasa lemah dan tidak bertenaga.  Diikuti dengan fasa aura, di mana kadang kala pesakit akan melihat bayang-bayang hitam atau kelipan cahaya di mata. Selepas itu,sakit kepala yang serius akan meningkat dengan beransur-ansur di sebelah kepala sehingga sampai ke tahap yang maksimum.

Sakit kepala ini boleh berlarutan dari 24 jam sehingga ke 72 jam. Akhirnya, pesakit akan memasuki fasa penyembuhan (recovery phase). Dalam fasa ini pesakit akan berasa lemah dan biasanya perlu terlantar di katil dalam kawasan yang gelap dan sunyi.

Apakah penyebab?

Satu penemuan saintifik yang besar telah berlaku sejak 30 tahun yang lepas. Saintis telah mendapati satu jenis protein di otak iaitu CGRP  (calcitonin gene related peptide) di otak kita. Protein ini akan meningkat secara mendadak ketika serangan migraine. Protein ini seterusnya menyebabkan saluran darah di otak menjadi aktif dan inilah penyebab kesakitan otak berlaku.

Antara punca yang menyebabkan peningkatan protein ini adalah, perubahan hormondalam badan, perubahan iklim sekitar, makanan tertentu seperti makanan yang diproses,penambah perisa tertentu, kekurangan tidur dan stress dari segi fizikal dan mental. Migrain lebih kerap berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki dengan nisbah 3 :1.

Rawatan

Antara rawatan yang disyorkan ialah setiap pesakit perlu mengenal pasti faktor penyebab migrain. Setiap individu adalah berbeza dan mempunyai penyebab yang berlainan. Sekiranya penyebab dapat dielakkan maka kejadian migrain boleh dikurangkan.

Salah satu rawatan terkini adalah CGRP antagonists. Rawatan ini merupakan suntikan berkala bulanan untuk mengurangkan kejadian migrain.

Ubat ini bertindak dengan menghalang peningkatan protein CGRP dalam otak dan seterusnya mengurangkan kejadian migrain.

Ubat penahan sakit yang spesifik untuk migrain seperti Sumatriptan dan Ergotamine juga boleh diambil ketika dalam fasa sakit migrain.

 

Dr. Tan Wee Yong (MD( UKM) CMIA MRCP (UK) MMed (Int. Med.) S’pore) seorang Pakar Klinikal Neurologi, Jabatan Neurologi, Hospital Kuala Lumpur.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box