Merokok Di Kalangan Pelajar Sekolah: Realiti Depan Mata #SmokeFreeMY – Dr Rashidi Mohamed

Sumber: www.freemalaysiatoday.com

Sumber: www.freemalaysiatoday.com

Merokok di kalangan pelajar sekolah bukanlah satu gejala yang baru. Terdapat banyak kajian yang terperinci yang mengulas sebab-sebab pelajar sekolah, khususnya, di sekolah menengah terlibat dengan gejala merokok. Dalam beberapa kajian tersebut, faktor yang mempengaruhi seseorang remaja untuk merokok adalah pengaruh rakan sekolah, ahli keluarga di rumah yang merokok dan perasaan ingin tahu. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa hampir 50% remaja tingkatan 5 adalah perokok dan hampir 40% pelajar tingkatan 4 terlibat dalam merokok. Ini adalah satu fenomena yang membimbangkan. Merokok pada usia muda boleh mendatangkan pelbagai masalah teurtamanya apabila rokok dijadikan sebagai ‘gateway’ kepada dadah yang lebih merbahaya seperti Ganja, Amphetamine dan Heroin. Kempen Tak Nak Merokok di Malaysia member fokus kepada golongan dewasa sahaja yang merokok dan tidak kepada remaja yang ingin berhenti merokok.

Di kalangan golongan pelajar sekolah rendah pula, masalah utama yang dialami oleh pelajar pelajar tersebut adalah perokok pasif dengan kanak-kanak ini terdedah kepada asap rokok yang dihisap oleh ahli keluarga mereka atau orang dewasa di sekeliling mereka. Dalam satu kajian rentas sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur, hampir 90% dari pelajar tahun 3 hingga tahun 6 mempunyai ahli keluarga yang merokok. Di antara mereka, ada yang mempunyai lebih dari seorang ahli keluarga yang merokok. Ini menyebabkan kanak kanak tadi mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat penyakit yang berkaitkan dengan rokok terutamanya masalah paru-paru. Golongan pelajar sekolah rendah ini juga didapati mempunyai kecenderungan untuk merokok kerana perasaan ingin tahu dengan rokok lebih mudah diperoleh disebabkan adanya ahli keluarga di rumah yang merokok.

Kajian yang dijalankan di sebuah sekolah rendah mendapati bahawa hampir 20% daripada kanak kanak sekolah tersebut pernah merokok atau adalah perokok aktif pada umur 11 tahun. Majoriti pelajar tersebut tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan rokok walaupun rokok tidak dibenarkan di jual kepada kanak-kanak berumur 18 tahun kebawah. Justeru itu, penguatkuasaan penjualan rokok kepada golongan kanak-kanak dan remaja sekolah perlulah diperketatkan lagi. Kanak-kanak sekolah juga kurang diberikan pendedahan tentang bahaya merokok dan akibatnya. Dalam satu kajian rentas yang dijalankan ke atas 850 orang pelajar sekolah rendah yang berumur 8 tahun di Kuala Lumpur, Pahang, Kelantan dan Selangor, hanya 50% daripada kanak-kanak tersebut tahu bahawa merokok adalah tidak sihat, 25% tidak tahu tentang masalah yang dialami oleh perokok kronik dan hampir 50% tidak tahu tentang apa yang terkandung di dalam rokok. Lebih membimbangkan ialah hampir 70% daripada kanak-kanak tersebut tidak tahu tentang ketagihan merokok.

Kita boleh membenteras gejala rokok di kalangan remaja dan kanak-kanak ini dengan adanya kerjasama di antara ibu bapa, guru sekolah, kakitangan kesihatan, penguatkuasa dengan ‘policy makers’ dalam kerajaan kita. Ibu bapa harus sedar bahawa mereka bukan sahaja merosakkan diri dengan merokok, malah, mereka juga membahayakan anak-anak yang bergantung dengan mereka. Ibu bapa adalah ‘role model’ yang baik untuk anak-anak. Mereka seharusnya mencerapkan nilai-nilai keagamaan dan nilai-nilai murni yang membentuk susila anak-anak mereka dan bukan sebaliknya. Guru sekolah harus peka dengan pelajar-pelajar di sekolah dan mengenalpasti remaja atau kanak-kanak yang bermasaalah dan segera mendapatkan bantuan dari pihak yang berkenaan terutamanya kakitangan kesihatan sebelum terlambat. Penguatkuasaan harus dipertingkatkan lagi supaya remaja dan kanak kanak tidak memperoleh rokok dengan mudah dan pihak kerajaan boleh memainkan peranan dengan meningkatkan lagi cukai ke atas tembakau supaya dapat mengawal gejala rokok ini. Kempen-kempen tentang bahaya rokok juga harus diperkenalkan di peringkat sekolah dan dengan pengetahuan yang mencukupi, kanak-kanak juga boleh membantu untuk menasihati ibu bapa mereka supaya berhenti merokok. Kita boleh membenteras gejala rokok di kalngan pelajar sekolah rendah sekiranya semua pihak memainkan peranan mereka masing masing demi masa depan anak-anak kita.

Dr. Rashidi Mohamed bin Pakri Mohamed bertugas sebagai Pakar Perubatan Keluarga di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan mempunyai minat dalam ‘Addicition Medicine’. Dr Rashidi juga adalah ahli NARCC.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

 

Rujukan:

  • Norbanee TH, Norhayati MN, Norsa’adah B, Naing NN, prevalence and factors influencing smoking amongst malay primary school children in Tumpat Kelantan, Souteast Asian J Trop Med Pub HealthVol 37 No. 1 January 2006
  • Lai S, Lai H, Page JB, McCoy CB The association between cigarette smoking and drug abuse in the United States. J Addict Dis. 2000;19(4):11-24
  • FarisIrfan CY1, ZabidiAzhar MH1, Mazidah AR1, Perception of tobacco among primary school children HELIC STUDY

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box