Kami Inginkan Bayi, Bilakah Masa Sesuai untuk Bersama Pasangan? – Dr Sumithra Devi Valiapan

Mencuba untuk dapat bayi namun  tidak berjaya? Pernahkah anda mencuba hubungan seks yang bertepatan dengan tetingkap subur anda? Saya menyedari bahawa ini menjadikan seks sangat mekanikal dan meningkatkan tahap tekanan yang sudah sedia tinggi untuk pasangan yang telah berusaha keras untuk mendapat anak, walau bagaimanapun, sekiranya ini membantu, maka mengapa tidak? Terutamanya jika anda sudah mencuba namun tidak berjaya dan mula berasa runsing.

Pertama, kita perlu memahami mengapa seks perlu disesuaikan dengan masa yang tepat apabila anda cuba untuk mendapatkan bayi. Telur (selepas ini dipanggil oosit) hanya kekal selama  24 jam selepas pembebasannya dari ovari. Ini dipanggil ovulasi. Sperma, setelah dipancutkan ke dalam saluran pembiakan wanita, mampu bertahan sehingga 5 HARI dalam saluran pembiakan wanita. Oleh itu persetubuhan, katakan, 9 hari sebelum atau 2 hari selepas ovulasi TIDAK akan membawa kepada kehamilan. Sperma perlu menyuburkan oosit dalam masa 24 jam selepas pembebasan oosit untuk kehamilan berlaku.

Kiraan masa hubungan seksual adalah paling mudah untuk wanita dengan kitaran haid normal. Ia melibatkan proses penolakan yang mudah. Kitaran haid normal boleh berubah dari 21-35 hari. Satu kitaran haid dikira daripada hari pertama haid semasa hingga hari sebelum haid kitaran seterusnya. Secara teknikal, ovulasi berlaku 14 HARI SEBELUM kitaran haid berikutnya. Oleh itu, seorang wanita dengan kitaran 28 hari, berkemungkinan besar berovulasi pada hari ke-14 kitarannya. Begitu juga, seorang wanita yang mempunyai kitaran 35 hari, berkemungkinan besar berovulasi pada hari ke-21 kitarannya.

Model matematik ini masih boleh diterapkan pada wanita dengan kitaran haid yang sedikit berbeza, contohnya kitaran haid yang berkisar antara 25-29 hari. Dalam kes seperti ini, ovulasi, mungkin berlaku di antara hari ke 11-15 kitaran haid.

Sekarang kita telah memahami bagaimana untuk mengira hari ovulasi terbaik, mari kita beralih ke tetingkap subur. Pada dasarnya, tetingkap subur pasangan adalah 5 hari sebelum hari ovulasi yang diramalkan, termasuk hari ovulasi. Seks kemudian boleh dirancang untuk berlaku dalam tempoh masa ini. Sekiranya pasangan itu mendapati bahawa mengadakan seks beberapa hari di dalam tetingkap ini terlalu menyusahkan, maka hari-hari terbaik untuk berjaya dapat dikurangkan lagi. Ini adalah daripada 3 hari sebelum hari ovulasi yang diramalkan, termasuk hari ovulasi.

Pernah mendengar perihal kit ovulasi? Berikut adalah kaedah lain yang boleh dipercayai untuk meramalkan ovulasi. Ia kelihatan sama dengan kit ujian kehamilan air kencing dan boleh didapati daripada kebanyakan farmasi dan kedai dalam talian. Terdapat pelbagai jenama untuk dipilih. Pada dasarnya ia menguji hormon (hormon peluteinan) dari air kencing wanita yang meningkat 24-36 jam sebelum ovulasi berlaku. Seorang wanita boleh mula menguji dirinya 2-3 hari sebelum ovulasi yang diramalkan sehingga kit ujiannya menjadi positif. Ini lah masa paling sesuai untuk melakukan hubungan seks! Tiada cubaan meneka di sini.

Terdapat juga pelbagai jenis aplikasi peramal ovulasi yang sedia untuk dimuat turun untuk kita yang lebih cenderung ke arah aplikasi tersebut. Ini juga akan berfungsi dengan baik jika kitaran haid adalah normal.

Walau bagaimanapun, jika pasangan itu masih memiliki kehidupan seks yang sihat, gembira dan mengagumkan, maka hubungan seksual setiap 2-3 hari sekali masih menjadi pilihan berbanding dengan kit atau formula matematik. Ini memastikan bahawa sperma selalu tersedia di dalam saluran pembiakan wanita, untuk menyuburkan oosit apabila ia dibebaskan. Ini menghilangkan tekanan masa seks untuk ketepatan. Meletakkan X merah besar di kalendar, menandakan tetingkap subur anda dalam tempoh 6 bulan akan datang, malangnya, boleh menjadi pematah semangat bagi sesetengah pasangan.

Sebaliknya, bagi wanita yang mengalami kitaran haid yang tidak teratur, berkemungkinan besar anda tidak berovulasi secara teratur. Sebahagian besarnya boleh dibantu; walau bagaimanapun, anda memerlukan kunjungan ke Pakar Kesuburan berhampiran anda, untuk perbincangan tentang langkah seterusnya yang dalam usaha anda untuk menjadi ibu bapa. Semakin cepat, semakin baik hasilnya.

Dr Sumithra Devi Valiapan adalah pakar obstetrik, pakar ginekologi dan kesuburan. Artikel ini diterjemahkan daripada https://www.mmgazette.com/we-want-a-baby-when-should-we-have-sex-dr-sumithra-devi-valiapan/ oleh Nurul Aini Ahmad.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box