Informatik Kesihatan Dalam Pusat Kesihatan Primer – Dr Dhesi BR

Sumber: http://publichealth.msu.edu/

Sumber: http://publichealth.msu.edu/

Informatik kesihatan ialah elemen yang penting dalam sistem perubatan dan kesihatan, termasuklah kesihatan primer. Setiap warganegara Malaysia seharusnya mendapatkan akses kepada pegawai perubatan yang terlatih untuk mendapatkan bantuan perubatan awal yang berkualiti sebagai permulaan kepada sistem ini.  Pada kebiasaannya, pegawai-pegawai perubatan ini merupakan profesional runding yang utama kepada pesakit-pesakit dalam suatu sistem kesihatan dan seterusnya akan merujuk kepada pakar-pakar yang berkenaan apabila perlu. Secara amnya, apabila sesebuah sistem pusat kesihatan primer gagal, maka pusat-pusat bantuan tertier pula akan menjadi terbeban. Pihak hospital tidak akan dapat  beroperasi seperti biasa sekiranya jumlah pesakit yang mendapatkan rawatan pada masa yang sama melebihi kadar yang sepatutnya, di samping itu terpaksa mengekalkan kualiti penjagaan kesihatan yang baik.

Oleh yang demikian, pusat kesihatan primerlah yang menggalas sebahagian besar tugas ini.  Kekurangan doktor di pusat-pusat kesihatan primer akan mengundang kepada masalah waktu menunggu yang panjang bagi pesakit dan seterusnya memberi bebanan kepada sistem kesihatan. Pada penghujung tahun 2010, hanya terdapat kira-kira 33,000 orang doktor di seluruh Malaysia, jika diambil kira populasi rakyat seramai 28.35 juta orang, ini menjadikan nisbah doktor:populasi kepada 1:850. Malaysia pula dijangka akan mencapai nisbah doktor:pesakit menjadi 1:600, seperti yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2015. Namun, statistik ini berbeza apabila kita mengambil kira situasi di Sabah dan Sarawak, memandangkan kebanyakan doktor pada masa kini  lebih gemar berkhidmat di kawasan bandar.

Contohnya di Kanada, warganegara mereka terpaksa menunggu selama 10 minggu untuk mendapatkan rawatan yang bukan kecemasan, menurut satu kajian oleh Institut Fraser, Kanada. Tambahan juga, kekurangan bantuan kesihatan primer di pejabat-pejabat juga mengakibatkan bilik-bilik kecemasan di hospital terbeban dengan ketara. Hal ini disebabkan oleh pesakit-pesakit yang tidak diperiksa oleh doktor di pusat kesihatan primer terpaksa mendapatkan rawatan di bilik kecemasan. Ini menyumbang kepada peningkatan kos yang tinggi kepada hospital dan melengahkan lagi rawatan untuk kes-kes kecemasan.

Situasi inilah pentingnya informatik kesihatan dalam suatu system kesihatan. Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dikatakan suatu alat penting dalam menyampaikan khidmat perubatan dan kesihatan awam di seluruh dunia. Apabila ianya dirangka dan dan dilaksanakan dengan cekap, ICT mampu memperbaiki akses ke kawasan komuniti-komuniti terpencil jauh di pedalaman; memberi sokongan kepada pekerja-pekerja perubatan; membantu perkongsian data; menyediakan alatan visual yang menghubungkan populasi dan maklumat persekitaran jika berlaku sebaran wabak dan juga sebagai suatu wadah elektronik yang berkesan untuk rakaman, simpanan, tafsiran dan pengurusan data.

Peranan ICT dalam penjagaan kesihatan  dalam masa terdekat ini, akan menjadi sesuatu yang penting dan wargakerja perubatan perlulah celik komputer supaya mereka dapat berfungsi dengan berkesan dalam arus persekitaran yang semakin digital.

Pada kebelakangan ini, pencapaian informatik kesihatan dalam sistem penjagaan kesihatan di Malaysia melibatkan keupayaan negara memantau dan mengawal penyakit berjangkit yang kembali meningkat, memberi respon notifikasi dalam masa yang cepat dan dengan lebih berkesan (e-Notifikasi, e-Notis, MyTB) dan juga membolehkan kawasan-kawasan yang terpencil dalam negara mendapat khidmat nasihat klinikal melalui tele-perubatan. Dua pencapaian besar ini telah meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia.

Source: http://www.networkinstruments.com/

Source: http://www.networkinstruments.com/

Pada masa kini, terdapat pembekal perkhidmatan yang berinovasi telah maju setapak dengan memulakan eksperimen berteknologi baru bagi membolehkan lebih ramai pesakit dirawat dengan bilangan doktor yang terhad. Contohnya, perkhidmatan tele-perubatan sedang meningkat pesat dengan beberapa hospital dan pusat kesihatan primer di negara-negara barat sedang cuba mengurangkan kos dengan memberi khidmat perundingan kepada lebih ramai pesakit melalui portal-portal dalam talian atau online yang membenarkan pesakit menghantar soalan berkaitan kesihatan mereka kepada doktor yang berada dalam talian pada jaminan respon yang segera. Pesakit juga boleh mendapatkan kebenaran untuk mendapatkan perundingan secara video dengan doktor, bersembang melalui telefon dengan doktor yang berdaftar, dan menghantar gambar ruam, tahi lalat yang merisaukan dan tanda-tanda lain untuk pemeriksaan lanjut. Teknik-teknik konsultasi atau perundingan yang disebutkan tadi masih dalam tahap awal dan eksperimental dan masih banyak yang perlu diperbaiki di negara kita.

Tele-perubatan merupakan salah satu cara bagi institusi kesihatan Malaysia untuk memperbaiki dan meningkatkan produktiviti. Beberapa percubaan bagi meningkatkan proses pentadbiran, prosedur teknikal dan keupayaan teknologi maklumat juga sedang giat dijalankan.

Para doktor, pesakit dan pihak pentadbiran lambat laun akan merasai kesesakan pada sistem kesihatan. Untuk mengekalkan kualiti penjagaan yang berstandard tinggi adalah mustahil sekiranya kita masih berada di takuk lama dalam pengendalian perkhidmatan kesihatan. Namun begitu, dengan adanya pencipta-pencipta teknologi yang berinovasi dan berazam tinggi dalam sistem kesihatan di negara kita, pelarasan boleh dilakukan dan berharap semua prasangka yang mengatakan ‘informatik kesihatan mengakibatkan perkhidmatan yang  tidak berkualiti’ akan berhenti demi sistem yang lebih baik dan maju.

Dr. Dhesi BR ialah pengasas Malaysian Medical Gazette dan juga bakal pakar kesihatan awam. Buat masa ini beliau sedang membuat PhD dalam perubatan pencegahan dan kesihatan awam. Ketahui lebih lanjut tentang beliau di halaman The Team. Artikel ini telah diterjemah oleh Encik Azizul Ismie Mohd Puad. Artikel asal boleh didapati di sini.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

 

Rujukan:

  • Ammenwerth E, Brender J, Nykänen P, Prokosch HU, Rigby M, Talmon J.(2004): Visions  And Strategies To Improve Evaluation Of Health Information Systems – Reflections And Lessons Based On The HIS-EVAL Workshop in Innsbruck. International Journal Of Medicine.( 2004), 73(6):479-491.
  • Sabah State Technical Meeting No2: 2012: LaporanBulananPerjawatan (KesihatanAwam) Bahagian Pembangunan KeluargaKeluarga, JKN Sabah: Edisi Jun-Oct 2012: JabatanKesihatanNegeri Sabah.
  • Chaudry, B. “Systematic Review:  Impact of Health Information Technology on Quality, Efficiency, and Costs of Medical Care,” Annals of Internal Medicine.(2006 :144:10), 742-752.
  • Bailey Marshall, Duke University. Duke Global Health Institute; Department of Refugee and Migration Affairs

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box