Gejala Kecelaruan Panik – Dr Zul Azlin Razali

Dewa belantara dan panic disorder

Dewa Pan yang hidup di pedalaman Arcadia adalah tuhan tradisi mitos Greek. Dewa belantara dan gembalaan ini disifatkan sebagai dewa yang cool(apa yang coolnya kalau bertanduk dan berkaki kambing?) dan digilai bidadari/dewi-dewi cantik (bayangkan peminat Chris Hemsworth atau Gang Dong-Won). Pandai pula bermuzik dan sering dikaitkan dengan musim bunga. Namun, jangan sesekali kejutkan dia dari tidur sepicingnya (noon nap), akan meledaklah satu tempikan dari suaranya yang menggegarkan seantero alam dan mencabut keberanian sesiapa sahaja yang mendengar.

Mengambil inspirasi daripada Dewan Pan ini, konsep ketakutan yang datang mengejut diistilahkan sebagai gejala panic(panik).

Gejala Kecelaruan Panik (Panic Disorder)

Di dalam bidang psikiatri, penyakit keresahan (anxiety disorders) ada pelbagai jenis. Gejala kecelaruan panik (panic disorder) adalah salah satu daripadanya. Pesakit yang menghidap penyakit ini sering diserang panik yang datang secara tiba-tiba.

Serangan panik itu bermaksud individu itu mengalami sekurang-kurangnya 4 simptom daripada 13 simptom yang tersenarai di bawah:

  1. Degup jantung kencang
  2. Sakit dada
  3. Sesak nafas
  4. Rasa tercekik
  5. Rasa terpisah dari reality
  6. Menggeletar
  7. Berpeluh
  8. Kebas kaki/tangan
  9. Rasa loya
  10. Perasaan takut mati
  11. Perasaan takut hilang kawal
  12. Pening/hampir pengsan
  13. Panas/sejuk tanpa sebab

Keberulangan serangan panik

Serangan panik harus dibezakan dengan penyakit kecelaruan panik. Panic attack versus panic disorder. Sebenarnya serangan panik itu sendiri boleh berlaku kepada sesiapa sahaja; yakni individu yang tidak mempunyai apa-apa penyakit psikiatri atau yang menghidap penyakit psikiatri yang lain seperti kemurungan atau skizofrenia. Ada sesetengah sarjana mengatakan setiap manusia akan mengalami serangan panik sekali seumur hidup.

Penyakit kecelaruan panik (panic disorder) harus mempunyai sifat-sifat begini:

  • Keberulangan serangan panik tanpa ada provokasi (recurrent unprovoked panic attacks)
  • Apabila tiada serangan, pesakit hidup dalam ketakutan dan kerisauan ‘ternanti-nanti’ serangan seterusnya
  • Keadaan (1) dan (2) berlaku dalam jangka masa yang lama, sekurang-kurangnya 1 bulan
  • Disebabkan (1) dan (2), pesakit terpaksa mengubah cara hidupnya

Lawatan ke Jabatan Kecemasan

Pesakit Panic Disorderpada mulanya akan ke Jabatan Kecemasan kerana mereka sangkakan serangan panik itu adalah serangan jantung. Sememangnya benar tindakan membuat pemeriksaan jantung secepat mungkin jika ada simptom sakit dada yang mengejut. Namun jika ‘serangan’ sakit dada atau degupan jantung kencang itu kerap berlaku dan hasil penyiasatan saringan/diagnostik penyakit jantung (ujian darah, elektrokardiogram, stress test) sebelum itu menunjukkan ia normal, maka kemungkinan besar ini adalah Penyakit Kecelaruan Panik (Panic Disorder). Doktor di kecemasan atau di klinik-klinik kesihatan kerajaan/swasta selalunya akan merujuk pesakit begini kepada doktor psikiatri.

Agoraphobia

Ini adalah fenomena biasa yang dikaitkan dengan Penyakit Kecelaruan Panik. Individu agoraphobia akan ditimpa takut yang bersangatan apabila berhadapan situasi di tempat awam seperti tempat terbuka (pasar, atas jambatan medan letak kereta), menggunakan pengangkutan awam, di dalam dewan atau panggung wayang, beratur di bank atau pejabat pos.

Individu agoraphobia percaya bahawa situasi atau tempat-tempat ini tidak memungkinkan mereka mendapatkan pertolongan atau keluar menyelamatkan diri jika berlaku serangan panik atau apa-apa perkara yang memalukan.

Sebagaimana penyakit keresahan yang lain, kecelaruan panik dan agoraphobia ini melibatkan perasaan takut atau risau melampau kepada sesuatu ‘bencana’ atau ‘kesusahan’ di masa depan yang sama ada realistik atau tidak.

Rawatan

Antidepressant seperti SSRI (specific serotonin reuptake inhibitors) dan SNRI (serotonin noradrenaline reupatake inhibitors) dibuktikan sesuai untuk penyakit kecelaruan panik ini. Walaupun namanya antidepressantdan pesakit tidak mengalami kemurungan, ubat-ubat ini mengandungi unsur-unsur aktif yang berupaya menangani masalah ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak pesakit. Ubat ini perlu diambil setiap hari untuk jangka waktu tertentu.

Lazimnya pada peringkat permulaan, doktor juga akan memberi preskripsi benzodiazepine. Ubat ini sering digelar ‘ubat tidur’ atau ‘ubat penenang’. Pesakit anxietypasti sudah biasa dengan nama ‘Xanax’. ‘Xanax’ adalah nama pasaran oleh jenama syarikat farmaseutikal tertentu. Nama sebenarya adalah alprazolam (ada juga jenama lain menjual ubat ini dengan nama pasaran berbeza seperti prazovex). Selain daripada alprazolam, banyak lagi ubat benzodiazepine yang digunakan seperti lorazepam dan clonazepam. Ubat-ubat ini digunakan secara ‘bila perlu’; apabila diserang panik atau apabila mengalami kesukaran tidur malam. Pesakit tidak lagi dipreskripsikan apabila penyakit kecelaruan panik sudah stabil.

Sebagai gabungan kepada ubat, Terapi Kognitif dan TingkahLaku (Cognitive Behavioral Therapy, CBT) juga mempunyai asas dalil yang kukuh untuk mengembalikan kenormalan seorang pesakit Panic Disorder. CBT ampuh dalam mengolah kognisi, mengadun semula pemikiran teras dan mencorak pola fikir automatik seseorang. Pesakit dididik untuk melihat perhubungan antara fikiran (thoughts), emosi (emotion/feeling) dan perilaku (behaviours) di dalam apa-apa situasi.

Hanya ahli psikologis klinikal dan pakar psikiatri yang ditauliahkan melakukan CBT.

Punca

Kerapkali apabila sejarah pesakit diambil, individu yang menghidap panic disorderini sedang menghadapi masalah yang berpanjangan atau yang sedang meruncing. Dan kadangkala masalah yang menyebabkan stres tersebut pada mulanya tidak dilihat sebagai masalah pun, atau pesakit tidak sedar bahawa itu satu masalah. Ada juga kes di mana, pesakit mempunyai sejarah silam yang perit/memalukan yang dia pendam dan ini boleh termanifestasi di kemudian hari sebagai penyakit panic disorder.

Ada kajian menunjukkan faktor genetik berperanan dalam pembikinan penyakit panic disorder. Salah guna dadah atau pengambilan alkohol berlebihan juga dikaitkan dalam sesetengah kes.

Disebabkan sifatnya yang mendadak dan tiba-tiba, panic attack dan panic disorder ini tidak sunyi daripada perkaitan dengan perkara mistik. Sebagai contoh, fenomena ‘ditindih’ ketika tidur (terutamanya wanita muda) yang menyebabkan individu rasa lemas, sesak nafas, berpeluh dan tidak boleh bergerak atau menjerit meminta pertolongan. Gejala yang dipanggil sleep paralysisini mempunyai hubungan rapat dengan panic disorder.

Umat Islam diseru supaya tidak terlalu taasub dalam memikirkan faktor makhluk halus dalam apa jua musibah. Ayat-ayat Tuhan dan sabda-sabda Nabi (SAW) terlalu banyak dan sangat jelas mengatakan jin ini makhluk yang lebih rendah dari manusia. Begitu banyak doa sahih ajaran langsung dari Nabi yang diyakini menyahkan-pergi makhluk halus ini. Lalu, jika masih lagi dilanda simptom-simptom psikologi di saat bacaan-bacaan itu diamalkan, sudah tentu penyakit itu bukan buatan makhluk halus tetapi penyakit biologi-psikologi. Mempercayai keberadaan sains tidak mengurangkan sedikit pun keimanan seseorang itu kerana akal itu sendiri ciptaanNya.

Kesimpulan

Serangan panik yang berulang perlu dibuat penilaian professional; doktor psikiatri atau ahli psikologi klinikal. Faktor-faktor biologi, psikologi dan sosial akan diuliti satu persatu supaya dapat ditemui puncanya. Keadaan dan situasi pesakit berlainan dari satu sama lain. Penerangan, ubat-ubatan, pendidikan psikologi dan terapi kognisi tingkah laku bersifat individualistik.

Sudah tentu ketika perawatan, faktor spiritual diambil kira. Tuhan tidak mahu manusia hidup tanpa menggunakan akal lalu mengenepikan pengetahuan saintifik dalam mengharmonikan kehidupan seharian. Dapatan sains juga mengakui komponen spiritual dalam membaikpulih penyakit. Zaman ini serba laju dan ‘serba tahu’ lantas manusia semakin hari semakin didesak untuk cepat dan maju. Dalam perlumbaan ini, manusia terdedah dengan penyakit keresahan yang taat sahaja menunggu sesiapa yang tersilap langkah.

Klinik Pakar Kesihatan USIM menawarkan khidmat perubatan pakar perubatan pelbagai disiplin. Hubungi 06-8504921 dan 012-6504921.

Dr Zul Azlin Razali menulis buku Depresi: Terpuruk Rasa Ingin Mati terbitan DuBook Press Sdn. Bhd.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box