Ayuh, Mari Menderma Darah! – KKM

11249769_10152905874771237_3613351912755969073_nPusat Darah Negara (PDN) dan kesemua tabung-tabung darah KKM telah mengambil langkah bersiap-sedia dengan meningkatkan stok darah bagi menjamin bekalan darah yang mencukupi sepanjang bulan Ramadhan dan awal bulan Syawal. Ini adalah kerana tren tahun-tahun sebelumnya menunjukkan bekalan darah menurun ketika bulan puasa dan sewaktu musim perayaan.

Dianggarkan sebelum bulan puasa iaitu pada 14 Jun 2015 sewaktu sambutanWorld Blood Donor Day, stok darah di seluruh negara telah melebihi 20,000 unit di mana 8,000 unit adalah stok PDN sendiri. Ini adalah jumlah yang jauh berbeza daripada biasa bagi PDN – iaitu pada tahap 3,500 unit yang dikenalpasti sebagai tahap selamat untuk kegunaan seminggu. Namun peningkatan penggunaan darah dan jangka hayat yang pendek bagi komponen darah terutamanya platelet telah menyebabkan stok menurun mendadak dan hampir mencecah paras kritikal iaitu 1,500 unit.

Dianggarkan penggunaan darah meningkat sebanyak hampir 20% di kebanyakan hospital berbanding dengan sebelumnya adalah disebabkan oleh peningkatan kes pembedahan, kecemasan, kemalangan dan transplan di samping kegunaan pesakit yang memerlukan darah secara berkala seperti pesakit talasemia dan pesakit kanser. Pusat Darah Negara hanya ditutup pada Hari Raya pertama pada 17 Julai 2015 (Jumaat) dan mula beroperasi seperti biasa pada 18 Julai 2015. Pada minggu ini (20-25 Julai 2015), PDN mengadakan Minggu Apheresis bagi mempromosikan pendermaan apheresis yang juga menampung keperluan platelet dan Hari Pendermaan Darah Utuh (Whole Blood) pada 26 Julai 2015 (Ahad).

Buat masa sekarang, pendermaan darah adalah diperlukan untuk semua tabung darah di seluruh negara bagi menampung keperluan yang kritikal. Orang ramai boleh tampil untuk menderma darah di Pusat Darah Negara (PDN), Unit Bergerak Kempen Derma Darah atau Tabung Darah di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia yang berdekatan dengan penderma.

Berikut adalah waktu operasi di PDN:
Isnin hingga Jumaat – 7.30 pagi – 8.00 malam
Sabtu hingga Ahad – 8.00 pagi – 4.00 petang
Maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang http://www.pdn.gov.my atau FB Pusat Darah Negara Kementerian Kesihatan Malaysia

Kriteria sebagai Penderma Darah:

  • Sihat tubuh badan
  • Berumur :

a. Di antara 18-70 tahun untuk yang pernah menderma
b. Di antara 18-60 tahun untuk pertama kali menderma
c. Bagi bakal penderma berusia 17 tahun (perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada ibubapa/penjaga)

  • Berat badan 45kg dan ke atas
  • Tidur minimum 5 jam
  • Tiada masalah kesihatan
  • Telah mengambil makanan sebelum menderma darah
  • Tidak terlibat di dalam sebarang kegiatan berisiko tinggi seperti berikut:

a. hubungan jenis sesama jantina
b. hubungan jenis dengan kedua-dua jantina
c. hubungan jenis dengan pekerja seks komersial
d. bertukar-tukar pasangan seks
e. mengambil dadah secara suntikan
f. menjadi pasangan hubungan jenis kepada golongan di atas

  • Pendermaan terakhir 3 bulan lepas
  • Bagi penderma wanita : tidak mengandung, tidak datang haid, tidak menyusukan anak
  • Telah menetap di Malaysia sekurang-kurangnya selama 1 tahun (bagi bukan warganegara Malaysia)
  • Jangan menderma jika anda:
    • pernah tinggal di UK (England, Northern Ireland, Scotland, Wales, Isle of Man) atau Republik Ireland dari tahun 1980 hingga 1996 untuk tempoh 6 bulan (terkumpul) atau lebih
    • pernah tinggal di Eropah dari tahun 1980 hingga sekarang untuk tempoh 5 tahun (terkumpul) atau lebih

Sokongan orang ramai yang layak sebagai penderma darah untuk tampil menderma darah, lebih-lebih lagi secara kerap dan berkala, adalah amat penting bagi memastikan bekalan darah adalah mencukupi bagi kegunaaan pesakit yang memerlukan.

“Derma Darah Selamatkan Nyawa”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box