Bolehkah Kita Ubati Kegagalan Buah Pinggang?- Dr Nur Hidayati

5910_1024x768px-624x468Seorang pesakit saya bertanyakan perkara ini kepada saya tempoh hari. Beliau didatangi oleh seorang kenalan beliau yang menyatakan yang ada produk yang boleh ubati kegagalan buah pinggang.

Saya hanya mampu tersenyum sumbing sahaja. Saya tanya pesakit itu – kalau produk itu berkesan – kenapa orang yang hasilkan itu tidak pergi ke pusat dialisis yang mempunyai pesakit buah pinggang yang ramai dan jual produk di situ. Kalau produk itu berkesan, tidak perlulah kita bina lebih banyak pusat dialisis dan berkuranganlah orang yang menjalani rawatan dialisis.

Pesakit saya terdiam.

Saya bertanya kepadanya, “ Pakcik dah cuba ke?”
“Doktor jangan marah ya. Saya dah beli dan guna 3 bulan dah.”

Kemudian, saya tunjukkan keputusan darah beliau. Riak muka pesakit itu berubah sugul. Makin naik urea dan kreatinin beliau.

“ Kalau produk itu berkesan, mesti keputusan darah pakcik menjadi normal semula. Bukannya makin naik. “

Inilah realiti kehidupan yang saya lihat setiap hari. Pada masa ini, tiada lagi apa-apa ubatan yang mampu memutarkan masa dan menjadikan buah pinggang yang rosak untuk sembuh seperti sediakala. Anda hanya perlu umpamakan buah pinggang anda sebagai enjin kereta anda. Enjin ini jika tidak dijaga, tidak diberi minyak yang bagus atau tidak cermat digunakan – enjin akan tidak elok berfungsi dan akhirnya – kereta rosak dan tidak boleh bergerak langsung.

Bezanya, enjin kereta mampu dibeli dan diganti. Buah pinggang anda itu hanya sepasang dijadikan oleh Tuhan untuk anda sahaja. Tiada buah pinggang boleh dibeli di kompleks membeli-belah. Teknologi perubatan kini hanya mampu menghasilkan mesin dialisis yang tentunya tidak setanding dengan buah pinggang ciptaan Tuhan.

Namun, teknologi yang ada mampu membenarkan buah pinggang orang lain digunakan untuk pesakit. Tahukah anda bahawa seseorang itu boleh hidup dengan satu buah pinggang sahaja? Saya pernah berjumpa pesakit yang dilahirkan dengan satu buah pinggang sahaja namun kekal sihat hingga lanjut usia. Fakta inilah yang membolehkan seseorang itu mendermakan buah pinggang kepada orang lain yang memerlukan.

Jika anda bertanya pada saya – apakah rawatan yang paling berkesan untuk menyembuhkan seseorang dari kegagalan buah pinggang? Adakah wujud rawatan yang amat mujarab hingga pesakit tidak lagi perlu bergantung dengan rawatan dialisis?

Jawapan saya – memang ada. Rawatan itu dinamakan pemindahan atau transplan buah pinggang.

Rawatan ini hanya boleh dilakukan jika ada yang dapat mendermakan buah pinggang mereka kepada pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang. Ada dua cara untuk menderma buah pinggang – samada selepas kematian ataupun semasa hidup.

Pendermaan selepas kematian membolehkan 2 organ buah pinggang dipindahkan kepada 2 pesakit yang memerlukan. Pemindahan organ hanya dilakukan selepas kematian otak di sahkan. Penerima organ akan dipilih dari senarai menunggu di mana beberapa calon penerima yang mempunyai jenis darah yang sama dan mempunyai keserasian organ (organ matching) dengan penderma.

Pendermaan buah pinggang semasa hidup buat masa ini terhad kepada ahli keluarga yang terdekat iaitu pasangan kembar seiras, ahli keluarga darjah pertama (first degree relative) dan ahli keluarga darjah kedua (second degree relative), serta pasangan suami isteri.

Bakal penderma dan penerima juga perlu diuji keserasian sepertimana pemindahan organ selepas kematian.

Kedua-dua penderma dan penerima buah pinggang perlu menjalani pemeriksaan kesihatan bagi memastikan tahap kesihatan penderma dan penerima berada di tahap paling optimum. Ini adalah penting untuk memastikan komplikasi tidak berlaku semasa pembedahan transplan.

Penerima buah pinggang juga perlu mengambil rawatan imunosupresif untuk seumur hidup untuk memastikan badan mereka tidak menolak organ itu. Jika rawatan imunosupresif ini tidak diambil, buah pinggang yang baru ini tidak dapat berfungsi sehinggakan pesakit harus kembali menjalani rawatan dialisis.

Semakin hari semakin bertambah jumlah pesakit yang bergantung dialisis. Sayangnya, penderma organ tidak juga bertambah. Jika lebih ramai yang bersedia untuk menderma buah pinggang, pasti lebih ramai pesakit buah pinggang yang dapat diubati dan mereka tidak lagi perlu bergantung hidup pada mesin dialisis.

Dr Nur Hidayati seorang pakar perubatan yang sedang membuat pengkhususan dalam bidang nefrologi. Artikel ini ditulis sempena Hari Buah Pinggang Sedunia 2017.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box