Kesakitan ialah pengalaman fizikal dan emosi yang tidak menyenangkan. Pengalaman ini boleh berlaku apabila tubuh mengalami kerosakan atau berisiko untuk mengalami kerosakan. Kesakitan juga tidak semestinya dapat dilihat atau dikenal pasti melalui pemeriksaan kerana pengalaman ini bersifat peribadi dan boleh berbeza antara individu walaupun berpunca daripada keadaan yang sama.

Hampir setiap orang pernah mengalami kesakitan, sama ada akibat kecederaan, penyakit, pembedahan atau masalah kesihatan tertentu. Kesakitan berfungsi sebagai amaran bahawa terdapat sesuatu yang mungkin menjejaskan tubuh. Namun, jika kesakitan menjadi teruk atau berpanjangan, keadaan ini boleh menjejaskan pergerakan, tidur, pekerjaan, emosi dan kualiti hidup seseorang.
Kategori kesakitan
Secara umum, kesakitan boleh dibahagikan kepada kesakitan akut dan kesakitan kronik. Kesakitan akut biasanya berlaku secara tiba tiba dan berlangsung untuk tempoh yang singkat, contohnya selepas kecederaan, pembedahan atau jangkitan. Kesakitan ini lazimnya beransur pulih apabila puncanya dirawat atau proses penyembuhan berlaku.
Kesakitan kronik pula berterusan atau berulang selama lebih tiga bulan. Dalam sesetengah keadaan, kesakitan boleh berpanjangan walaupun kecederaan asal telah sembuh atau puncanya sukar dikenal pasti.
Menurut International Association for the Study of Pain (IASP), kesakitan boleh dibezakan berdasarkan mekanisme yang menyebabkan kesakitan tersebut, iaitu kesakitan nosiseptif, neuropatik dan nosiplastik.
Kesakitan nosiseptif berpunca daripada kerosakan atau keradangan pada tisu tubuh, seperti luka, terseliuh atau radang sendi. Kesakitan neuropatik pula disebabkan oleh kerosakan atau gangguan pada saraf dan boleh dirasai sebagai rasa terbakar, mencucuk, kebas atau seperti terkena renjatan elektrik. Kesakitan nosiplastik berlaku akibat perubahan pada cara sistem saraf memproses isyarat kesakitan, walaupun tiada kerosakan tisu atau saraf yang jelas untuk menerangkan kesakitan tersebut.
Seseorang juga boleh mengalami lebih daripada satu jenis kesakitan pada masa yang sama. Justeru, penilaian yang tepat adalah penting kerana setiap jenis kesakitan mungkin memerlukan pendekatan rawatan yang berbeza.
Pengurusan kesakitan mengikut keperluan individu
Pengurusan kesakitan bergantung pada punca, jenis dan tahap kesakitan, selain keadaan kesihatan serta respons individu terhadap rawatan. Oleh sebab itu, rawatan yang sesuai bagi seseorang mungkin tidak sesuai bagi orang lain walaupun mereka mengalami tahap kesakitan yang sama.
Rawatan boleh melibatkan penggunaan ubat tahan sakit, kaedah tanpa ubat atau gabungan kedua-duanya. Pemilihan rawatan juga perlu mengambil kira penyakit lain yang dihidapi, ubat yang sedang digunakan dan risiko kesan sampingan. Ubat tahan sakit tidak seharusnya dipilih atau diambil semata-mata berdasarkan tahap kesakitan tanpa mendapatkan nasihat daripada doktor atau ahli farmasi. Antara kumpulan ubat yang sering digunakan untuk mengurus kesakitan ialah paracetamol, ubat antiradang bukan steroid (NSAID) dan opioid.
Paracetamol lazimnya digunakan untuk melegakan kesakitan ringan hingga sederhana serta mengurangkan demam. NSAID seperti ibuprofen, diclofenac dan naproxen pula membantu mengurangkan kesakitan dan keradangan, misalnya akibat kecederaan, sakit sendi atau senggugut. Kumpulan ini turut merangkumi perencat terpilih COX-2 (selective COX-2 inhibitors) seperti celecoxib dan etoricoxib. Walau bagaimanapun, ubat ini mungkin tidak sesuai untuk sesetengah individu, termasuk mereka yang mempunyai masalah perut, buah pinggang atau jantung serta individu yang mengambil ubat tertentu.

Bagi kesakitan yang tidak dapat dikawal secukupnya dengan paracetamol atau NSAID, doktor mungkin mempertimbangkan penggunaan opioid seperti tramadol, morphine, oxycodone atau fentanyl. Penggunaan opioid memerlukan penilaian, penetapan dos dan pemantauan yang lebih rapi kerana ubat ini boleh menyebabkan kesan sampingan seperti mengantuk, loya, sembelit dan pernafasan menjadi perlahan. Penggunaan yang tidak mengikut arahan pula boleh meningkatkan risiko kebergantungan, ketagihan dan pengambilan dos berlebihan.
Sesetengah jenis kesakitan, terutamanya kesakitan neuropatik, mungkin memerlukan ubat tambahan seperti amitriptyline, gabapentin atau pregabalin. Walaupun ubat-ubatan ini sebenarnya digunakan dalam rawatan penyakit lain, namun dalam keadaan tertentu, ubat-ubatan ini turut mempunyai peranan dalam mengurangkan kesakitan, khususnya yang berpunca daripada gangguan atau kerosakan saraf. Pemilihan ubat dan dos yang bersesuaian perlu ditentukan oleh doktor berdasarkan keadaan pesakit.
Nasihat untuk pesakit dan orang awam
Ubat tahan sakit perlu digunakan mengikut dos, kekerapan dan tempoh yang disarankan. Jangan menambah dos atau mengambil ubat dengan lebih kerap semata-mata kerana kesakitan masih belum berkurangan. Jika kesakitan berterusan atau semakin kuat, pesakit hendaklah berbincang dengan doktor atau ahli farmasi supaya puncanya dapat dinilai dan rawatan disesuaikan.
Sebelum mengambil ubat, baca label dan kenal pasti bahan aktif yang terkandung di dalamnya. Sesetengah ubat demam, selesema atau ubat kombinasi mungkin mengandungi bahan aktif yang sama dengan ubat tahan sakit lain. Misalnya, pengambilan beberapa produk yang mengandungi paracetamol secara serentak tanpa disedari boleh menyebabkan pesakit mengambil ubat tersebut melebihi dos harian yang dibenarkan.
Selain itu, ubat tahan sakit tidak seharusnya dikongsi dengan orang lain walaupun mereka mengalami gejala yang hampir sama. Pesakit digalakkan untuk memaklumkan doktor atau ahli farmasi sebarang penyakit lain yang dihidapi, sejarah alahan dan ubat yang sedang digunakan. Langkah ini penting kerana sesetengah ubat tahan sakit mungkin tidak sesuai bagi kumpulan individu tertentu, seperti mereka yang mempunyai masalah perut, buah pinggang, hati atau jantung serta wanita yang sedang hamil.
Sekiranya ubat opioid diberikan, ubat tersebut perlu digunakan mengikut arahan. Pengambilan dengan ubat lain yang boleh menyebabkan mengantuk juga hendaklah dengan nasihat ahli profesional kesihatan.
Pengurusan kesakitan yang berkesan bukan sekadar bergantung pada kekuatan ubat yang digunakan, tetapi memerlukan pemeriksaan oleh doktor untuk membuat pemilihan rawatan yang sesuai dengan punca dan keadaan pesakit. Ubat tahan sakit hendaklah digunakan mengikut arahan serta tidak dikongsi atau diubah dosnya tanpa nasihat profesional kesihatan. Penggunaan yang betul dan pemantauan yang sewajarnya dapat membantu mengawal kesakitan di samping mengurangkan risiko kesan sampingan dan kemudaratan.
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut tentang penggunaan ubat-ubatan, pesakit atau orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) melalui talian 1-800-88-6722. Talian dibuka pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (kecuali cuti umum).
Disediakan oleh Puan Diyanah Khan Zainullah Fadin (Pegawai Farmasi, Hospital Tawau) untuk Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi (BAPF), KKM x The Malaysian Medical Gazette Series. Kolaborasi seperti ini diharap dapat memperkasa usaha penyampaian informasi ubat-ubatan kepada lebih ramai pengguna, di samping memperlihatkan peranan pihak penerbitan dan saluran media baharu dalam usaha mendidik pengguna.
RUJUKAN:
- International Association for the Study of Pain. IASP Terminology. [Internet]. 2020 [cited 2025 Feb 19]. Available from: https://www.iasp-pain.org/
- Treede RD, Rief W, Barke A, Aziz Q, Bennett MI, Benoliel R, et al. Chronic pain as a symptom or a disease: the IASP Classification of Chronic Pain for the International Classification of Diseases (ICD-11). Pain. 2019;160(1):19-27.
- World Health Organization. WHO guidelines for the pharmacological and radiotherapeutic management of cancer pain in adults and adolescents. [Internet]. 2020 [cited 2025 Feb 19]. Available from: https://www.who.int/publications/i/item/9789241550390
- Ministry of Health Malaysia. Clinical Practice Guidelines: Management of Cancer Pain (3rd Edition). [Internet]. 2020 [cited 2025 Feb 19]. Available from: https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/Program%20Bebas%20Kesakitan/Garis%20Panduan/2_in_1_P5VS_Guideline_3rd_Edition_Corrected_2020.pdf
- Ministry of Health Malaysia. Pain Management Handbook (3rd Edition). [Internet]. 2023 [cited 2025 Feb 19]. Available from: https://www.moh.gov.my/moh/resources/Penerbitan/PErkhidmatan%20Pembedahan%20KKM/LATEST_FINAL_PAIN_MGT_HANDBOOK_3rd_Edition_MOH_-05.01.2023-comp.pdf
