Ubat-Ubatan Bagi Pengurusan Gejala Parkinson – Dr Nur Azra Mohamad Pauzi (Pegawai Farmasi)

Penyakit Parkinson, yang dinamakan bersempena dengan Dr. James Parkinson, ialah penyakit neurodegeneratif progresif yang menjejaskan sistem saraf, khususnya bahagian otak yang mengawal pergerakan. Penyakit ini merupakan penyakit neurodegeneratif kedua paling lazim selepas penyakit Alzheimer. Penyakit Parkinson lebih kerap berlaku dalam kalangan individu berumur 60 tahun ke atas dan lebih lazim dalam kalangan lelaki. Walau bagaimanapun, golongan yang lebih muda juga boleh mengalaminya. Punca sebenar penyakit Parkinson masih belum diketahui sepenuhnya.

Faktor genetik dianggarkan menyumbang kepada kira-kira 10 hingga 15 peratus kes, manakala pendedahan kepada faktor persekitaran tertentu, termasuk racun perosak dan kecederaan kepala, turut dikaitkan dengan peningkatan risiko penyakit ini. Penyakit Parkinson berlaku apabila sel saraf yang menghasilkan dopamin di dalam otak mengalami kemerosotan secara beransur-ansur. Dopamin ialah neurotransmiter yang memainkan peranan penting dalam mengawal pergerakan.

Gejala penyakit Parkinson terbahagi kepada gejala motor dan bukan motor. Kekurangan dopamin menyebabkan isyarat yang mengawal pergerakan badan terganggu, lalu mencetuskan gejala motor penyakit Parkinson. Perubahan lain dalam sistem saraf pula boleh menyumbang kepada gejala bukan motor.

Gejala motor utama ialah pergerakan yang menjadi perlahan atau bradikinesia, kekakuan otot dan geletar (tremor) ketika anggota badan sedang berehat. Pada peringkat awal, gejala biasanya bermula pada sebelah badan dan mungkin kekal lebih ketara pada bahagian tersebut walaupun kedua-dua belah badan akhirnya terjejas. Gangguan keseimbangan dan risiko untuk jatuh pula lazimnya berlaku apabila penyakit menjadi semakin serius.

Walau bagaimanapun, bukan semua pesakit mengalami geletar. Sesetengah pesakit mungkin lebih dahulu menyedari perubahan seperti langkah yang semakin pendek, kesukaran memulakan pergerakan, tulisan yang semakin kecil atau mengambil masa yang lebih lama untuk melakukan aktiviti harian.

Selain itu, pesakit juga boleh mengalami gejala bukan motor seperti kemurungan, keresahan, sembelit, pening ketika berdiri, gangguan tidur, kesukaran berfikir dan halusinasi. Pesakit turut berisiko mengalami masalah berkaitan pembuangan air kecil seperti kerap membuang air kecil, terjaga pada waktu malam untuk membuang air kecil dan sukar menahan air kencing. Gejala-gejala ini kadangkala memberikan kesan yang lebih besar terhadap fungsi harian dan kualiti hidup pesakit berbanding gejala motor.

Ubat-ubatan untuk rawatan Parkinson

Pemilihan ubat perlu disesuaikan dengan jenis gejala, tahap gangguan terhadap aktiviti harian, umur, fungsi kognitif serta keadaan kesihatan setiap pesakit. Ubat-ubatan yang tersedia pada masa ini tidak dapat menyembuhkan penyakit Parkinson atau menghentikan perkembangannya, tetapi boleh membantu mengurangkan gejala dan mengekalkan keupayaan pesakit untuk menjalani aktiviti harian.

Rawatan biasanya dimulakan apabila gejala mula mengganggu pergerakan, pekerjaan atau urusan harian pesakit. Doktor lazimnya memulakan rawatan dengan dos yang rendah sebelum meningkatkannya secara beransur-ansur sehingga kesan yang dikehendaki tercapai. Pendekatan ini membantu mengurangkan risiko kesan sampingan kerana tindak balas terhadap ubat boleh berbeza antara pesakit.

Beberapa jenis ubat digunakan untuk mengawal gejala motor penyakit Parkinson, sama ada sebagai rawatan tunggal atau secara gabungan. Antara ubat yang biasa digunakan termasuklah:

i. Levodopa

Levodopa ialah ubat yang paling berkesan untuk mengawal gejala seperti bradikinesia dan kekakuan otot serta boleh membantu mengurangkan geletar pada sesetengah pesakit. Setelah sampai ke otak, levodopa ditukarkan kepada dopamin, sekali gus membantu menggantikan kekurangan dopamin yang berlaku akibat penyakit Parkinson.

Levodopa lazimnya digabungkan dengan carbidopa atau benserazide. Bahan ini mengurangkan penguraian levodopa sebelum ubat tersebut sampai ke otak. Gabungan berkenaan membolehkan lebih banyak levodopa sampai ke otak untuk memberikan kesan, di samping mengurangkan kesan sampingan seperti loya dan muntah.

ii. Agonis dopamin

Contoh ubat daripada kumpulan agonis dopamin termasuklah bromocriptine, pramipexole, ropinirole dan piribedil. Ubat-ubatan ini bertindak secara langsung pada reseptor dopamin untuk meniru kesan dopamin di dalam otak. Ubat dalam kumpulan ini boleh digunakan sebagai rawatan awal bagi sesetengah pesakit atau secara kombinasi dengan levodopa untuk membantu memanjangkan tempoh kawalan gejala.

Walau bagaimanapun, agonis dopamin boleh menyebabkan rasa mengantuk, pening ketika berdiri, kekeliruan dan halusinasi. Dalam sesetengah kes, agonis dopamin juga boleh menyebabkan gangguan kawalan impuls seperti peningkatan keinginan seksual dan makan secara berlebihan.

iii. Perencat monoamine oxidase-B (MAO-B)

Ubat daripada kumpulan perencat MAO-B, seperti selegiline, bertindak dengan mengurangkan penguraian dopamin di dalam otak.

iv. Perencat catechol-O-methyltransferase (COMT)

Perencat COMT, seperti entacapone, digunakan bersama-sama levodopa untuk melambatkan penguraiannya dan memanjangkan tempoh kesan setiap dos.

v. Ubat antikolinergik

Ubat antikolinergik seperti benzhexol boleh membantu mengurangkan geletar. Namun begitu, penggunaannya terhad kepada pesakit tertentu kerana ubat ini boleh menyebabkan mulut kering, sembelit, penglihatan kabur, kesukaran membuang air kecil, kekeliruan dan gangguan daya ingatan. Risiko tersebut perlu diberikan perhatian khusus, terutamanya dalam kalangan pesakit warga emas.

vi. Amantadine

Amantadine digunakan untuk mengurangkan gejala motor yang dialami oleh pesakit. Selain itu, ubat ini juga dapat membantu mengurangkan diskinesia, iaitu pergerakan tidak terkawal yang boleh berlaku akibat rawatan dopaminergik.

Nasihat untuk pesakit dan penjaga

Pesakit dan penjaga perlu memberikan perhatian kepada rawatan sokongan seperti fisioterapi, terapi cara kerja, terapi pertuturan, aktiviti fizikal yang sesuai dan sokongan pemakanan. Aktiviti seperti berjalan kaki, menari, hidroterapi, latihan regangan dan latihan rintangan boleh dilakukan mengikut kemampuan pesakit untuk membantu mengekalkan pergerakan, kekuatan otot dan keseimbangan. Terapi cara kerja pula membantu pesakit terus melakukan aktiviti harian seperti berpakaian, makan dan menjaga kebersihan diri, manakala terapi pertuturan dapat menyokong keupayaan berkomunikasi.

Ahli keluarga dan penjaga juga memainkan peranan penting dengan memberikan sokongan emosi, bantuan praktikal dan galakan supaya pesakit kekal terlibat dalam aktiviti harian. Pendekatan ini melengkapkan rawatan ubat-ubatan serta membantu pesakit mengekalkan kebolehan berdikari dan kualiti hidup.

Keberkesanan rawatan Parkinson turut bergantung pada kepatuhan pesakit terhadap pelan rawatan yang ditetapkan. Pesakit perlu mengambil ubat mengikut dos dan waktu yang ditetapkan serta tidak mengubah atau menghentikan rawatan tanpa berbincang dengan doktor atau ahli farmasi. Hal ini penting kerana ketidakpatuhan terhadap pengambilan ubat boleh menyebabkan gejala muncul semula dan menjadi lebih sukar dikawal. Pesakit atau penjaga juga harus memaklumkan sebarang kesan sampingan seperti rasa mengantuk yang berlebihan, pergerakan tidak terkawal, perubahan tingkah laku atau halusinasi supaya rawatan dapat dinilai semula.

Sebagai kesimpulan, rawatan penyakit Parkinson perlu disesuaikan mengikut gejala dan keadaan setiap pesakit. Kepatuhan terhadap pengambilan ubat, disokong oleh rawatan bukan ubat, dapat membantu mengawal gejala. Perbincangan antara pesakit, penjaga dan ahli profesional kesihatan juga penting untuk mengenal pasti rawatan yang optimum dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup pesakit.

Disediakan oleh Dr. Nur Azra binti Mohamad Pauzi (Pegawai Farmasi UF14, Unit Informasi Kesihatan Integratif, Pusat Penyelidikan Perubahan Herba, Institut Penyelidikan Perubatan) untuk Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi (BAPF), KKM x The Malaysian Medical Gazette Series. Kolaborasi seperti ini diharap dapat memperkasa usaha penyampaian informasi ubat-ubatan kepada lebih ramai pengguna, di samping memperlihatkan peranan pihak penerbitan dan saluran media baharu dalam usaha mendidik pengguna.

RUJUKAN

  1. Adzmin J FS, S N, Noor A A, Manzoor A F. Primary Diagnosis and Length of Hospital Stay of Person with Parkinson’s Disease in a Teaching Hospital: A Cross-Sectional Study. Med Health [Internet]. 2023 Jun 16 [cited 2025 Jan 27];18(1):106–16.
  2. Ameerah Izzati, N. M. N., & Atikah, A. @ J. (2020). Parkinson’s disease. Pharmacy Bulletin, 3/2020. Jabatan Farmasi, Hospital Tengku Ampuan Afzan.
  3. Beidler GP. American Parkinson Disease Association. 2020 [cited 2025 Jan 31]. Who Was James Parkinson?
  4. Lim, S.-Y., Norlinah Mohd. Ibrahim, Santhi Puvanarajah, Lee, M. K., Chee, K. Y., Shanthi Viswanathan, Tan, A. H., Chris Chong, K. T., & Kamal Azrin Abdullah @ Kalai Arasu Muthusamy. (2012). 2012 consensus guidelines for the treatment of Parkinson’s disease. Movement Disorders Council, Malaysian Society of Neurosciences.
  5. Lim, S.-Y., Puvanarajah, S., & Norlinah Mohd. Ibrahim. (2011). Parkinson’s disease: Information for people living with Parkinson’s. Malaysian Parkinson’s Disease Association.
  6. Malaysian Parkinson’s Disease Association. Penyakit Parkinson: Maklumat untuk pesakit Parkinson. 2022.
  7. Minnis G. Medical News Today. 2022 [cited 2025 Feb 28]. How can physical therapy help Parkinson’s disease?
  8. National Institute of Aging. Parkinson’s Disease: Causes, Symptoms, and Treatments.
  9. Parkinson’s Foundation. Parkinson’s Disease: Causes, Symptoms, and Treatments [Internet]. [cited 2025 Feb 28].
  10. Peluang pesakit Parkinson hidup normal. Berita Harian [Internet]. 2021 May 8 [cited 2025 Jan 27].
  11. Radder DLM, Lígia Silva de Lima A, Domingos J, Keus SHJ, van Nimwegen M, Bloem BR, et al. Physiotherapy in Parkinson’s Disease: A Meta-Analysis of Present Treatment Modalities. Neurorehabil Neural Repair. 2020 Oct 11;34(10):871–80.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box