Sinus di Hadapan Telinga: Adakah Perlu Dibedah? – Dr Ahmad Nordin

Kita kadangkala ada melihat bukaan kecil di hadapan telinga. Ini digelar sinus preauricular (bermaksud: pre-sebelum, auricular-telinga). Sinus ialah sebarang saluran di bawah kulit dengan satu pembukaan di kulit. Harap anda tidak keliru dengan sinus hidung. Biasanya, ia tidak mendatang sebarang bahaya. Tetapi di kalangan kecil, ia boleh menjadi bengkak, merah & sakit. Saya akan menerangkan perihal penyakit ini.

Telinga kita terbentuk dari beberapa bonjolan kecil semasa pembentukan janin. Bonjolan ini akan berlingkar menjadi bulatan dan menjadi cuping telinga. Bila wujud satu ruang kosong antara bonjolan ini, satu lubang akan terbentuk di luar dan terdapat saluran kecil yang terbentuk di bawah kulit tersebut. Ia biasa kelihatan di bahagian hadapan telinga, tetapi antara golongan kecil ia boleh terjadi di mana sahaja bahagian telinga luar.

Wanita ini mempunyai sinus preauricular di kedua belah telinga. Tetapi hanya sebelah sahaja yang mrngalami jangkitan berulang.

Imej 1: Sinus preauricular kiri, tiada jangkitan.

Anda dapat perhatikan lekukan kecil di hadapan telinga kiri, ini tidak menunjukkan sebarang jangkitan.

Imej 2: Sinus preauricular kanan dengan tanda jangkitan & parut lama, tetapi tiada jangkitan ketika ini.

Anda dapat perhatikan parut dan kemerahan di hadapan sinus preauricular telinga kanan, di mana di bawah kulit ini terdapat bisul dan nanah sebelum ini (sebahagiannya dilitupi oleh plaster dalam gambar ini). Saya akan menunjukkan bagaimana kami mengeluarkan saluran tersebut. Pembedahan boleh dijalankan secara bius setempat atau bius am.

Imej 3: Kawasan pembedahan dicuci & dilitupi oleh kain. Bebola kapas diletakkan di dalam salur telinga untuk menghindari cecair mengalir ke dalam salur telinga.

Kawasan pembedahan dibersihkan dengan iodin dan dialas untuk mengekalkan kawasan steril.

Imej 4: Saluran tersebut dibesarkan oleh sejenis besi tumpul untuk memudahkan kemasukkan pewarna nanti.

Imej 5: Suntikan pewarna biru ke dalam saluran preauricular sinus.

 

Kami biasanya memilh pewarna metilin biru (methylene blue) untuk disuntik ke dalam sinus. Ini untuk mengesan selaput saluran. Sekiranya terdapat kebocoran, warna biru akan kelihatan.

Imej 6: Kulit disuntik dengan ubat ‘marcaine adrenaline’.

Suntikan ubat bius setempat dengan adrenaline ialah untuk mengurangkan sakit pasca pembedahan dan untuk mengurangkan perdarahan semasa pembedahan.

Belahan di kulit dibentuk di sekeliling lekukan tersebut dan potongan dipanjangkan ke bawah mengikut arah saluran di bawah kulit. Diseksi dilakukan mengikut saluran sehingga penghujung salur. Prosedur ini mengambil masa lebih kurang 30 minit. Perlu diingatkan bahawa saluran tersebut mesti dipotong dengan lengkap. Jika tidak, penyakit ini boleh berulang.

Imej 7: Saluran tersebut dibedah dengan menggunakan ‘artery forcep’ di tangan kanan sementara ditarik dengan tangan kiri menggunakan ‘Allis forcep’.

Imej 8: Rupa saluran yang telah dibedah. Lekukan pada kulit kelihatan di bahagian atas spesimen.

 

Perdarahan dihentikan, kawasan pembedahan dicuci dengan air suling steril dan kulit dijahit semula. Jahitan boleh dilakukan di bawah kulit tanpa dibuka semula. Di sini, kami menggunakan benang Nylon yang akan dibuka dalam 7 hari.

Akhirnya, balutan digunakan dan akan dibuka hari seterusnya.

Imej 9: lima jahitan nylon digunakan semasa kes ini.

Imej 10: Balutan diletakkan untuk menyerap darah dan bendalir dari tempat jahitan.

Rawatan susulan akan dilakukan dalam beberapa minggu selepas ini. Ada segolongan kecil memerlukan pembedahan semula sekiranya jangkitan berulang. Kadangkala jangkitan yang teruk ada pembentukan nanah. Kami sedaya upaya mengelakkan dari memotong kulit untuk mengeluarkan nanah kerana parut akan terjadi dan mengakibatkan pembedahan di atas susah dilakukan. Pengeluaran nanah dengan jarum lebih sesuai pada ketika ini.

(Penghargaan: Saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pesakit, ibubapa dan kakitangan yang memberi kebenaran mengambil gambar mereka bagi tujuan pendidikan kesihatan bagi pihak awam)

Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Ahmad Nordin, seorang pakar ENT yang bertugas di sebuah hospital di Sabah. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

 

Rujukan:

  • Outcome of Patients Presenting With Preauricular Sinus in a Tertiary Centre – A Five Year Experience
  • I P Tang, MD, S Shashinder, MS (ORL-H&N), S Kuljit, MS (ORL-H&N), K G Gopala, FRCS
  • Med J Malaysia Vol 62 No 1 March 2007

17 comments for “Sinus di Hadapan Telinga: Adakah Perlu Dibedah? – Dr Ahmad Nordin

  1. putih
    November 24, 2014 at 1:05 pm

    Salam…
    saya nak tanya…
    anak perempuan mempunyai sinus prearicular…tapi bagaimana saya nak pastikan di dijangkiti atau tidak.
    kadang kala telinga anak agk berbau sikit jika dicium area situ..dan sy akn picit sehingga keluar cecair agk kuning cair. Setelah dipicit br tidak berbau..
    apakah tindakan perlu sy lakukn

    • Dr Ahmad Nordin
      January 8, 2015 at 9:48 pm

      Wasalam Putih,

      Mohon maaf atas kelewatan menjawab soalan.

      Cecair kuning atau putih kadangkala akan keluar dari sinus. Tetapi jika tiada bengkak atau kemerahan, ia boleh dipantau & tidak perlu dibedah pada pendapat saya.

      Jika anda risau & bimbang ia mungkin bertukar menjadi nanah & jangkitan- anda boleh merujuk kepada pakar ENT anda.

  2. grasia
    November 24, 2014 at 1:24 pm

    sy ada sinus d telinga kiri yg mngeluarkn cecair warna putih dan berbau busuk…sy selalu picit utk keluarkn cecair, pernah juga jadi bengkak sedikit tp x sakit…keadaan ni normal ke x?

    • Dr Ahmad Nordin
      January 8, 2015 at 9:53 pm

      Hi Grasia,

      Mohon maaf kerana lambat menjawab.

      Ada sesetengah sinus akan mengeluarkan cecair, tetapi tidak menjadi bengkak.

      Jika ia kerap menjadi bengkak, baik anda berjumpa dengan pakar ENT untuk rawatan lanjut, sama ada perlu dibedah atau tidak. Sekiranya ia bengkak, ada kemungkinan ia mengalami jangkitan minor, di mana badan anda boleh mengawal jangkitan tanpa mengambil antibiotik.

  3. manisah
    November 24, 2014 at 3:02 pm

    Assalam doc ank sya b’umr 5bln dan mpunyai lbg d tlga sprti pic d ats tpi smkin ank sya m’bsr lbg itu smkin kcil dan alahamdullilah stakat ini ank sya sht dan aktif. adakah sya prlu b’jmpa pkr??? Mohon dr dpt m’bntu sya mcri pnylesain utk ank sya

    • Dr Ahmad Nordin
      January 8, 2015 at 9:57 pm

      Waalaikumussalam Manisah,

      Minta maaf kerana lambat menjawab.

      Kebanyakan sinus telinga tidak perlu sebarang rawatan & pemeriksaan lanjut. Jika ia menjadi bengkak, merah & mengeluarkan nanah- silka jumpa doktor untuk rawatan antibiotik.

      Jika anda kurang pasti dengan penjelasan saya, anda boleh berjumpa doktor anda.

  4. nurliyana
    November 24, 2014 at 5:21 pm

    tanx 4 the info…maaf Dr. sy nk tny adakah sinus bmula sjk kecil..dan jika sinus ini tdk jkgkiti adakah ianya msih bleh mmudarat kn pskt..dan mnggu kshtn ..anak st berumur 2 thun dan suami sy lihat ade sinus seperti dlm gmbr di atas…mohon beri pnjelasan..

  5. doralin
    November 24, 2014 at 9:27 pm

    Saya ada sinus ni. Dah tiga kali jadi bisul. Kali terakhir, bengkak dan bisul yang terjadi telah dibelah besar oleh ma untuk mengeluarkan nanah, jadi adakah saya masih boleh membuang sinus tersebut? Kerana ini kenyataan di atas ”

    Kami sedaya upaya mengelakkan dari memotong kulit untuk mengeluarkan nanah kerana parut akan terjadi dan mengakibatkan pembedahan di atas susah dilakukan. Pengeluaran nanah dengan jarum lebih sesuai pada ketika ini.”

    • Dr Ahmad Nordin
      January 8, 2015 at 10:14 pm

      Hello Doralin,

      Saya harap anda memaafkan saya kerana lewat menjawab.

      Sinus tersebut masih boleh dibuang, tetapi ia agak sukar kerana:
      1. telah 3 kali dijangkiti
      2. belahan besar pernah dilakukan

      Setiap kali ia dijangkit, tisu parut akan terbentuk & lebih banyak tisu parut yang ada, semakin sukar pembedahan tersebut dijalankan dengan jayanya. Pengeluaran nanah dengan jarum lebih sesuai kerana ia mengurangkan pembentukan tisu parut. Tetapi ada sesetengah kes, belahan perlu dilakukan kerana bisul terlalu besar.

      Anda patut berjumpa pakar ENT untuk pembedahan tersebut, kerana ada risiko ia memang akan berulang lagi. Perlu diingatkan bahawa ada risiko jangkitan akan berulang sekiranya ada kantung sinus yang tertinggal selepas pembedahan kerana kesukaran mengenalpastinya semasa pembedahan akibat parut yang berlebihan selepas jangkitan berulang sebelum ini.

  6. Dr Ahmad Nordin
    January 8, 2015 at 10:05 pm

    Hi Nurliyana,

    Ia memang ada dari lahir. Jika tiada jangkitan, ia tidak memberi sebarang kesan atau mengganggu kesihatan kepada individu tersebut. Cuma beliau akan ada risiko mendapat jangkitan di sinus bila-bila masa sepanjang hidupnya. Mujurlah dari ramai orang yang mempunyai sinus ini, hanya segelintir sahaja yang biasa mendapat jangkitan sinus tersebut.

  7. dayangsenandung
    January 22, 2015 at 3:44 pm

    salam.. 1. anak sy 7 bln.. ada sinus preauricular.. bila sy picit..keluar cecair warna kelabu.. tidak berbau.. adakah perlu mendapat rawatan?

    2. adakah sinus preauricular ini berbahaya?

    3. adakah ia akan menggangu sistem pendengaran?mohon penjelasan.. terima kasih..

  8. Dr Ahmad Nordin
    January 26, 2015 at 11:46 pm

    Wasalam Dayang Senandung,

    1. Cecair kelabu atau putih agak biasa. jika kekunungan dan kulit di sekelilingnya menjadi merah- ia adalah menjadi jangkitan. Ada baiknya jika ianya tidak diganggu atau dipicit

    2. Ia bahaya jika mendapat jangkitan

    3. Preauricular sinus biasanya tidak mengganggu pendengaran

  9. shafinaz
    March 26, 2015 at 5:53 pm

    Salam.. anak sy berusia 2 thn lbh… saya selalu picit lubang ni..dan akn keluar warna kuning yg busuk. Ttp lubang ni bukan berada dikedudukan spt pesajit diatad. Lubang ank sy ada di cuping telinga. Dan akan terlihat benjolan di belakang cuping. Dan lg satu ada lubang kat anak telinga. Dan lubang tu kadang kalau sy korek mcm ada tahi telinga. Adakah saya perlu jumpa pakar jg?

  10. Mimi
    March 29, 2015 at 8:56 am

    Salam Dr.,

    Saya ada lubang kecil seperti di gambar atas di telinga sejak kecil, tetapi setelah hampir lebih 30 tahun, hanya baru2 ini, dlm 2 minggu ini, saya ada rasa bengkak di bahagian lubang tersebut tetapi tidak kemerahan. Jika tekan ada rasa sakit. Adakah itu tanda jangkitan?

  11. Abdul Rahman
    April 17, 2015 at 1:17 am

    Thanks atas perhatian Dr…

  12. nor
    July 4, 2015 at 6:58 am

    Terima kasih atas maklumat doktor. Setelah 40 tahun baru saya tahu nama lubang kecil berdekatan telinga kanan saya.

  13. Akma
    November 24, 2015 at 10:54 am

    Owh. Baru saya tahu lubang tu. Suami & anak saya umur 3 bulan ada sejak lahir. Saya ingat tu tanda lahir. Terima atas maklumat. Alhamdulillah setakat ni mereka berdua sihat. Akan berjaga2 jika ada tanda2. Terima kasih

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box