Pukul berapa nak pantau gula (BSP) ketika Ramadhan?- Dr Shaiful Ehsan

diabetesPernahkah anda disuruh oleh doktor untuk memantau bacaan gula, iaitu sebelum dan selepas makan sebagai langkah melihat kawalan kencing manis? Anda disuruh melakukan pemantauan berkala blood sugar profile (BSP) di klinik desa ketika mengandung? Iaitu sebelum makan pagi, makan tengahhari, makan malam dan sebelum tidur? Namun bagaimana pula rutin pemantauan ini ketika Ramadhan yang mana tiada istilah makan pada waktu siang….perlukah bacaan awal pagi dan tengahhari diteruskan?

Itu adalah persoalan yang sering ditanya, bukan sahaja oleh pihak pesakit tetapi juga pihak doktor dan staf kesihatan itu sendiri. Berikut adalah waktu yang disarankan untuk melakukan pemantauan, terutama bagi mereka yang mengambil rawatan insulin ketika berpuasa Ramadhan:

  1. Sejurus sebelum sahur – untuk memantau keberkesanan dan kesan insulin yang diberi pada waktu lewat malam sebelum tidur atau sebelum berbuka puasa
  2. 2 jam selepas sahur – untuk memantau kenaikan gula selepas makan sahur dan keberkesanan insulin yang diberi sebelum bersahur (insulin sama seperti insulin yang diberi pada sebelum makan pagi tapi pada dos yang lebih rendah)
  3. Waktu tengah hari (biarpun berpuasa) – untuk melihat jika ada kekurangan gula (hipoglisemia) dan kesan insulin yang diberi sebelum sahur
  4. Sebelum berbuka – untuk melihat kekurangan gula setelah lama berpuasa biarpun tiada gejala hipoglisemia dan langkah berjaga-jaga sebelum memberi insulin pada waktu berbuka puasa besar
  5. 2 jam selepas berbuka puasa – untuk melihat keberkesanan insulin yang diberi sebelum berbuka puasa

Bacaan selepas makan sebaik-baiknya hendaklah kurang daripada 7.8. Manakala sekitar puasa adalah lebih kurang 4 hingga 6.

Berikut adalah CONTOH jadual bacaan yang dicadangkan dengan kekerapan yang minima, terutama bagi kencing manis ketika mengandung:

Sekitar 8am (selepas sahur) <7.8 (1jam selepas), ≤6.7 (2jam selepas makan)
Sekitar 12pm (berpuasa) ≤5.3
Sekitar 6pm (berpuasa / sebelum berbuka) ≤5.3
Sekitar 9pm (selepas berbuka puasa besar) ≤7.8 (1jam selepas), ≤6.7 (2jam selepas makan)

Namun begitu, semua pesakit digalakkan melakukan pemantauan bacaan gula dengan segera sekiranya mengalami tanda-tanda kekurangan gula seperti berpeluh-peluh, rasa nak pitam, sangat letih dan sebagainya.

Mereka digalakkan berhenti dari meneruskan puasa jika:

  1. Bacaan gula rendah dari 3.3 pada mana-mana waktu.
  2. Bacaan gula rendah dari 3.9 pada jam yang pertama selepas berpuasa.
  3. Bacaan gula menjadi terlalu tinggi, lebih dari 16.7.
  4. Mengalami gejala-gejala kekurangan gula.

Secara kesimpulannya, risiko untuk berpuasa bagi pesakit kencing manis adalah berbeza mengikut individu tertentu. Pesakit yang berisiko tinggi namun berhasrat untuk berpuasa perlulah mendapatkan maklumat yang lebih jelas daripada pihak kesihatan berkenaan risiko tersebut dan perubahan yang perlu dilakukan ketika berpuasa.

Rujukan:

1) Clinical Practice Guidelines Management of Type 2 Diabetes Mellitus 2015 (5th Edition).

2) Practical Guide to Diabetes Management in Ramadhan 2015.

Artikel ini ditulis sempena menyambut ketibaan bulan Ramadan yang mulia ini. Selamat menjalankan ibadat puasa dari keluarga MMG.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box