Pemeriksaan Sendiri Payudara: Tidak Pandai Bukan Alasan – Azizul Ismie Mohd Puad

Sumber: orlandohealthblog.com

Sumber: orlandohealthblog.com

Bekerja sebagai seorang sonografer di sebuah klinik ginekologi (sakit puan dan bidan) swasta, bidang tugas saya mencakupi imbasan janin, peranakan wanita dan juga payudara.

Setiap hari saya akan berdepan dengan pelbagai jenis dan ragam pesakit yang datang untuk membuat pemeriksaan am, saringan dan imbasan ketulan payudara.

Sebagai rutin dan memang kebiasaan saya sejak awal lagi, saya akan mengajukan beberapa soalan, sekadar untuk menghilangkan kekok dan untuk mengetahui tahap kesihatan wanita yang bertemu saya itu. Soalan yang biasa saya tanya ialah “Pernahkah puan membuat pemeriksaan imbasan/mammogram sebelum ini?”, “Biasa buat pemeriksaan payudara sendiri di rumah?” dan “Pernahkah terasa apa-apa ketulan, bengkak, berbiji-biji pada payudara?”

Untuk soalan pertama, ada yang menjawab “pernah”, ada yang tidak. Ini boleh difahami kerana sesetengah pesakit memang tinggal di luar bandar dan kemudahan mammogram terhad. Tetapi untuk soalan kedua dan ketiga, saya dapati jawapan yang kerap saya terima sangat mengecewakan.

Kebanyakan wanita menjawab “saya tak pandai”. Satu sebab kehampaan saya ialah pertama, pemeriksaan sendiri payudara ialah sangat mudah dan kedua, kita tak perlu belajar hingga ke universiti untuk merasa ada benjolan pada tubuh sendiri!

Tambahan pula, kempen kesedaran kanser telah dimulakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dengan penekanan terhadap  Pemeriksaan Sendiri Payudara sejak tahun 1995 lagi. Nampak gayanya, setelah hampir dua puluh tahun kempen, sebaran maklumat dan risalah, kesedaran masyarakat masih belum dapat dipupuk sepenuhnya.

Maafkan saya jika artikel ini tidak mengandungi sebarang angka, fakta atau rujukan untuk dijadikan sandaran. Untuk fakta atau statistik, silalah cari dalam mana-mana jurnal kesihatan atau laporan audit. Memang niat saya semata-mata untuk mengutarakan kekecewaan saya lantaran sikap masyarakat yang tidak mengambil cakna kesihatan tubuh badan sendiri.

Tidak dinafikan, tahun-tahun kebelakangan ini, ada agensi kebangsaan dan kerajaan negeri yang menawarkan program saringan mammogram bertaja. Tahniah diucapkan atas inisiatif terpuji dan syukur kepada Tuhan, ramai yang mengambil peluang menjalani pemeriksaan. Akan tetapi, program sebegitu terhad kepada wanita senior sahaja. Adakah wanita yang lebih muda tidak berisiko dan tidak perlu ambil peduli?

Saranan saya, pihak-pihak berpengaruh, NGO, badan kebajikan dan kementerian perlu lebih berusaha meningkatkan kefahaman golongan wanita di negara ini berkenaan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP). Penekanan perlu diberikan kepada betapa mudahnya pemeriksaan ini dilakukan berbanding manfaatnya yang ternyata sangat besar. Mungkin boleh juga dimasukkan ke dalam sukatan pelajaran pendidikan jasmani dan kesihatan peringkat sekolah menengah.

Hakikatnya, PSP ialah sangat mudah, menjimatkan masa dan percuma. Kaum wanita sanggup berhabis wang demi kecantikan; kosmetik dan plastik, tetapi kadang kala terlupa akan hal-hal yang asasi.  PSP boleh dilakukan selepas mandi di dalam bilik air sambil menghadap cermin. Dan kita mandi setiap hari!

Saranan saya, tolonglah luangkan masa dan belajar PSP. Demi diri anda dan insan-insan tersayang.

Kaum lelaki juga sila belajar dan peka dengan PSP. Kanser ‘payu’ boleh juga menghinggapi ‘teruna’.

En. Azizul Ismie seorang sonografer yang mengamalkan sikap profesionalisme sepanjang kerjayanya dan sangat mengutamakan pendidikan kesihatan di kalangan pesakit beliau.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box