Paracetamol: Sejauh Manakah Keselamatannya? – Dr Hidayatul Radziah Ismawi

Paracetamol_2163555bParacetamol adalah antara ubat yang paling sering digunakan seluruh dunia kerana boleh didapati tanpa preskripsi doktor. Ia mempunyai pelbagai kegunaan, agak murah dan selamat secara relatif. Pada zaman media sosial ini, ianya juga antara ubat yang paling terkenal dan seringkali disebarkan melalui perkongsian viral yang bertajuk skandal seperti “Doktor Tidak Mengambil Paracetamol Kerana Membawa Kepada Kegagalan Hati Yang Memerlukan Dialisis Buah Pinggang (????).”

Rehatkan jari anda daripada menekan butang “SHARE” untuk seketika dan fikir, berapa banyak yang kita benar-benar tahu tentang ubat ini? Adakah terdapat asas kepada semua dakwaan tersebut? Adakah dengan berkongsi maklumat sebegitu akan memberi kebaikan kepada orang-orang di senarai kawan anda atau menambah kepada senarai bahan yang dikongsi “just in case” ianya benar?

Paracetamol (atau lebih dikenali sebagai Panadol di Malaysia) mula-mula ditemui pada tahun 1880an. Pada mulanya Paracetamol dipasarkan pada tahun 1955 sebagai ubat antipiretik (untuk meredakan demam) dan analgesik (untuk melegakan kesakitan). Cara penggunaan paracetamol yang disyorkan adalah dengan tersendiri atau bersama ubat penghilang kesakitan yang lebih kuat untuk merawat kesakitan tahap rendah, sederhana, atau tinggi (tangga analgesik WHO). Ianya juga kerap digunakan untuk merawat kesakitan jangka masa panjang seperti sakit sendi, sakit otot atau sakit urat. Paracetamol juga digunakan untuk pesakit di mana penggunaan ubat-ubatan melegakan kesakitan yang lain seperti NSAIDs tidak digalakkan; seperti pada wanita hamil, kanak-kanak, pesakit yang mengalami gastrik ulser dan penyakit darah.

Agak menghairankan kerana mekanisma tepat tentang cara paracetamol bertindak belum dapat dipastikan secara sepenuhnya walaupun sebelum ini, telah diterima secara am bahawa ia mempunyai kesan yang berpusat pada otak. Namun begitu, hasil daripada penyelidikan terbaru menunjukkan paracetamol bertindak pada semua peringkat saluran kesakitan (untuk kesan analgesik) dan diluar pusat otak untuk kesan anti-demam.

Pada kadar dos maksimum 4g/24jam (biasanya 1 tablet bersamaan 500mg, oleh itu 4g bersamaan 8 tablet), tiada kesan sampingan serius akan berlaku jika diambil dalam lingkungan dos tersebut kecuali kemungkinan kesan alahan pada kulit. Akan tetapi, jika anda mengambil paracetamol pada kadar yang lebih tinggi daripada kadar maksimum yang disyorkan atau mengambilnya berterusan untuk jangka masa yang lama, paracetamol boleh memberikesan sampingan.

Selepas seseorang menelan tablet paracetamol, 90% daripadanya diproses oleh hati menjadi hasil sampingan tidak aktif atau metabolites yang dikumuhkan menerusi buah pinggang (melalui air kencing). Hanya 5% dikumuhkan tanpa sebarang perubahan.

Kesimpulannya, paracetamol merupakan ubat yang secara relatifnya selamat untuk digunakan bagi melegakan demam dan merawat kesakitan mengikuti kadar yang disyorkan. Ia memberi kesan yang diingini serta diterima baik pada kebanyakan pengguna. Namun begitu, sekiranya disalahgunakan untuk sebab-sebab seperti teknik melangsingkan badan atau diambil bersama ubat lain, seperti alkohol atau rokok ia boleh membawa kepada kerosakan hati atau kematian. Oleh itu, sangat penting untuk menggunakannya hanya pada masa yang ditetapkan dan seperti yang diarahkan. Ingat, kadar maksimum ialah 4g/24jam. Sekiranya anda terjumpa perkara viral jenis “copy & paste” tentang “seorang doktor” di “sebuah hospital” mengatakan paracetamol membawa kemudaratan, ulang selepas saya Hanya jika diambil pada kadar melebihi 4g/24jam, diambil berterusan untuk jangka masa yang lama, dan disalahgunakan.” Nampak? Begitu besar perbezaannya apabila anda mempunyai pengetahuan yang tepat.

Dr. Hidayah seorang pensyarah perubatan di sebuah universiti tempatan serta pemegang Sarjana Farmakologi. Beliau juga Ketua Editor untuk The Malaysian Medical Gazette. Rencana ini diterjemahkan dari yang asal di pautan https://www.mmgazette.com/paracetamol-how-safe-is-it-dr-hidayatul-radziah-ismawi/ oleh Nur Nadhirah.

Rujukan:                                                                                                                                        

  • MARTA JÓŹĘWIAK-B BENISTA and JERZYZ.NOWAK, 2014,  Paracetamol: Mechanism of action, applications and safety concerns, Acta Poloniae Pharmaceutica ñ Drug Research, Vol. 71 No. 1 pp. 11-23, 2014.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box