Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2014 Peringkat Kebangsaan- KKM

Untitled-1Tahun ini merupakan tahun yang ke-22 kita menyambut Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia, dengan tema Penyusuan Susu Ibu: Satu Matlamat Kejayaan Sepanjang Hayat (Breastfeeding: A Winning Goal for Life). Tema pada tahun ini menekankan kepentingan untuk meningkatkan dan mengekalkan perlindungan, galakan dan sokongan terhadap penyusuan susu ibu dalam agenda selepas 2015, iaitu tahun di mana berakhirnya Matlamat Pembangunan Milenium (Millennium Development Goals, MDG).

Matlamat Pembangunan Millenium adalah satu ketetapan yang telah dirangka oleh kerajaan-kerajaan dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi menilai secara komprehensif, kemajuan dalam memerangi kemiskinan dan menggalakkan pembangunan yang sihat dan mampan menjelang tahun 2015. Penyusuan susu ibu menyumbang kepada kelapan-lapan matlamat MDG tersebut. Contohnya, penyusuan susu ibu dapat meningkatkan kesihatan ibu, yang merupakan matlamat MDG yang ke-empat. Penyusuan susu ibu membantu mengurangkan kehilangan darah selepas bersalin, mengurangkan risiko kanser payudara dan ovari serta kehilangan jisim tulang selepas putus haid.

Salah satu usaha kerajaan bagi meningkatkan amalan penyusuan susu ibu adalah melalui pelaksanaan Inisiatif Hospital Rakan Bayi di hospital-hospital kerajaan dan swasta. Ianya bertujuan untuk menyediakan persekitaran dan anggota kesihatan terlatih yang dapat membantu ibu-ibu memulakan penyusuan susu ibu sebaik selepas kelahiran. Ini merupakan faktor yang penting dalam memastikan kejayaan penyusuan susu ibu. Sehingga kini, kesemua 127 hospital kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan telah diiktiraf sebagai Hospital Rakan Bayi. Walau bagaimanapun, kemajuan pelaksanaan inisiatif ini perlu dipertingkatkan lagi di hospital swasta. Sehingga kini, hanya 7.4% ataupun 13 daripada 175 buah hospital swasta yang telah diiktiraf sebagai Hospital Rakan Bayi. Oleh itu, komitmen hospital swasta amatlah diperlukan agar lebih banyak lagi hospital swasta mendapat pengiktirafan ini.

Di samping itu, sokongan media massa dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan susu ibu amatlah diharapkan. Adalah menjadi harapan Kementerian Kesihatan agar media massa dapat mempromosikan penyusuan susu ibu sebagai satu amalan yang biasa di kalangan masyarakat Malaysia. Media massa perlu sentiasa mengaitkan pemakanan bayi dengan susu ibu dan bukan susu formula atau susu botol.

Oleh itu, saya ingin memohon kerjasama daripada semua pihak agar dapat turut sama menyokong dan mempromosikan amalan penyusuan susu ibu di Malaysia, selaras dengan Polisi Penyusuan Susu Ibu Kebangsaan. Polisi ini menyatakan bahawa Semua ibu digalakkan menyusui anaknya dengan susu ibu sahaja (penyusuan susu ibu secara eksklusif) dari lahir hingga berumur enam bulan dan meneruskannya sehingga mencapai umur dua tahun. Makanan pelengkap perlu diberikan mulai umur enam bulan”.

DATUK SERI DR. S. SUBRAMANIAM

Menteri Kesihatan Malaysia 18 Ogos 2014

N.B: Sila rujuk tab World Breastfeeding Week 2014 di bahagian Feature Articles untuk pelbagai artikel menarik mengenai penuyusuan ibu.

1 comment for “Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2014 Peringkat Kebangsaan- KKM

  1. October 7, 2014 at 2:34 pm

    susu ibu anugerah ilahi..susu ibu susu yang terbaik untuk simanja kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box