Memahami Isu Vape & E- Cigarette Dari Sudut Perubatan & Undang-Undang – Khairul Naim bin Zainal Abidin

Sumber gambar: The Straits Times

Budaya dan tabiat menghisap vape dan e-cigarette merupakan isu terkini yang menjadi perhatian di kalangan pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia, khususnya peniaga serta pengguna vape dan e-cigarette, pakar perubatan dan kesihatan, NGO dan ahli politik. Isu ini mencetuskan polemik yang masih lagi berterusan di kalangan masyarakat.

Vape dan e-cigarette merupakan dua entiti yang berbeza tetapi saling berkaitan. Vape merujuk kepada suatu sistem yang terdiri daripada peranti elektronik yang dipanggil sebagai mod, elemen pemanas iaitu coil, alat takungan cecair peruap yang dikenali sebagai tank dan cecair peruap (vape liquid). Mod merupakan peranti elektronik yang berfungsi mengawal voltan yang digunakan untuk memanaskan coil. Coil pula bertindak memanaskan cecair peruap yang disimpan di dalam tank dan menukarkan cecair tersebut menjadi wap dan gas (aerosol). Wap dan gas tersebut kemudian disedut melalui muncung bibir tank tersebut. E-cigarette pula merujuk kepada sistem yang sama dengan vape, iaitu terdapat komponen mod, coil, tank dan cecair peruap tetapi bezanya, cecair peruap bagi e-cigarette mengandungi nikotin.

Jumlah pengguna vape di Malaysia dianggarkan berjumlah seramai di antara 250 ribu dan sejuta pengguna. Sebagai perbandingan, World Health Organization menganggarkan seramai 4.7 juta rakyat Malaysia merokok. Terdapat dakwaan daripada pengguna vape bahawa kebanyakan mereka merupakan perokok yang beralih kepada tabiat menghisap vape. Harga bagi cecair vape dan e-cigarette kebiasaannya di antara RM40 – RM60 bagi setiap 30 ml, dan boleh bertahan selama seminggu hingga dua minggu bergantung kepada kekerapan penggunaan. Pengguna vape mendakwa kos menghisap vape atau e-cigarette lebih murah berbanding dengan kos menghisap rokok.

Terdapat beberapa perkara yang perlu diperhalusi apabila membincangkan berkenaan tabiat menghisap vape dan e-cigarette ini. Dari sudut perubatan, risiko kesan vape dan e-cigarette terhadap tubuh badan boleh dijangkakan dengan mempertimbangkan beberapa perkara. Buat masa kini tiada garis panduan khusus yang diperakukan oleh mana-mana pihak berkuasa kesihatan Malaysia, berkenaan cara untuk menghasilkan cecair vape dan e-cigarette yang selamat. Perkara ini penting, terutamanya apabila melibatkan e-cigarette kerana cecair e-cigarette mengandungi nikotin. Nikotin tidak boleh diambil secara berlebihan terutamanya oleh mereka yang mengalami masalah jantung. Oleh kerana tiada standard tertentu dalam penghasilan cecair e-cigarette, pengguna terdedah kepada risiko keracunan nikotin dan kesan buruk sekiranya cecair e-cigarette yang digunakan mengandungi kepekatan nikotin yang tinggi. Selain itu cecair e-cigarette yang mengandungi nikotin juga berbahaya sekiranya disedut oleh perempuan mengandung kerana nikotin boleh mengakibatkan kecacatan janin.

Penjualan vape dan e-cigarette yang tidak dikawal juga menyebabkan peranti tersebut boleh dijual kepada remaja dan pelajar sekolah yang pada asalnya tidak merokok. Tabiat menghisap vape pada usia muda boleh mendedahkan remaja dan pelajar kepada keinginan mencuba bahan ketagihan yang lain seperti rokok dan penyalahgunaan dadah. Selain itu, di Amerika Syarikat contohnya, terdapat trend di mana dadah sintetik diedar dan diambil dengan menggunakan kaedah vaping. Hal tersebut menyukarkan pihak berkuasa mengesan pengedaran dan pengambilan dadah, kerana dadah tersebut tidak lagi berbentuk dalam pil atau serbuk tetapi boleh disembunyikan dalam bentuk cecair vape atau e-cigarette.

Cecair vape dan e-cigarette kebiasaannya terdiri daripada glycerin, propylene glycol, perisa dan juga nicotine bagi e-cigarette. Propylene glycol merupakan bahan kimia yang selamat untuk digunakan sebagai bahan tambah makanan. Walaupun begitu, tidak ada ujian atau pengesahan oleh pihak berwajib sama ada propylene glycol selamat untuk disedut sebagai aerosol vape. Partikel aerosol vape juga boleh menyebabkan kerengsaan (irritation) pada salur nafas dan paru-paru kerana salur nafas dan paru-paru berfungsi untuk menyedut udara bagi mendapatkan bekalan oksigen untuk tubuh, bukan untuk menghidu wap, gas dan aerosol yang mempunyai partikel halus. Partikel halus yang disedut, baik melalui asap pembakaran, jerebu, rokok, e-cigarette mahu pun vape berpotensi untuk menyebabkan masalah gangguan pernafasan seperti asma dan chronic obstructive pulmonary disease (COPD). Selain itu, asap dan aerosol e-cigarette juga boleh menyebabkan kuman yang terdapat di salur pernafasan menjadi lebih kebal terhadap antibiotik. Ini kerana kuman yang terdedah kepada asap nikotin akan menghasilkan lapisan biofilm yang lebih tebal untuk melindungi diri mereka. Keadaan ini akan menyukarkan proses rawatan sekiranya penghisap vape mengalami masalah jangkitan kuman di paru-paru.

Dari sudut undang-undang, penjualan nikotin dalam bentuk selain daripada yang terdapat di dalam tembakau, perlu mematuhi beberapa akta dan peraturan iaitu Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984. Nikotin dalam bentuk cecair atau mana-mana bentuk dosej farmaseutikal merupakan Racun Berjadual yang hanya boleh dibekalkan oleh pengamal perubatan dan ahli farmasi. Selain itu, cecair nikotin juga perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan dihasilkan sebagai bentuk produk berdaftar, sebelum dipasarkan secara sah. Buat masa kini, masih belum ada produk cecair nikotin e-cigarette yang telah berdaftar dengan PBKD. Oleh itu, pemilikan,pengedaran, penghasilan dan penjualan cecair nikotin e-cigarette di pasaran adalah menyalahi undang-undang.

Kesimpulannya, dari sudut perubatan, pengunaan vape atau e-cigarette mendatangkan risiko masalah kesihatan terhadap pengguna, dan dari sudut undang-undang, penjualan cecair nikotin e-cigarette adalah menyalahi undang-undang. Perokok yang benar-benar ingin merawat ketagihan rokok disarankan agar berjumpa dengan pengamal perubatan dan ahli farmasi bagi mendapatkan rawatan yang telah terbukti berkesan dan selamat untuk merawat ketagihan mereka. Selain itu, sudah terdapat produk farmaseutikal yang mengandungi nikotin yang telah diperakukan selamat untuk digunakan bagi tujuan rawatan berhenti merokok. Masyarakat Malaysia secara amnya diseru agar mengamalkan gaya hidup sihat dengan menghindari diri daripada tabiat merokok dan juga menghisap vape atau e-cigarette.

Khairul Naim bin Zainal Abidin seorang pegawai farmasi yang bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia.

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]