Ketumbuhan di Payudara? – Dr. Ruhi Fadzlyana

Sumber: www.freemalaysiatoday.com

Sumber: www.freemalaysiatoday.com

Adakah semua ketumbuhan di payudara itu kanser?

Wanita dinasihatkan untuk memeriksa payudara sendiri sesudah sahaja habis kitaran haid pada setiap bulan. Dengan cara ini, sebarang kejanggalan pada payudara dapat dikenalpasti. Tidak semua benjolan di payudara itu adalah kanser. Ada banyak sebab atau punca benjolan atau ketumbuhan di payudara. Antaranya adalah :

  • Kanser payudara : benjolan selalunya tidak disertai dengan kesakitan di payudara. Sesetengah pesakit mempunyai perubahan pada kulit seperti kemerahan (erythematous), kulit tegang, atau tertarik kelihatan seperti lesung pipit (dimpling). Benjolan keras yang kekal atau membesar tidak berkaitan dengan putaran haid atau dikalangan wanita menopause.
  • Fibroadenosis : Ini adalah satu ketumbuhan bukan kanser (benign). Benjolan selalunya berbiji-biji, kadangkala beserta dengan sakit dan saiz akan berubah-ubah mengikut kitaran haid.
  • Galactocele (bengkak susu) : Benjolan yang terjadi di kalangan ibu-ibu yang sedang menyusukan anak.
  • Breast cyst : benjolan yang lembut. Boleh diketemui di kalangan semua umur pesakit.
  • Fibroadenoma : ketumbuhan yang sering berlaku dikalangan wanita berusia kurang dari 30 tahun. Biasanya tidak mendatangkan kesakitan dan pesakit akan merasa seperti biji guli di payudara.

Apa yang doktor akan lakukan?

Diagnosis atau punca penyakit bagi ketumbuhan dipayudara akan dikenalpasti setelah doktor mengambil sejarah penyakit dan memeriksa ketumbuhan pesakit. Antara gejala-gejala yang doktor akan bertanyakan kepada pesakit adalah :

  • Bentuk payudara yang berbeza. Sama ada besar atau kecil sebelah.
  • Puting payudara yang terbalik (inversion)
  • Perubahan kulit payudara yang baru atau berterusan.
  • Bendalir dari puting payudara – warna, kuantiti, kekerapan.
  • Ketumbuhan – jangkamasa, saiz, kesakitan, lokasi di payudara.
  • Kaitan antara ketumbuhan dan kitaran haid.

Setelah mengambil sejarah penyakit, doktor akan mengambil sejarah risiko kanser payudara di kalangan pesakit yang mempunyai ketumbuhan di payudara. Dengan cara ini, pesakit akan dikategorikan sebagai berisiko tinggi, sederhana atau rendah untuk mempunyai kanser payudara. Antara risiko kanser payudara adalah :

  • Umur melebihi 40 tahun bagi yang belum menopause dan melebihi 50tahun bagi sesakit yang sudah menopause
  • Sejarah ketumbuhan di payudara yang dilaporkan sebagai atypia (sel yang tidak normal dan berpotensi membawa sel kanser)
  • Sejarah kanser payudara di dalam keluarga dan mempunyai kejanggalan genetik seperti BRCA1 and BRCA2
  • Pesakit yang pernah menerima radioterapi seperti “Hodgkin Lymphoma”.
  • Kandungan pertama pada usia melebihi 30 tahun
  • Tidak menyusukan anak (Memberi susu ibu – menyusukan anak selama setahun akan melindungi daripada kanser payudara)
  • Penggunaan hormon estrogen atau “hormone replacement therapy”.
  • Kedatangan haid pertama pada usia kurang dari 12 tahun
  • Menopause pada usia melebihi 55 tahun.

Setelah mengambil sejarah penyakit, pesakit akan diperiksa di bahagian payudara. Ini adalah untuk mengenalpasti kedudukan benjolan. Selain daripada itu, bahagian kelenjar di bahagian ketiak dan leher akan diperiksa kerana, disinilah tempat kelenjar kanser payudara yang akan merebak. Jika pesakit disyaki mengalami kanser payudara; paru-paru, bahagian abdomen (perut) dan tulang belakang akan turut diperiksa oleh doktor.

Apakah ujian yang akan dilakukan?

Ujian yang khusus untuk payudara yang akan dijalankan merangkumi, ujian mammografi , ultrasound dan biopsi atau sitologi.

  • Mammografi – ujian X-ray khas untuk payudara.
  • Ultrasound – ujian untuk mengenalpasti lokasi ketulan dan ciri-ciri ketulan serta kehadiran kelenjar yang membengkak di ketiak.
  • Biopsi atau sitologi – jarum akan digunakan untuk menganbil sebahagian tisu atau sel bagi mengenalpasti apakah ketulan itu setelah penelitian dibawah mikroskop dilakukan.

Apakah rawatan yang akan dijalankan?

Rawatan adalah berdasarkan jenis dan tahap penyakit. Punca penyakit hanya dapat dipastikan setelah sejarah penyakit, pemeriksaan klinikal dan ujian lanjutan dijalankan. Antara rawatan ketumbuhan di payudara adalah pembedahan, sama ada pembedahan pembuangan seluruh payudara beserta pembedahan kelenjar ketiak (mastectomy with axillary lymph node dissection) atau pembuangan ketulan di payudara sahaja (excision biopsy/wide local excision). Jenis pembedahan adalah tergantung kepada hasil biopsi atau sitologi. Rawatan suslan termasuklah rawatan kemoterapi, radioterapi dan lain=lain.

Saya ada ketulan di payudara. Apa yang harus saya lakukan?

Sebaik sahaja anda mengenalpasti ketulan di payudara, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor yang terdekat supaya langkah-langkah pemeriksaan asas dapat dilakukan. Setelah itu, ujian lanjut akan dilakukan berdasarkan kemungkinan penyakit yang disyaki. Namun demikian, ujian asas seperti ultrasound atau mammografi harus dilakukan dalam kesemua pesakit yang mempunyai ketulan di payudara oleh mereka yang pakar di dalam bidang radiologi.

Dr. Ruhi Fadzlyana adalah seorang pakar bedah yang sedang bekerja di sebuah hospital di Kuala Lumpur dan pensyarah di universiti tempatan.

Rujukan:

  • UpToDate : Clinical manifestations and diagnosis of a palpable breast mass
  • CPG : Management of Breast Cancer (2nd Edition), Ministry of Health Malaysia.

2 comments for “Ketumbuhan di Payudara? – Dr. Ruhi Fadzlyana

  1. Linda
    March 22, 2015 at 10:14 pm

    Assalamualaikum Dr. Saya remaja yang pernah mengalami ketumbuhan di payudara dan telah menjalani pembedahan membuang ketulan tersebut yang mana mungkin di kategori ketumbuhan Fibroadenoma. Setelah lebih lima tahun pembedahan tersebut berlaku, saya merasakan kini telah wujud ketulan yang sama pada bahagian payudara tersebut. Justeru Dr., adakah kemungkinan potensi ketumbuhan Fibroadenoma untuk berlaku sekali lagi boleh terjadi atau saya sedang menghadapi masalah ketumbuhan yang lain? Apakah punca pada ketumbuhan (bukan kanser) ini berlaku?

  2. imah
    April 5, 2015 at 3:05 pm

    saya mengalami ketumbuhan di payu dara sebesar telur ayam 3 mggu lepas. setelah buat pemeriksaan memogram dan ultrasound.. doktor sahkn sebagai cysts. ada cecair dlm ketumbuhan tersebut. doktor yg buat memogram sarankn buang.. tapi doktor di lppkn kata tidak perlu.. hanya follow up check sebulan sekali. tapi 2 hari saya mula rasa kesakitan di payudara yg mana sebelum ni tak sakit. . soalan saya.. perlukn saya buat pembedahan atau biarkn sahaja dahulu? jawaban dari doktor amat saya hargai.. terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box