Kerja Tugas Ringan – Dr Lim Jac Fang

Sumber: compliance.safetysmart.com

Sumber: compliance.safetysmart.com

Banyak kali berlaku, majikan dan pekerja mendapat surat doktor bertulis ‘tugas ringan’ dan kadang kala surat itu ditulis oleh pengamal kesihatan bersekutu; dan ini membuatkan pengurus/penyelia bingung kerana tempoh yang disyorkan tidak jelas, ‘mengikut budi bicara’. Para doktor biasanya membiarkan majikan memutuskan dan menafsirkan perkataan ‘ringan’ dan berapa panjang tempoh ‘tugas ringan’ tersebut. Maka, apakah ertinya? Terdapat banyak tafsiran kepada perkara ini. Ia boleh bermaksud memberi tugasan yang tidak memburukkan lagi keadaan semasa pekerja dan/atau memberi masa pekerja tersebut untuk pulih daripada kecederaan atau sakitnya. Kecederaan atau sakit itu mungkin tidak disebabkan oleh kerjanya. Ia juga boleh membawa erti meringankan/menuruntarafkan kerja yang normal; ia juga boleh bermaksud ‘mengurangkan jumlah kerja yang normal’ (tetapi kerjanya masih berat). Dan juga, ia juga boleh bermaksud memberi kerja yang lain, kerja yang bukan kerja hariannya, disebabkan ketidakupayaannya melakukan kerja hariannya yang rutin. Doktor dan kakitangan kesihatan bersekutu mestilah menerangkan dan, jika boleh, mencitrakan jenis kerja yang paling sesuai kepada majikan dan pekerja, kerana matlamatnya di sini ialah untuk membolehkan pekerja kembali bekerja secepat mungkin, demi kebaikan semua pihak.

Maka, bagaimana yang seharusnya?

Sepertimana yang dijelaskan di atas, tugas ringan biasanya disyorkan bukan sahaja doktor, tetapi kadangkala oleh kakitangan paramedik atau pengamal kesihatan bersekutu. Biasanya ia disyorkan begitu agar pekerja yang cedera/sakit itu boleh pulih secukupnya untuk melakukan tugas-tugas normal. Oleh itu, kakitangan perubatan perlu kefahaman mendalam kepada jenis, tempoh, keamatan dan persekitaran kerja, bekerja rapat dengan majikan dan pekerja, untuk mencari penyelesaian terbaik supaya pekerja sembuh dan boleh bekerja seperti sediakala. Ini membawa kepada perbincangan multi-disiplin. Itulah yang sebaik-baiknya, tetapi kadangkala sukar untuk mendapatkan pakar dalam bidang yang berkaitan. Kerap kali, doktor jugalah yang membuat keputusan selepas berbincang dengan pihak pengurusan dan pekerja. Di mana-mana ketika yang boleh, lebih baik merujuk kepada Doktor Carakerja [Occupational Health Doctor/Physician (OHDP)] kerana merekalah yang lebih terlatih dalam aspek pengurusan hal begini.

Sesetengah pekerja, selepas pulih, hanya memerlukan sedikit pengubahsuaian apabila kembali bekerja. Ada yang tidak perlu langsung. Dan ada yang perlu mengubahsuai demi meneruskan kerja rutin harian mereka yang normal. Kumpulan ini perlu campur tangan ODHP atau kakitangan kesihatan bersekutu yang berkaitan seperti Juruterapi Carakerja untuk membuat ubahan (sekiranya perlu) di tempat kerja untuk memudahkan kerja mereka buat sementara. Untuk kumpulan pekerja yang tidak mampu kembali bekerja seperti sediakala walaupun selepas tempoh rehat dan tugas ringan, mereka perlu set kemahiran yang berlainan sama sekali. Kumpulan ini merupakan cabaran kepada semua pihak yang terlibat mengembalikan mereka ke dunia pekerjaan. Dengan tidak sengaja, kumpulan ini kadangkala diberikan cuti sakit dan tugas ringan berpanjangan, berminggu-minggu, berbulan-bulan malah bertahun-tahun!

Para doktor, kakitangan kesihatan bersekutu, pengurusan malah pihak kesatuan sekerja dan majikan perlu mempunyai program bantuan pekerja; bermesyuarat secara berkala; dalam masa yang sama, pekerja yang bermasalah kesihatan, pengurusan mahupun yang tidak berkaitan kerja perlu diberi bantuan supaya mereka boleh terus bekerja, produktif, dan membuat kerja yang berkualiti berbanding hanya diberi tugas ringan dan lama-kelamaan pekerja tersebut dilabel pekerja ‘kronik’ dan akhirnya melunturkan keyakinan diri serta menjejaskan keupayaanya untuk terus bertugas.

Dr Lim Jac Fang seorang pakar kesihatan carakerja, bertugas di Sabah dan Kolumnis Tetap Malaysian Medical Gazette. Kenali beliau lebih lanjut di laman The Team.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box