Kenyataan Akhbar: Keracunan Makanan di Bazar Ramadhan – KKM

Sumber: www.starproperty.my

Sumber: www.starproperty.my

Kenyataan akhbar ini merujuk kepada laporan di akhbar Harian Metro bertajuk “Juadah Beracun” dan akhbar Berita Harian; “Masuk ICU selepas makan roti john yang disiarkan pada hari ini Jumaat 4 Julai 2014.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin melaporkan sehingga hari ini sebanyak 36 kes telah dikenalpasti mendapat gejala-gejala keracunan makanan akibat memakan Roti John yang dibeli dari Bazar Ramadhan Taman Seri Muda, Shah Alam. Seramai 24 orang masih dirawat di hospital, manakala 12 orang dirawat di klinik pesakit luar. Kesemua kes adalah di dalam keadaan stabil. Tiada kes kematian dilaporkan.

Keputusan awal bagi ujian ke atas lima (5) spesimen klinikal didapati positif Salmonella spp. Manakala ujian ke atas spesimen dari pengendali makanan terbabit serta swab persekitaran masih belum diperolehi keputusannya. Ia dijangka siap dalam tempoh tiga (3) hari.

KKM telah menjalankan langkah-langkah pencegahan dan kawalan bagi membendung wabak ini. KKM dan Pihak Berkuasa Tempatan akan terus bekerjasama dalam memastikan keselamatan makanan di semua Bazar Ramadhan.

KKM menasihati agar masyarakat sentiasa menjadi pembeli yang bijak dan mengutamakan kebersihan, keselamatan dan kualiti makanan yang ingin dibeli. Masyarakat perlu mengambil langkah-langkah untuk mencegah keracunan makanan yang mungkin berpunca daripada premis-premis makanan:

Memilih makanan yang dijual oleh penjual yang mengamalkan kebersihan.

Menegur penjual yang tidak mengamalkan kebersihan.

Melaporkan penjaja/peniaga yang kotor kepada Pejabat Kesihatan/Pihak Berkuasa Tempatan.

Para peniaga makanan di bazaar Ramadhan perlulah sentiasa bertanggunjawab dengan sentiasa mengamalkan kebersihan dalam pengendalian makanan bagi memastikan keselamatan makanan.

Sekian, terima kasih.

YBhg. Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tarikh : 4 Julai 2014

Maklumat tambahan bagi pengendali makanan yang selamat

Di antara tip-tip pengendalian makanan yang selamat ialah:

  1. Sentiasa menjaga kebersihan diri dengan basuh tangan setiap kali sebelum mengendalikan makanan atau dengan secara kerap semasa menyediakan makanan.
  2. Basuh dan bersihkan permukaan dan peralatan untuk penyediaan makanan.
  3. Lindungi kawasan dapur daripada serangga, makhluk perosak dan haiwan lain.
  4. Pisahkan makanan mentah dari makanan yang telah dimasak untuk elakkan pencemaran silang.
  5. Masak makanan atau panaskan makanan secara menyeluruh dengan sempurna
  6. Pastikan suhu makanan selamat, dengan tidak membiarkan makanan yang telah masak di bawah suhu bilik melebihi daripada 4 jam.
  7. Pastikan makanan yang telah dimasak sentiasa panas (lebih daripada 60°C) sebelum dihidangkan.
  8. Jangan simpan makan terlalu lama dalam peti sejuk.
  9. Gunakan air dan bahan mentah yang segar dan selamat
  10. Basuh buah-buahan dan sayur-sayuran terutamanya yang dimakan mentah.
  11. Jangan gunakan makanan selepas tamat tempoh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box