Kencing Manis dan Kaki Bernanah – Dr Ahmad Mahyuddin

Sumber: www.podiatrybrooklyn.com

Sumber: www.podiatrybrooklyn.com

Masalah kaki bernanah atau berulat adalah amat biasa terjadi di kalangan pesakit kencing manis di negara kita. Keadaan ini bertambah kronik lagi dengan kecenderungan masyarakat kita yang lebih suka mencuba rawatan tradisional dan herbal. Ramai yang menjadikan rawatan hospital sebagai ‘last resort’ atau pilihan terakhir mereka.

Anggapan mereka, sekiranya ke hospital, kaki mereka pasti dipotong. Apa yang mereka tidak sedar adalah kelewatan mereka ke hospital itulah yang mengakibatkan doktor tiada pilihan lain. Pada kami, nyawa adalah lebih penting daripada kaki. ‘Life Before Limb’, itulah prinsip kami.

Kebanyakan pesakit pergi ke hospital apabila kaki mereka telah membusuk ke tahap tidak dapat diselamatkan lagi. Malah, ada yang datang dengan ‘Sepsis’ dimana, kuman telah pun merebak ke dalam sistem peredaran darah dan boleh merosakkan organ dalaman pesakit. Sekiranya tempat asal kuman ini tidak dibuang, maka pesakit mungkin tidak dapat diselamatkan walaupun antibiotik diberi.

Pesakit kencing manis mudah mendapat masalah jangkitan ini akibat tiga keadaan pesakit kencing manis iaitu:

  1. Neuropathy – Ia adalah keadaan dimana terdapat kerosakan pada sistem saraf pesakit. Ia boleh dibahagikan lagi kepada tiga iaitu ‘sensory’, ‘motor’ dan ‘autonomic’
  2. Vasculopathy – Vasculopathy pula merujuk kepada keadaan tidak normal pada system salur darah pesakit kencing manis. Sistem peredaran darah pesakit ini biasanya kurang baik akibat tersumbat yang menyebabkan kekurangan bekalan oksigen serta nutrien.
  3. Immunopathy – Immunopathy adalah keadaan di mana pesakit kencing manis ini lebih mudah terdedah kepada jangkitan  kuman akibat kelemahan sistem pertahanan badan merek

 

Kaki pesakit kencing manis ini biasanya kebas. Mereka tidak akan terasa walaupun mereka terpijak paku atau berjalan di atas permukaan yang panas. Saya pernah mendapat pesakit yang melecur kakinya akibat daripada bertungku. Mengalami luka pada kaki adalah perkara pertama yang akan membawa kepada lebih banyak masalah.

Sekiranya anda mempunyai saudara yang mempunyai penyakit kencing manis, nasihatkan mereka untuk segera berjumpa doktor sekiranya kaki mereka terluka. Tisu yang busuk atau dijangkiti kuman perlu dicuci dan tisu yang mati perlu dibuang. Kelewatan rawatan boleh menyebabkan kehilangan kaki, atau lebih teruk lagi, kehilangan nyawa mereka!

Langkah-langkah awal boleh diambil bagi mengelakkan masalah luka ini daripada berlaku. Antara nasihat yang boleh diberikan ialah:

  1. Sentiasa memastikan kaki tidak terlalu kering. Kaki yang kering boleh merekah dan luka. Pesakit boleh menggunakan minyak bayi atau minyak zaitun bagi melembabkan kulit.
  2. Kaki perlu dilap apabila keluar daripada bilik air atau tandas. Kaki yang basah, terutamanya di celah-celah jari, memudahkan jangkitan kulat (fungus)
  3. Pesakit perlu memeriksa stoking dan kasut sebelum memakai mereka bagi memastikan tiada batu, kayu atau benda-benda tajam di dalamnya.
  4. Sentiasa memakai kasut yang sesuai sekiranya berjalan. Elakkan selipar atau sandal yang mendedahkan jari kerana ia lebih mudah terluka.
  5. Sentiasa memeriksa kaki sebelum tidur, dengan menggunakan cermin bagi melihat kawasan-kawasan yang sukar dilihat. Pemeriksaan kaki sendiri ini seeloknya dibuat dua kali sehari.

Pesakit kencing manis yang mempunyai luka atau ulser di kaki mempunyai 15 peratus risiko untuk menghadapi amputasi atau dipotong kaki mereka akibat kaki yang membusuk, bernanah dan mati (gangrene).

 Marilah kita sama-sama menasihati kenalan kita mengenai kepentingan menjaga kaki dan mengawal paras gula dalam darah.  Lebih baik lagi ialah mengelakkan diri dan kenalan kita daripada menghidap kencing manis.

Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Mahyuddin, seorang pakar bedah ortopedik yang bertugas di sebuah hospital di Pahang. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

2 comments for “Kencing Manis dan Kaki Bernanah – Dr Ahmad Mahyuddin

  1. Fuady
    March 30, 2014 at 6:54 pm

    TQ Dr. Ahmad. Artikel yg ringkas & sgt bermanfaat. Bkn hanya kepada pesakit tetapi jg bg penjaga / keluarga pesakit.

  2. November 25, 2014 at 10:09 pm

    Kencing manis amat berbahaya dan boleh terjadi komplikasi pada penyakit. Cegah dan atasi kencing manis segera. Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang. Ingat …kencing manis boleh bawa maut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box