Kenapa Jururawat Melawat Dari Rumah Ke Rumah? – SN Nur Nabiila Masfuzah Abdullah

Jururawat takde kerja ke?

Cuti-cuti ni tak reti berehat?

Mengapa nak kacau orang dengan datang melawat?

Apa relevan Jururawat datang melawat masa anda hamil?

Mengapa datang melawat sewaktu berpantang pula?

Orang nak rehat lah!

——

Jururawat melawat anda semasa hamil bukan sahaja- sahaja nak menjengah aktiviti harian anda di rumah..

Mereka melawat selepas anda melahirkan pula untuk meninjau keadaan anda dan bayi. Sudahlah anda sedang berpantang, anda mesti memerlukan pemerhatian lengkap dari mereka yang terlatih berkaitan keadaan anda bukan?

—-

Bukanlah Jururawat ni mahu menyibuk serta menganggu tugasan anda..

Apatah lagi nak menganggu anda buat kerja. Rasanya Jururawat akan telefon dahulu sebelum datang; bukan main terjah begitu sahaja.

Kecuali jika panggilan tidak dijawab, maka mereka perlu melakukan lawatan bagi memastikan anda masuk ke wad, lebih-lebih lagi kes mereka yang sudah lebih tarikh (post date).

—–

LAWATAN SEMASA ANDA HAMIL

Sumber gambar: facebook.com

Lawatan ke rumah memang wajib dilakukan oleh mereka yg bertugas di klinik kesihatan ataupun klinik desa. Memang ada termaktub dlm skop tugasan mereka bilamana lawatan rumah  wajib dilakukan pada semua ibu mengandung tidak kira di mana ibu tersebut melakukan ‘booking’.

Lawatan rumah wajib dilakukan sekurang-kurang 3 kali pada kes ibu tiada masalah dan sekerap yang mungkin pada ibu hamil yang bermasalah atau berisiko terutama bagi ibu-ibu yang ada kemungkinan atau ada risiko diabetes serta darah tinggi.

(Bergantung kepada prosidur klinik sesebuah kawasan atau jumlah kakitangan yang boleh didapati)

Kali pertama Jururawat datang ke rumah adalah untuk memastikan

persekitaran serta keadaan rumah anda bersesuaian dengan anda yang hamil selain memantau kesihatan ibu.

Yelah, ibu yang hamil seelok-eloknya duduk/berada dalam persekitaran yang bersih serta selamat. Selain itu tujuan lawatan ke rumah juga untuk mengeratkan silatuhrahim antara Jururawat dan Ibu/Keluarga sebab 1 Jururawat kena jaga satu keluarga seperti yang disebut-sebut  ‘personal care’.

Bagi ibu yang kali pertama hamil pula; misi boleh memastikan ibu mengambil ubatan/vitamin yang diberikan dengan betul selain memeriksa ibu-ibu menanda Fetal Kick Chart dengan betul, bukannya ‘chartology’ iaitu, hari ni 8/11 tapi dah chart sampai 12/11.

Amboy, advance sungguh baby beliau!!

Jururawat perlu memberikan perhatian yang lebih kepada ibu-ibu yang hamil ekoran terdapat beberapa kes kelahiran yang bermasalah seperti Prenancy Induced Hypertension; Gestational Diabetes serta  Twin Pregnancy.

Jururawat juga melawat dengan tujuan untuk memastikan ibu-ibu mendapat sokongan moral dari keluarga supaya ibu tidak stress sepanjang kehamilan. TIDAK ada ibu yang stress sepanjang hamil? Bagaimana dengan ibu yang hamil tidak bersuami?

Bukankah mereka juga perlu diberikan sokongan? Di sinilah Jururawat memainkan peranan; selain mengenalpasti sebarang ‘trigger factor’ yang boleh mewujudkan suasana tidak selesa kepada ibu yang hamil itu sendiri.

LAWATAN SELEPAS ANDA MELAHIRKAN

Bagi ibu selepas melahirkan pula, lawatan ke rumah dilakukan mengikut sela masa tertentu iaitu dari hari 1, 2, 3, 4, 5, 6, 8, 10, 15 dan 20 melahirkan. Bagi kes bayi mengalami jaundis pula, lawatan akan dilakukan pada hari pertama kelahiran sehingga hari ke 10. Di sini mereka akan melakukan pemeriksaan seperti;

 

– Tekanan darah

– Suhu badan

– Nadi

– Pemeriksaan payudara (bagi mengesan sebarang jangkitan yang berlaku selain memberi tunjuk ajar tentang perlekapan yang betul bagi menyusukan bayi)

– Lokia (iaitu nifas yang keluar dari segi warna, bau serta kuantiti yang keluar bagi memastikan tidak berlaku sebarang kejadian seperti tumpah darah atau jangkitan kuman pada kemaluan)

– Pemeriksaan tinggi rahim (untuk nenilai tentang penurunan rahim adalah bersesuaian dengan jumlah hari melahirkan)

– Perineum (Bagi melihat kepada jahitan serta luka yang terhasil selepas melahirkan, dibimbangi belum sembuh dan boleh mengakibatkan jangkitan)

 

Sumber gambar: my.theasianparent.com

Dari pemerhatian di atas, mereka boleh menilai kepada sebarang tanda yang memerlukan ibu dirujuk ke hospital dengan kadar segera.

Selain itu, bayi juga dinilai keadaanya. Mereka akan memerhati kepada keadaan jaundis pada bayi. Mereka akan memerhati dari warna kulit serta mata bagi melihat tanda jaundis yang telah merebak. Mereka cukup terlatih dalam menilai keadaan bila waktu seharusnya bayi dibawa ke hospital bagi pemeriksaan darah berkaitan jaundis.

Mereka juga akan menimbang berat bayi,  mengukur tinggi bayi serta mengira lilitan kepala bayi. Mereka akan menilai cara bayi menyusu badan sama ada betul atau tidak bagi membantu bayi merasa kenyang dan ibu merasa selesa.

Ada ibu yang tidak berak dan kencing selepas melahirkan ekoran trauma dengan proses kelahiran, di sinilah fungsi Jururawat bagi memberikan pendidikan kesihatan. Ada ibu yang segan mahu meluahkan perasaan yang mengganggu emosi mereka semasa berada di hospital atau lawatan di klinik. Tetapi dengan kehadiran jururawat ke rumah, sekurang-kurangnya emosi itu boleh diluahkan lalu risiko postpartum blues dapat dikurangkan.

Jururawat yang melawat kerumah juga dapat menilai keadaan berlakunya Deep Vein Thrombosis atau trombosis vena – keadaan apabila berlaku  penggumpalan darah yang terjadi di dalam pembuluh darah yang besar yang terdapat di bahagian paha dan betis. Dibimbangi darah beku ini akan bergerak dalam saluran darah terus ke paru-paru yang boleh mengakibatkan sesak nafas dan kematian.

Kaedah perancangan keluarga juga akan diberitahu terutama bagi kes ibu yang melahirkan secara pembedahan Ceasarean dan ibu yang melahirkan ramai anak dengan jarak yang terlalu dekat. Di sini, ibu-ibu boleh secara langsung bertanya tentang beberapa perkara kepada Jururawat yang datang melawat supaya sebarang keraguan boleh dinyatakan secara verbal.

—–

Sumber gambar: facebook.com

Sebenarnya lawatan ke rumah adalah memudahkan ibu hamil serta ibu yang melahirkan. Keutamaan adalah ibu yang telah melahirkan kerana pemerhatian yang sepenuhnya perlu dilakukan. Tambahan pula dibimbangi dengan keadaan ibu-ibu yang masih kepenatan selepas melalui proses kelahiran enggan hadir ke klinik ekoran keadaan mereka yang tidak membenarkan.

Jangan bimbang ibu-ibu, datang melawat tu pun kerja Jururawat juga. Bukan mereka membuang masa begitu sahaja dengan datang rumah ke rumah tidak kira panas dan hujan. Tidak kira waktu bekerja atau hujung minggu. Itu merupakan tanggungjawab mereka kepada masyarakat dan mereka telah memilih melepaskan tanggungjawab di rumah demi bakti mereka yang tidak seberapa itu.

Jangan gusar, mereka tidak minta setitis air pun untuk menghilangkan dahaga mereka di panas terik atau tuala bagi mengelap basah baju dan tudung sewaktu hujan. Cukuplah sekadar dihargai serta kehadiran mereka diterima. Selagi mereka melihat ibu-ibu sihat dan melalui proses berpantang dengan jayanya tanpa ada apa-apa masalah, itu sudah memberikan rasa syukur di hati mereka.

Notakaki:

Mereka ini ada yang sudah bekeluarga. Tetapi mampu memberikan komitmen mereka kepada anda. Mengapa tidak anda berikan sedikit masa kepada mereka? Percuma sahaja bukan? Melainkan anda warganegara asinglah.

 

Bel Nawhen

Jururawat Dewan Bedah.

#SayaJururawat

#EducatePromoteProtect

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.] 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box