Kanser Payudara: Apa Yang Penting? – Dr. Hidayatul Radziah Ismawi

Sumber: http://motionpr.net/2013/08/knowledge-is-power-what-every-woman-needs-to-know-about-breast-cancer/

Sumber: http://motionpr.net/2013/08/knowledge-is-power-what-every-woman-needs-to-know-about-breast-cancer/

Apabila berbincang mengenai kanser payudara, sudah tentu setiap wanita berasa gerun dan risau, kerana sebagai seorang wanita, kemungkinan untuk mendapat kanser payudara itu adalah satu kenyataan yang perlu dihadapi. Setiap wanita secara semulajadi sudah mempunyai salah satu faktor risiko untuk mendapat kanser payudara. Maka, adalah amat penting bagi setiap wanita mengetepikan perasaan gerun, malu atau risau tersebut dan mempunyai kesedaran terhadap kanser payudara.

Apa itu kanser payudara? Kanser payudara merupakan sejenis penyakit di mana terdapatnya sel-sel kanser (malignant) dalam tisu-tisu payudara. Ia merupakan antara penyebab utama kematian di kalangan wanita seluruh Malaysia. Hampir 3, 500 kes kanser payudara dikesan setiap tahun.

Siapakah yang berisiko mendapat kanser payudara? Wanita mempunyai risiko yang tinggi berbanding lelaki dan terdapat juga faktor-faktor risiko tinggi yang lain seperti peningkatan umur, sejarah keluarga (emak, adik-beradik perempuan, anak perempuan yang menghidap kanser payudara), pernah menghidap kanser payudara sebelum ini atau menghidap ketumbuhan pada payudara yang benigna proliferatif (benign proliferative). Faktor-faktor risiko sederhana termasuklah sejarah haid (datang haid awal & putus haid lewat), sejarah kelahiran (tiada anak atau melahirkan anak pertama pada usia yang lanjut), mengambil estrogen tambahan, menghidap kanser ovari atau rahim dan meminum arak.

Setelah mengetahui faktor-faktor risiko tersebut, setiap wanita juga harus peka terhadap tubuh badan sendiri dan mengesan perubahan-perubahan yang berlaku kepada diri sendiri. Gejala utama yang mungkin dialami oleh pesakit adalah adanya KETUMBUHAN, pengeluaran CECAIR LELEHAN dari puting, dan SAKIT atau ketidakselesaan di sekitar payudara. Sekiranya terdapat mana-mana gejala tersebut, pesakit haruslah berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Kanser payudara tidak hanya tertumpu kepada bahagian payudara malah ia juga merebak ke bahagian limfa melalui saluran darah dan kemudian tersebar ke seluruh badan terutamanya ke bahagian tulang, hati, paru-paru, kelenjar adrenal dan ovary.  Dianggarkan lebih 35% dari kanser payudara mungkin telahpun merebak atau mengalami metastasis sewaktu ia dikesan. Metastasis adalah satu proses di mana sel-sel kanser telah merebak ke bahagian-bahagian lain di seluruh tubuh badan.

Malangnya, ramai di kalangan wanita yang mempunyai gejala-gejala kanser payudara, enggan tampil untuk mendapatkan nasihat doktor. Ada di kalangan mereka yang enggan menerima kenyataan bahawa sesuatu yang serius sedang berlaku dan mereka beranggapan bahawa perkara itu akan hilang dengan sendirinya sekiranya mereka tidak mengendahkannya. Pemikiran begini adalah amat merbahaya dan merugikan pesakit itu sendiri. Sekiranya kanser payudara dikesan pada peringkat awal, kebarangkalian prognosis atau kesudahan yang lebih optimis adalah lebih tinggi berbanding kes kanser payudara yang dikesan pada peringkat lewat.

Bagaimanakah para wanita boleh meningkatkan kesedaran masing-masing terhadap penyakit ini? Dengan sentiasa peka terhadap gejala-gejala kanser payudara dan melakukan beberapa kaedah saringan yang mudah. Setiap wanita seharusnya mengetahui cara-cara untuk melakukan pemeriksaan payudara sendiri (PSP). Pemeriksaan ini sungguh mudah dilakukan dan harus dilakukan sekali sebulan beberapa hari setelah darah haid berhenti. Pemeriksaan payudara juga boleh dilakukan oleh kakitangan kesihatan sewaktu pemeriksaan kesihatan. Bagi wanita yang berumur 40 tahun ke atas, ujian saringan mammogram juga harus dijalankan. Ujian mammogram dapat mengesan perubahan pada tisu payudara yang mungkin terlalu kecil untuk dikesan secara pemeriksaan fizikal sahaja. Sekiranya perlu, doktor akan melakukan pemeriksaan lanjutan seperti mengambil biopsi atau sampel tisu payudara.

Naluri kita sebagai wanita adalah untuk menyayangi, mengasihi dan menjaga orang lain seperti ibu bapa, suami dan anak-anak kita. Sudah tiba masanya untuk kita menyayangi diri sendiri. Kanser payudara. Apa yang penting? KESEDARAN.

Untuk maklumat lanjut mengenai kanser payudara, sila lawat laman sesawang:

Dr. Hidayatul Radziah Ismawi seorang pensyarah perubatan di IPTA. 

Rujukan

[Artikel ini kepunyaan The Malaysian Medical Gazette. Sebarang pencentakan semula (samada di atas talian atau di luar talian) tanpa keizinan bertulis daripada pihak The Malaysian Medical Gazette tidak dibenarkan.]

16 comments for “Kanser Payudara: Apa Yang Penting? – Dr. Hidayatul Radziah Ismawi

  1. ika
    December 27, 2013 at 2:45 pm

    doc.saya baru berusia 20 tahun dan sejak kecil lagi puting payu dara saya tak keluar dan sekitar pada tempat puting kadang-kadang bernanah. saya tak tahu apa yang sepatutunya saya lakukan?

    • Hidayah
      December 31, 2013 at 3:15 pm

      Saya cadangkan Cik Ika berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut. Pastikan Cik Ika memberitahu segala simptom atau gejala yang dialami secara terperinci dengan doktor supaya beliau dapat mengenal pasti punca keadaan tersebut dan dapat memberi rawatan yang sewajarnya.

  2. ina
    April 29, 2014 at 10:33 am

    Salam,saya nak tanya tapak payudara (bukan puting) saya ada bonjolan kecil bila saya picit rasa sakit dan mengeluarkan nanah .saya juga dapati payudara sy besar sedikit dari yg sebelah lagi.adakah itu tanda kanser payudara

  3. amy
    September 17, 2014 at 10:19 am

    Salam….sya ibu kepala anak 1..selepas melahirkan sya hanya menyusuhkan bayi sya selama seminggu ..kini anak sya telah berumur 2 tahun dan payu darah sya mengeluarkan cecair seperti minyak jenih dan kekuningan apakah sebab2 sya tidak menyusuhkan anak sya sebelum ini menjadikan payu darah sya mengeluarkan cecair seperti itu..

    • Hidayah
      September 17, 2014 at 10:34 am

      W’salam puan. Lelehan dari putting boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Saya sarankan puan berjumpa dengan doktor puan. Sila beritahu doktor tentang simptom ini dan juga apa-apa simptom berkaitan seperti sama ada ada rasa sakit atau perubahan pada kulit payu dara. Beliau akan membuat pemeriksaan yang selanjutnya.

  4. syahira
    November 28, 2014 at 10:37 am

    Umur saya 15 tahun. Di bahagian ketiak saya ada ketukan berukur lebih kurang 2 cm. Adakah itu tanda2 kanser?

    • syahira
      November 28, 2014 at 10:38 am

      Maksud saya *ketulan

    • Hidayah
      November 28, 2014 at 10:40 am

      Tidak semestinya. Saya cadangkan cik Syahira berjumpa dengan mana-mana doktor untuk pemeriksaan sekiranya risau atau ketulan itu membesar/sakit.

  5. effa
    January 16, 2015 at 2:35 pm

    Salam doktor. Saya nak tanya 2 soalan. Kalau saya buat medical check-up paru-paru:
    1. adakah doktor boleh mengesan ketulan yang terdapat di payudara?
    2. adakah ketulan yang terdapat di payudara akan terlihat di imbasan / keputusan selepas x-ray paru-paru?

    Terima kasih.

    • Hidayah
      January 16, 2015 at 2:46 pm

      W’salam.

      1. Ketulan yang ketara akan dapat dikesan melalui pemeriksaan fizikal payudara tetapi tidak semua ketulan dapat dikesan dengan hanya pemeriksaan fizikal ini.
      2. X-ray paru-paru tidak dapat mengesan ketulan payudara (kecuali yang ada calcification). Ujian mamogram atau ultrasound (bergantung kepada umur pesakit) payudara lebih sesuai.

  6. Keena
    March 6, 2015 at 2:42 pm

    Saya nak tanya, sekiranya saiz dada membesar dan warna kulit di kawasan itu merah dan licin, adakah itu merupakan tanda penyakit kanser payudara?

    • Hidayah
      March 9, 2015 at 10:43 am

      Saya sarankan cik sakinah supaya berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjutan.

  7. sha
    April 6, 2015 at 10:24 pm

    salam doc. Sy berumur 20-an dan sejak hampir 2 minggu kebelakangan ini sy rasa berdenyut2 di sekitar payudara dan puting sebelah kiri dan kadangkala terasa lenguh di sekitar bahu dan lengan. Adakah ini juga tanda2 kanser?

    • Hidayah
      April 13, 2015 at 7:19 am

      W’salam. Tidak semestinya. Walau bagaimanapun, saya sarankan saudari berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut sekiranya mempunyai sebarang kerisauan.

  8. dhia
    April 23, 2015 at 12:15 am

    Assalamualaikum doc . Saya nk tanya , jika payudara mngalami ketumbuhan sepanjang lebih kurang 2 cm di sekitar puting payudara dan telah mngecut dan membentuk seakan akan kudis adakah ia tanda kanser ? Dan saya perasan kadang2 bahagian payudara yg membentuk seperti kudis itu seakan rasa menegang dan puting payudara akan berkedut2 sedangkan payudara sebelah kiri tiada apa2 dan biasa je .saya baru berusia 18 dan saya sangat risau . Terima kasih .

    • Hidayah
      April 24, 2015 at 11:26 am

      W’salam. Saya sarankan cik berjumpa dengan doktor berdekatan untuk pemeriksaan lanjut. Ia mungkin juga jangkitan. Tetapi perlu pemeriksaan lanjut untuk kepastian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box