“Doktor, Ubat Saya Macam Mana Masa Puasa Ramadhan?” – Dr. Mohd Shaiful Ehsan

Sumber: expertbeacon.com

Sumber: expertbeacon.com

Itu adalah antara persoalan yang sering dikeutarakan oleh pesakit-pesakit Muslim yang sudah sekian lama mengambil ubat mereka, terutama bagi penyakit kencing manis dan darah tinggi. Namun, tidak kurangjuga ada di antara mereka yang tidak mahu bertanya. Mereka sendiri mengatur pemakanan ubat mereka ataupun mengharapkan pegawai farmasi memberitahu mereka ketika mengambil ubat di kaunter farmasi.

Berpuasa di bulan Ramadhan adalah kewajiban bagi semua orang Islam bagi mereka yang berkemampuan, tidak terkecuali bagi mereka yang mempunyai penyakit-penyakit kronik selagi tidak memudaratkan kesihatan mereka. Sebahagian daripada aktiviti berpuasa termasuklah mencegah diri dari makan dan minum dari waktu terbitnya fajar hingga terbenamnya matahari, iaitu sekitar 5.30 pagi sehingga 7.30 malam jika di semenanjung Malaysia. Ini termasuklah mencegah dari mengambil ubat pil ke dalam mulut mereka di dalam tempoh tersebut. Justeru, jadual pemakanan dan perubahan dos yang terbaru perlu diberitahu oleh para pegawai perubatan mahupun pegawai farmasi dalam lawatan pesakit terakhir di klinik-klinik kesihatan mahupun hospital sebelum memasuki bulan Ramadhan. Artikel ini diharap dapat memberi pemahaman kepada semua pesakit yang akan berpuasa.

Para pesakit yang berpuasa perlulah mendisiplinkan diri dalam mengamalkan rutin bersahur (sebelum berpuasa), berbuka ringan (ketika masuk waktu berbuka), berbuka sederhana (malam selepas usai solat maghrib) dan makan menu ringan sebelum tidur. Ini kerana ada di antara ubat yang perlu diambil sebelum makan (untuk mengelakkan interaksi ubat terhadap makanan yang akan diambil), selepas makan (untuk megelakkan gejala perut tidak selesa atau keradangan) atau perlu diambil ketika makan (membantu penyerapan ubat yang lebih berkesan). Ubat-ubat yang menyebabkan kesan kerap kencing seperti ubat ‘frusemide’ perlulah diambil ketika bersahur untuk megelakkan gangguan tidur jika diambil pada waktu malam atau berbuka.

Untuk pengambilan ubat pil, perubahan masa pengambilannya bergantung kepada kekerapan pengambilan ubat tersebut dalam sehari. Untuk pengambilan ubat sekali sehari sebelum makan, pesakit boleh mengambil sekali sehari iaitu sekitar 20 hingga 30 minit sebelum sahur. Pengambilan ini adalah lebih baik bagi pesakit yang sudah terbiasa mengambil pemakanan ubat di waktu pagi terutama bagi pesakit darah tinggi bagi mengekalkan kestabilan bacaan darah tinggi ketika waktu sibuk bekerja pada waktu siang. Tambahan pula, masa yang perlu ditunggu pesakit sebelum bersahur selepas makan ubat tersebut, iaitu sekitar 20 minit boleh digunakan untuk memasak atau menyediakan hidangan sahur dan beribadah ringan seperti tahajjud dan membaca Al-quran. Cara lain yang boleh diamalkan adalah seperti mengambil ubat selepas berbuka puasa ringan yang sedikit seperti memakan buah kurma. Pesakit kemudian perlu menunggu sekitar 20 hingga 30 minit juga sebelum makan makanan yang sederhana. Dua puluh minit masa menunggu itu sebenarnya boleh digunakan untuk menyegerakan solat maghrib, membersihkan diri atau menyediakan makanan.

Untuk pengambilan ubat sekali sehari selepas makan pula, amat mudah jika pesakit mengambil ubat tersebut sejurus selepas bersahur pada awal pagi (sebelum tamat tempoh sahur) atau selepas berbuka pada malam hari. Ianya bergantung kepada kebiasaan pesakit sebelum ini samada menjadi kebiasaan mengambil pada waktu pagi atau petang.

Berkenaan dengan pengambilan ubat dua kali sehari selepas makan pula (iaitu kebiasaanya mengambil ubat pada awal pagi dan lewat petang), pesakit perlu mengambil ubat sejurus selepas bersahur untuk pengambilan ubat pada waktu pagi dan mengambil ubat selepas berbuka untuk pengambilan ubat pada waktu malam. Pastikan pesakit ada membawa ubat di dalam beg sekiranya berbuka puasa di luar rumah atau bersama rakan di pejabat.

Untuk pengambilan ubat dua kali sebelum makan (iaitu kebiasaanya mengambil ubat awal pagi dan lewat petang), pesakit perlulah mengambil ubat tersebut sekitar 20 minit sebelum bersahur (untuk awal pagi) dan mengambil ubat selepas berbuka ringan dengan kurma dan memastikan jarak sekitar 20 hingga 30 minit sebelum berbuka makanan utama. Masa 20 minit menunggu tersebut boleh digunakan untuk aktivit-aktiviti yang lain seperti yang telah dinyatakan di atas.

Berkenaan dengan pengambilan ubat tiga kali sehari selepas makan pula, pesakit perlulah mengambil ubat tersebut selepas berbuka pada waktu malam dan juga selepas bersahur di awal pagi sebelum tamat tempoh sahur. Namun, untuk menggantikan satu lagi waktu pengambilan ubat, ianya boleh diambil pada lewat malam iaitu sebelum tidur selepas mengambil snek atau makanan ringan. Dengan itu cukuplah tiga kali pengambilan ubat sehari selepas makan.

Untuk pengambilan ubat tiga kali sehari sebelum makan pula, pesakit perlulah mengambil ubat tersebut sekitar 20 minit sebelum bersahur (untuk awal pagi) dan mengambil ubat selepas berbuka ringan dengan kurma dan memastikan jarak sekitar 20 hingga 30 minit sebelum berbuka makanan utama (sama seperti pengambilan ubat dua kali sebelum makan seperti di atas). Namun, untuk menggantikan satu lagi waktu pengambilan ubat, ianya perlulah diambil pada lewat malam iaitu sebelum tidur tanpa didahului oleh apa-apa makanan dalam tempoh 30minit.

Secara kesuluruhannya tiada perubahan dos yang perlu dilakukan untuk pengambilan ubat-ubat pil.

Pengambilan ubat biasa Pengambilan ubat di waktu Ramadhan
Sekali sehari sebelum makan Sekitar 20 hingga 30 minit sebelum sahur

ATAU

Mengambil ubat selepas berbuka puasa ringan (seperti kurma) dan menunggu sekitar 20 hingga 30 minit sebelum makan makanan utama

Sekali sehari selepas makan Mengambil ubat tersebut sejurus selepas bersahur

ATAU

Selepas berbuka puasa di malam hari

Dua kali sehari selepas makan Mengambil ubat sejurus selepas bersahur

DAN

Mengambil ubat selepas berbuka puasa

Dua kali sebelum makan Mengambil ubat sekitar 20 minit sebelum bersahur

DAN

Mengambil ubat selepas berbuka ringan (seperti kurma) dan memastikan jarak masa sekitar 20 hingga 30 minit sebelum berbuka makanan utama

Tiga kali sehari selepas makan Mengambil ubat selepas berbuka pada waktu malam

DAN

selepas bersahur di awal pagi

DAN

pada lewat malam iaitu sebelum tidur (selepas mengambil snek atau makanan ringan)

Tiga kali sehari sebelum makan Mengambil ubat sekitar 20 minit sebelum bersahur (untuk awal pagi)

DAN

Mengambil ubat selepas berbuka ringan dengan kurma dan memastikan jarak masa sekitar 20 hingga 30 minit sebelum berbuka makanan utama

DAN

pada lewat malam iaitu sebelum tidur tanpa didahului oleh apa-apa makanan dalam tempoh 30 minit

Selain pengambilan ubat-ubat pil, perubahan penting yang perlu dititik-beratkan juga adalah termasuk pengambilan ubat insulin bagi mereka yang menghidap penyakit kencing manis. Antara jenis insulin yang diambil oleh pesakit kencing manis termasuklah:

  • pengambilan insulin pada waktu sebelum tidur sahaja atau dikenali sebagai basal insulin seperti Humulin N atau Insulatard
  • pengambilan insulin bolus atau sebelum makan seperti Humulin R atau Actrapid
  • pengambilan insulin tindakan campuran atau premixed seperti Humulin 30/70 atau Mixtard
  • ada juga yang mengambil kombinasi insulin bolus dan basal.

Bagi pesakit yang mengambil insulin basal, tiada perubahan waktu suntikan atau perubahan dos yang perlu dilakukan. Namun yang pasti suntikan insulin tersebut perlulah dilakukan sebelum waktu tidur mahupun selepas berbuka puasa utama. Walaubagaimanapun, dos insulin tersebut boleh dikurangkan mengikut keadaan pesakit jika pesakit mengalami gejala kurang gula pada waktu siangnya.

Untuk pesakit yang perlu mengambil insulin bolus iaitu sebelum makan, mereka selalunya akan perlu mengambil tiga kali sehari. Perubahan yang perlu dilakukan adalah mereka perlu menyuntik dos yang sepatutnya pada sebelah pagi atau tengah hari kepada waktu sebelum bersahur, dan menyuntik dos pada waktu malam ketika sejurus sebelum berbuka. Suntikan yang selalunya diberi pada waktu tengah hari pula perlulah diabaikan kerana berpuasa. Jumlah dos atau unit insulin yang diberikan sebelum sahur boleh dikurangkan sekiranya pesakit mengalami gejala kekurangan gula pada siang hari. Jumlah dos atau unit suntikan pada waktu berbuka puasa juga boleh ditambah mengikut kesesuaian sekiranya pesakit cenderung mengambil jumlah makanan yang banyak pada waktu malam. Untuk suntikan insulin bolus dua kali sehari pula, dos suntikan yang lebih tinggi diberi hendaklah sebelum berbuka menu utama manakala dos suntikan yang lebih rendah diberikan sebelum bersahur.Sekiranya pesakit sebelum ini hanya mengambil satu kali suntikan insulin bolus sahaja (peringkat awal pengenalan insulin bolus kepada pesakit selepas penggunaan mengoptimumkan insulin basal), bolehlah memberi suntikan tersebut pada waktu makanan yang banyak iaitu ketika berbuka puasa.

Untuk suntikan insulin tindakan campuran (humulin 30/70 atau mixtard), ianya bergantung pada kekerapan suntikan insulin tersebut. Jika suntikan cuma sekali sehari, suntikan boleh diberi pada waktu berbuka puasa tanpa perubahan dos. Jika suntikan dua kali sehari, jumlah dos suntikan pada waktu siang hendaklah diberikan pada waktu malam iaitu ketika berbuka. Manakala jumlah dos suntikan pada waktu malam hendaklah dibawa kepada waktu sahur. Jumlah dos suntikan pada waktu sahur juga perlu dikurangkan kepada 20% hingga 50% daripada dos asal untuk mengelakkan gejala kurang gula pada waktu berpuasa pada siang hari. Ini adalah kerana telah menjadi kebiasaan mengambil makanan yang bersaiz lebih kecil berbanding ketika berbuka puasa.

Jenis Suntikan Insulin Cadangan Suntikan Ketika Berpuasa

 

INSULIN BASAL Tiada perubahan waktu atau dos suntikan

Suntikan perlulah sebelum waktu tidur mahupun selepas berbuka puasa utama

Dos suntikan boleh dikurangkan jika ada gejala kurang gula pada waktu siang

 

INSULIN BOLUS

( 3 kali sehari suntikan)

Dos suntikan yang sepatutnya pada sebelah pagi atau tengah hari ditukar kepada waktu sebelum bersahur.

Dos suntikan yangsepatutnya pada waktu malam ditukar kepada waktu sejurus sebelum berbuka menu utama.

Tiada suntikan pada waktu tengahhari

 

Dos suntikan boleh dikurangkan (sekiranya ada gejala kurang gula) atau ditambah mengikut keperluan (saiz makanan bertambah)

 

INSULIN BOLUS

(2 kali sehari suntikan)

Dos suntikan yang lebih tinggi diberi sebelum berbuka menu utama

Dos suntikan yang lebih rendah diberi sebelum bersahur

Dos suntikan boleh dikurangkan (sekiranya ada gejala kurang gula) atau ditambah mengikut keperluan (saiz makanan bertambah)

 

INSULIN BOLUS

(Sekali sehari suntikan)

Suntikan boleh diberikan sebelum pengambilan makanan yang lebih banyak (kebiasaannya berbuka menu utama)

 

Dos suntikan boleh dikurangkan (sekiranya ada gejala kurang gula) atau ditambah mengikut keperluan (saiz makanan bertambah)

 

INSULIN CAMPURAN

(Sekali sehari suntikan)

Suntikan boleh diberi pada waktu berbuka puasa tanpa perubahan dos

 

INSULIN CAMPURAN

(Dua kali sehari suntikan)

 

Dos suntikan pada waktu siang hendaklah diberikan pada waktu malam iaitu ketika berbuka. Dos suntikan pada waktu malam hendaklah dibawa kepada waktu sahur.

 

Jumlah dos suntikan pada waktu sahur juga perlu dikurangkan kepada 20% hingga 50% daripada dos asal untuk mengelakkan gejala kurang gula pada siang hari

Secara kesuluruhannya, berpuasa tidak mengekang seseorang pesakit daripada mengambil ubat yang diperlukan. Masa yang fleksibel boleh diatur mengikut rutin sahur dan berbuka puasa dalam bulan Ramadhan. Namun, tidak dinafikan, seseorang pesakit itu perlulah mendisiplinkan diri dalam mengamalkan sahur setiap hari ketika berpuasa dalam bulan Ramadhan dan sebaik-baiknya melewatkan masa sahur seunjuran dengan saranan Islam dan keperluan menyamaratakan pemakanan ubat. Jumlah insulin yang disuntik juga boleh ditukar mengikut keperluan dan risiko kurang gula. Selamat berpuasa semua!

Dr. Shaiful Ehsan sedang melanjutkan pelajaran beliau untuk menjadi seorang Pakar Perubatan Keluarga dan kini merupakan seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Rujukan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box