Budaya Kerja Positif Hospital di Melbourne – Dr. Faiz Rashdi

Sumber: www.nationalhealthexecutive.com

Sumber: www.nationalhealthexecutive.com

United Kingdom. Ireland. Australia. Mesir. India. Indonesia. Berikut adalah sebahagian daripada tempat belajar yang ditawarkan oleh pihak kerajaan untuk meneruskan pengajian dalam bidang perubatan. Universiti awam dan swasta juga ada menyediakan kos perubatan yang tidak kurang hebatnya, namun salah satu kelebihan belajar di luar negara adalah ia dapat membuka minda para pelajar dan membawa balik ilmu, budaya, mentaliti dan kemahiran baru yang dapat meningkatkan prestasi kerja di Malaysia.
 
Selama 3 tahun saya membuat praktikal di hospital sekitar Melbourne (Australia), banyak mentaliti dan budaya kerja yang menarik perhatian saya. Ada di antaranya telah pun dipraktikkan di Malaysia, namun masih banyak yang boleh kita pelajari dan amalkan daripada budaya mereka.
 
Antara budaya kerja mereka:
 
Penggunaan bahasa yang sopan di kalangan rakan sekerja

Komunikasi yang baik merupakan salah satu aspek penting dalam melakukan kerja. Penggunaan bahasa yang salah boleh menyebabkan ketidakpuasan hati terhadap mana-mana individu. Apa yang saya perhatikan di dalam hospital, apabila doktor memerlukan bantuan daripada jururawat, mereka menggunakan nada meminta tolong dan bukannya memberi arahan walaupun pangkatnya lebih tinggi. Contohnya apabila ingin meminta jururawat mengambil suhu badan, mereka akan berkata “Tolong ambilkan suhu” ataupun “Boleh tolong ambilkan suhu?” berbanding dengan “Ambil suhu pesakit ni”. Gaya bahasa seperti ini bukan hanya digunakan di antara doktor-jururawat sahaja malah di pelbagai peringkat, tidak kira pangkat. Dengan penggunaan nada yang lembut dan sopan, orang lain akan mudah untuk memberi kerjasama dengan tiada perasaan kecil hati dan sebagainya.

Menghormati privasi pesakit

Isu privasi pesakit sangat ditekankan oleh pihak universiti. Hal ini kerana privasi pesakit amat mudah untuk diabaikan terutamanya apabila kita mengejar masa melakukan sesuatu kerja. Semasa ‘ward round, perkara pertama yg mereka lakukan ialah memberi salam atau menyapa pesakit, memperkenalkan diri dan kemudian, mereka akan menutup tirai untuk menjaga privasi pesakit. Walaupun tirai bukanlah kalis bunyi, namun ia sedikit sebanyak dapat membantu pesakit untuk mengurangkan rasa segan kepada pesakit lain. Ini juga dapat memudahkan pesakit untuk memberitahu maklumat yang lebih sulit berkaitan dengan penyakit mereka. Dengan cara sebegini, mereka akan merasa lebih yakin bahawa doktor tersebut mampu menjaga privasi dan rahsia mereka.

Jaga imej rakan sekerja

Selama berada di Australia, belum pernah saya lihat doktor ditegur apatah lagi dimarah mahupun diherdik secara terang-terangan di hadapan pesakit ataupun kakitangan lain. Kebiasaannya, mereka akan ditegur dengan cara yang baik, lembut, dan bukan di khalayak ramai. Mereka akan cuba sedaya upaya untuk memberi teguran yang positif untuk menjaga imej dan kewibaan rakan sekerja mereka. Berbanding dengan keadaan di Malaysia, seringkali kita lihat junior doktor ditegur dan dimarah di hadapan pesakit dan kakitangan lain secara terbuka. Perkara ini sudah dianggap satu norma di hospital walaupun dari segi adabnya, kita tahu ia tidak betul. Sedangkan Nabi Musa a.s. diarahkan untuk menegur firaun yang kejam dengan lemah lembut, apatah lagi kita sesama rakan sekerja [Quran 20:44].   

Hormat waktu bekerja kakitangan lain

Seperti kebanyakan hospital, sistem waktu bekerja di Melbourne adalah mengikut syif. Perkara yang paling saya kagum adalah apabila waktu syif bertukar, doktor-doktor yang akan memulakan syif mereka akan meminta doktor yang bekerja syif sebelumnya untuk pulang walaupun kerjanya masih belum selesai. Jika masih banyak kerja yang perlu dilakukan, mereka akan menawarkan bantuan supaya kerja disiapkan dengan pantas dan doktor syif sebelumnya dapat pulang ke rumah secepat mungkin. Budaya mereka amat mementingkan keseimbangan hidup dan bekerja. Apabila waktu bekerja, mereka akan berkerja bersungguh-sungguh dan apabila tiba waktu rehat, mereka akan rehat secukupnya. 

Glossari
Ward round – Waktu sekumpulan doktor memeriksa semua pesakit di dalam wad

Dr. Faiz adalah seorang pegawai perubatan siswazah (house officer) yang bekerja di Negeri Sembilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box