Bercerai susu? Adakah sukar? – Dr Nurjasmine Aida Jamani

‘Lily buntu. Dia tidak pasti apa lagi mahu dilakukan untuk mengelak Adam, anaknya yang berusia 3 tahun yang masih mahu menyusu badan. Bermacam-macam cara dan petua yang dicuba namun gagal. Dilumurnya asam jawa, diletaknya jadam pada payudara dan dilumur gincu bagi menimbulkan rasa gerun seolah-olah puting payudaranya luka. Namun, hampa. Adam masih mencarinya untuk menyusu susu ibu walaupun seketika.  Keadaan ini meletakkan Lily dalam dilemma.

 

Apakah  yang harus dilakukan oleh Lily bagi mengatasi masalah ini?’

Photo by Singkham from Pexels

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyarankan agar bayi disusukan secara eksklusif dengan susu ibu selama 6 bulan dan memberi makanan pelengkap ketika berusia 6 bulan serta meneruskan penyusuan susu ibu sehingga bayi berusia 2 tahun. Bercerai susu merupakan satu proses yang kadangkala boleh menganggu emosi si ibu dan si kecil. Ia didefinisikan sebagai menghentikan penyusuan susu ibu dengan menggantikannya dengan makanan atau gantian daripada sumber lain secara beransur-ansur.  Adakalanya bayi atau si kecil bersedia lebih awal untuk bercerai susu  ketika ibu belum bersedia. Sekiranya ibu ingin bercerai susu ketika si kecil belum bersedia, ia mungkin menyebabkan emosi si anak sedikit terganggu akibat transisi ini dan mungkin meletakkan ibu dalam keadaan ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’.

Bilakah waktu sesuai untuk bercerai susu?

Bercerai susu mungkin dimulakan oleh ibu, anak atau disepakati bersama. Sekiranya keputusan bercerai susu disepakati antara ibu dan si kecil, transisi emosi yang berlaku akan menjadi lebih mudah. Kebanyakan kanak-kanak bercerai susu secara semulajadi atau secara sendiri di antara umur 2 tahun ke  4 tahun. Amat jarang  bayi yang berumur 1 tahun ke bawah bercerai susu. Tempoh masa seseorang bayi atau kanak-kanak bercerai susu adalah berlainan antara satu sama lain; ada yang mencapai cerai susu dengan cepat dan ada yang mengambil masa.

 

Sebab-sebab bercerai susu

Antara sebab-sebab ibu dan si kecil bercerai susu adalah:

  • Sudah tiba masanya untuk bercerai susu
  • Bayi tidak lagi berminat menyusu badan
  • Ibu mahukan kebebasan dari rutin penyusuan
  • Tekanan daripada orang sekeliling
  • Ibu bersedia untuk menambah ahli keluarga atau hamil lagi
  • Masalah kesihatan yang dialami ibu atau anak

Bagaimanakah cara untuk bercerai susu?

Proses bercerai susu boleh menjadi sesuatu yang menyedihkan buat si ibu dan ini juga sukar bagi si kecil lebih-lebih lagi jika dilakukan secara tergesa-gesa dan tiba-tiba. Bercerai susu menandakan seolah-olah tamatnya hubungan akrab  dan istimewa yang terjalin sejak  bayi dilahirkan. Seeloknya proses bercerai susu ini dilakukan secara berperingkat-peringkat mengikut kesediaan ibu dan anak. Jika dilakukan secara berperingkat-peringkat, ia boleh menjadikan satu proses yang sukar menjadi mudah dan positif.

Bercerai susu yang dilakukan secara berperingkat membolehkan ibu mengelak keadaan payudara yang penuh dan sakit serta mengurangkan risiko mendapat jangkitan mastitis.  Seseorang ibu dapat mengurangkan penghasilan susu ibu dengan mengurangkan kekerapan menyusu dan mengepam keluar sedikit susu sekiranya ibu berasa tidak selesa ketika payudara penuh. Bercerai susu secara beransur-ansur ini juga memberi masa kepada si kecil untuk menyesuaikan diri dengan gantian susu yang diberikan ibunya dan berasa selesa dengan proses bercerai susu.

 

Adakah petua-petua yang dapat mempercepatkan proses bercerai susu?

Petua atau kaedah yang digunapakai suatu ketika dahulu seperti meletakkan asam jawa, jadam dan sebagainya bagi mengelakkan si anak menyusu adalah tidak digalakkan. Ini adalah kerana ia boleh menyebabkan kesan psikologi pada si anak tersebut. Pemberhetian penyusuan secara tiba-tiba boleh memberi kesan kepada anak seperti ibu tidak lagi memerlukan dirinya atau merasakan dirinya yang menjadi punca kepada  kesakitan pada si ibu lalu menjadikan anak menyalahkan dirinya.

 

Apakah langkah-langkah untuk bercerai susu?

Photo by kelvin octa from Pexels

Berikut adalah langkah-langkah atau saranan bagi bercerai susu. Para ibu boleh bereksperimen dengan setiap langkah yang diutarakan sehingga berjaya kerana proses bercerai susu setiap anak  adalah berbeza. Elak menawarkan susu ibu sekiranya anak tidak meminta untuk disusukan atau sebagai kaedah untuk memujuk anak. Sekiranya anak meminta, barulah disusukan.

  1. Menawarkan secara kerap makanan, snek dan minuman.Ini dapat mengurangkan rasa lapar dan dahaga si kecil dan seterusnya mengelakkan anak menyusu akibat bosan atau tiada aktiviti yang hendak dilakukan.
  2. Mengubah rutin harian penyusuan.Ini bermaksud ibu mengubah rutin harian contoh seperti sekiranya ibu duduk di sofa khas, anak akan terus menyusu, maka disarankan agar ibu mengurangkan duduk di sofa khas agar anak tidak teringat untuk menyusu.
  3. Melibatkan bapa untuk membantu. Sekiranya si anak sering menyusu dengan ibu setiap kali bangun tidur di waktu pagi, minta pasangan anda untuk mengalih perhatiaannya dengan membuat sarapan dan mengajak bersarapan bersama.
  4. Menggunakan kaedah ‘tangguh’. Ini bermakna sekiranya si kecil meminta untuk disusukan, alihkan perhatian dengan mengajaknya melakukan aktiviti disukai seperti mewarna atau keluar berjalan-jalan ke tempat yang digemari.
  5. Memendekkan tempoh sesi penyusuan.Kaedah ini sesuai untuk anak yang berusia 2 tahun ke atas di mana jika si kecil menyusu selama 30 minit, maka tempoh tersebut dikurangkan secara beransur-ansur.
  6. Ibu juga boleh memberi penerangan secara baikkenapa si kecil perlu berhenti menyusu bagi kanak-kanak yang sudah boleh memahami sebab dan akibat.

Sekiranya langkah-langkah diatas belum berjaya membuatkan si kecil anda bercerai susu, maka anda harus lebih fleksibel dan memahami kemungkinan bahawa si kecil anda belum bersedia untuk bercerai susu. Bercerai susu secara tiba-tiba adalah tidak digalakkan sama sekali kerana ia boleh menyebabkan masalah kepada ibu dan anak. Antara masalah yang ibu boleh hadapi adalah saluran duktus yang tersumbat, payudara menjadi penuh dan sakit serta jangkitan mastitis. Si kecil pula akan berasa diri mereka tidak disayangi lagi dan mungkin boleh menyebabkan perubahan sikap pada si kecil.

 

Perubahan pada ibu setelah bercerai susu

Setelah berjaya bercerai susu, sesetengah ibu akan berasa ‘kehilangan’ dan ‘kosong’. Ini menyebabkan ibu mudah berasa sedih. Namun perasaan ini adalah sementara dan tidak perlu dibimbangi.

Selain itu, ibu juga akan mendapati saiz payudara menjadi lebih kecil daripada ketika menyusukan bayi dan mendapati susu badan mereka mula berkurangan. Adakalanya ibu masih mendapati titisan susu pada payudara mereka apabila dipicit. Keadaan ini boleh berlarutan sehingga beberapa bulan selepas bercerai susu. Di samping itu juga, ibu akan didatangi haid sekiranya belum didatangi ketika tempoh penyusuan.

Bercerai susu merupakan proses yang bukanlah sukar untuk dilakukan. Ia harus dilakukan dengan tidak terburu-buru di mana kedua-dua ibu dan anak dalam keadaan  bersedia.

Rujukan:

  1. Enger L. (2019, February 21) Patient education: Weaning from breastfeeding (beyond basics). Retrieved from https://www.uptodate.com/contents/weaning-from-breastfeeding-beyond-the-basics
  1. Mohrbacher N. 2010. Weaning from the breast in Breastfeeding answers made simple: A guide for helping mothers. (178-194). Amarillo TX: Hale Publishing.

Artikel ini ditulis oleh Dr Nurjasmine Aida Jamani

Pakar Perubatan Keluarga/ Perunding Laktasi/ Pensyarah Peubatan IIUM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box