Bagaimana Pakar ENT Membaiki Hidung Patah? – Dr Ahmad Nordin

Pernahkah anda sedang seronok bermain bolasepak, sehinggalah rakan anda menyiku anda dan anda jatuh dan berdarah hidung? Kita biasa mendengar pemandu membawa kereta dengan laju & menerima hentakan ke stering kereta lalu hilang ketampanan hidungnya sejurus kemudian? Malangnya juga, kita juga membaca di akhbar akan kisah pertengkaran suami isteri, ada yang patah hidung selepas itu.

Patah hidung biasanya jenis ‘closed fracture’, di mana tiada kulit hidung tercedera. Ia mungkin senget atau melekuk ke dalam. Hidung pesakit biasanya berdarah, sumbat, sakit dan bengkak. Keputusan untuk menjalani pembedahan membetulkan kecacatan hidung ini bergantung kepada betapa ketaranya hidung yang patah dan menurut kehendak pesakit. Kami biasanya akan meneruskan pembedahan sekiranya ia agak ketara dan hanya jika pesakit bersetuju menjalaninya.

Ujian X-ray bukan satu kemestian, tetapi ia wajib dilakukan untuk kes medikolegal. Diagnosis ialah secara pemeriksaan klinikal.

Pembedahan biasanya dilakukan 1 minggu selepas bengkak surut. Ia dijalani secara bius am, seperti yang akan diilustrasi seterusnya. Pada pesakit yang mempunyai daya tahanan kesakitan yang tinggi, saya akan melakukan secara bius setempat di klinik.

Pada jejaka ini, kamu dapat perhatikan akan hidungnya kemek ke dalam selepas trauma. Segmen yang kemek ini perlu diangkat. (imej 1 & 2)

image 2_1

Imej 1 & 2: pandangan hadapan & sisi profil hidung sebelum pembedahan.

image 1_1

Imej 1 & 2: pandangan hadapan & sisi profil hidung sebelum pembedahan.

 Kami tidak memerlukan banyak alatan, tetapi perlu menggunakan forsep (imej 3)

image 3_1

Imej 3: ‘Asch’s septum forceps’, sepasang ‘Walsham’s forceps’ untuk hidung kanan & kiri

Tulang hidung yang patah & telah bersambung di kedudukan yang tidak sepatutnya perlu dipatahkan semula. ‘Walsham’s forceps’ dimasukkan di hidung kanan & dipusing mengikut arah luar dan ke bawah untuk menjadikannya longgar (imej 4)

Imej 4: mematahkan tulang hidung sebelah kanan

Imej 4: mematahkan tulang hidung sebelah kanan

image 5_2

Imej 5: mematahkan hidung kiri

Prosedur ini diulang di hidung kiri (imej 5). Tulang hidung ini menjadi satu segmen yang terapung di bawah kulit.

Apabila longgar, ia mudah diangkat & diletakkan di tengah dengan ‘Asch’s septum forceps’ dan disokong dari atas oleh ibu jari & jari telunjuk doktor (imej 6)

Imej 6: mengangkat tulang hidung

Imej 6: mengangkat tulang hidung

Prosedur ini hamper tamat. Perdarahan agak minimal biasanya & dikawal sebelum pesakit sedar . Kadangkala hidung yang patah tidak boleh diperbaiki kerana tulang itu telah bersambung keras dengan tulang di tepi, terutamanya jika lebih 2 minggu mengalami trauma. Pesakit ini bernasib baik kerana pegawai perubatan kami cekap mendiagnosa masalahnya. (imej 7,8 & 9)

Imej 7,8 &9: pandangan hadapan, sisi & atas selepas pembedahan.

Imej 7,8 & 9: pandangan hadapan, sisi & atas selepas pembedahan.

Imej 7,8 &9: pandangan hadapan, sisi & atas selepas pembedahan.

Imej 7,8 & 9: pandangan hadapan, sisi & atas selepas pembedahan.

Imej 7,8 &9: pandangan hadapan, sisi & atas selepas pembedahan.

Imej 7,8 & 9: pandangan hadapan, sisi & atas selepas pembedahan.

Dia akan dipasang anduh (splint) segitiga di hidung selama 1 minggu untuk menghindari sebarang pergerakan tulang hidung yang masih longgar. Kebanyakkannya tulang yang patah akan sembuh tanpa sebarang masalah.

Untuk renungan, fikir berkali-kali sebelum anda memecut di jalanraya. Juga sentiasa bersabar jika anda sedang meluap dengan kemarahan dan ingin memberi buku lima kepada seseorang. Walau bagaimanapun, bermain bola & dilemparkan dengan pukulan dari siku ke hidung anda adalah agak sukar untuk diramal & dielak.

(Penghargaan: Saya sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pesakit, ibubapa dan kakitangan yang memberi kebenaran mengambil gambar mereka bagi tujuan pendidikan kesihatan bagi pihak awam)

Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Ahmad Nordin, seorang pakar ENT yang bertugas di sebuah hospital di Sabah. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

 

[This article belongs to The Malaysian Medical Gazette. Any republication (online or offline) without written permission from The Malaysian Medical Gazette is prohibited.]

Rujukan:

  • Synopsis of operative ENT Surgery,  Bingham & Hawthorne
  • Essential ENT Practice, Rogan J Corbridge

14 comments for “Bagaimana Pakar ENT Membaiki Hidung Patah? – Dr Ahmad Nordin

  1. hanisa
    April 4, 2014 at 2:40 am

    saya ingin tahu tentang rawatan sinusitis. ya, saya sering selsema, sakit kepala dan terganggu dengan masalah berkaitan hidung. adakah rawatan ini mahal? adakah di hospital kerajaan turut menyediakan rawatan untuk sinusitis?
    apakah dia kaedah balloon?

    • Dr Ahmad Nordin
      April 7, 2014 at 11:32 am

      Terima kasih atas soalan anda Hanisa,

      Keterangan lebih lanjut mengenai penyakit ini ada di dalam artikel saya sebelum ini: https://www.mmgazette.com/sinus-atau-resdung-dr-ahmad-nordin/

      Rawatan ada disediakan di klinik pakar ENT hospital kerajaan biasanya. Rawatan biasanya dengan kaedah ubat semburan hidung & ubat antihistamine. Pembedahan di lakukan sekiranya tiada perubahan dengan ubat atau sekiranya ada komplikasi.

      Kaedah pembedahan biasanya menggunakan alatan seperti forsep, gunting kecil yang digunakan bersama penggunaan endoskopi. Kaedah balloon dikatakan kurang traumatik kepada pembukaan sinus tetapi agak mahal & biasanya dijalankan di hospital swasta. Ada pakar ENT yang gemar kaedah lama & ada yang lebih gemar kaedah balloon.

      Anda boleh berbincang dgn pakar anda mengenai kaedah mana yang sesuai untuk anda sekiranya pembedahan diperlukan.

  2. Johan
    August 10, 2014 at 8:39 pm

    Assalam doktor..kalau nak meluruskan hidung yg bengkok boleh ke?

  3. Dr Ahmad Nordin
    August 14, 2014 at 7:27 pm

    Waalaikumussalam Johan,

    Insyaallah boleh.

    Pembedahan melibatkan patah tulang hidung adalah seperti yang saya tulis dalam artikel di atas.

    Sekiranya bahagian tulang rawan yang lembut yang bengkok di dan ketara apabila dilihat dari dalam rongga hidung- pembedahan tulang rawan hidung akan dilakukan (septoplasty)

    Jika terdapat bengkok yang ketara dapat dilihat dari luar, dan melibatkan tulang rawan & tulang sekitar hidung- pembedahan yang lebih rumit akan dilakukan melibatkan tulang rawan & tulang hidung (septorhinoplasty)

  4. Abu
    August 30, 2014 at 9:23 am

    Tulang hidung saya patah akibat kemalangan jalan raya pada 6 tahun yang lalu dan hidung saya masih senget sehingga sekarang. Adakah pembedahan untuk meluruskannya masih boleh dilakukan, dan berapakah anggaran kos untuk pembedahan tersebut?

    • Abu
      September 13, 2014 at 9:24 pm

      Tulang hidung saya patah akibat kemalangan jalan raya pada 6 tahun yang lalu dan hidung saya masih senget sehingga sekarang. Adakah pembedahan untuk meluruskannya masih boleh dilakukan, dan berapakah anggaran kos untuk pembedahan tersebut?

  5. emi
    October 5, 2014 at 3:37 am

    Salam, dr, saya mengalami masalah sukar bernafas, bentuk hidung sy dr pandangan hadapan seperti senget ke arah sebelah kiri, jika dari pandangan sisi hidung sy sperti melengkung dan lubang hidung sebelah kiri sy mengalami tidak lancar utk bernafas..bentuk yg senget ini di alami sejak kecil. Jadi mcm mana solusinya ye doc?

    • Dr Ahmad Nordin
      January 8, 2015 at 9:39 pm

      Wasalam Emi,

      Mohon maaf kerana lambat menjawab soalan anda.

      Kemungkinan besar tulang hidung & rawan tengah hidung (septum) anda senget. Anda patut berjumpa dengan pakar ENT untuk pemeriksaan lanjut. Bergantung kepada jenis & tahap yang bengkok, pembedahan mungkin hanya melibatkan pembetulan rawan (septoplasty) yang lebih mudah; atau pembetulan tulang hidung & rawan (septorhinoplasty) yang lebih rumit & haya boleh dilakukan oleh beberapa pakar ENT sahaja.

      Anda mungkin diberi pilihan untuk menggunakan ubat semburan hidung sekiranya ia berkesan & anda kurang berkenan untuk pembedahan.

  6. Dr Ahmad Nordin
    January 8, 2015 at 9:32 pm

    Mohon maaf atas kelewatan menjawab soalan.

    Tulang hidung yang patah senang dibaiki dalam masa 1 atau 2 minggu pertama selepas kemalangan. Jika lama, tulang tersebut susah untuk dipulihkan ke bentuk asal dan memerlukan lebih kepakaran.

    Saya kurang pasti mengenai kos pembedahan. Jika di hospital kerajaan, ia mungkin menelan belanja dalam RM100-200, tetapi beberapa ribu di hospital swasta. Sila bincang dengan doktor & pihak hospital dengan lebih lanjut sebelum pembedahan.

  7. nina
    February 6, 2015 at 10:30 am

    asalamulaikum dr… anak sy semasa kecil dalam usia 3 tahun telah memasukkan bateri mainan yang berbentuk saiz bateri jam tangan ke dalam hidung selama sekitar 1 bulan baru dapat dikesan dan dikeluarkan….
    sekarang umurnya sudah 14 tahun dan tidak mempunyai tulang rawan di hidung….
    Apakah ada rawatan yang boleh saya perolehi di hospital kerajaan atau swasta?
    dan berapakah kos rawatan tersebut?

    • Dr Ahmad Nordin
      February 8, 2015 at 12:10 pm

      Waalaikumussalam Nina,

      Pembedahan ini agak sukar dijalankan kerana ia perlu menggunakan graf (dalam kes ini- tisu rawan dari bahagian lain) untuk menjadi tulang rawan yang baru. Kesukaran bergantung dengan saiz kekosongannya. Jika saiz kekosongan nya besar, ia lebih sukar. Kes yang sukar biasanya dijalankan oleh pakar ENT yang mempunyai subkepakaran dalam bidang hidung atau pakar bedah plastik (plastic surgeon).

      Anda perlu berjumpa dengan pakar ENT dan mereka akan merujuk kepada pakar hidung atau pakar bedah plastik. Mereka akan merujuk jika ke pakar di kerajaan. Jika di swasta- anda boleh berjumpa terus tanpa rujukan.

  8. Fazirah
    February 13, 2015 at 10:46 am

    Assalamualaikum Dr,
    saya ingin bertanya tentanng kebarangkalian bayi mengalami patah tulang hidung atau tulang lembut hidung.
    Bayi saya pernah terjatuh semasa anak sulung saya leka setelah meninggalkannya sebentar di atas meja tulis. Ketika itu bayi saya berusia 7 bulan. Ketika mengangkatnya, beliau termuntah sekali, dan saya tidak mengesan apa- lebam atau luka atau darah pada kepala mahupu badan anak saya. Ketika berjumpa dengan doktor juga, beliau didapati tidak mengalami apa-apa kecederaan.

    Walau bagaimanapun, saya sedikit perasan bahawa hidung anak saya seperti kemik. Saya merasakan itu biasa sehinggalah usianya mencecah setahun, saya ada membelek gambar-gambar anak saya ketika masih bayi sebelum kejadian. Ternyata sememangnya hidungnya lebih mancun atau tinggi daripada hidungnya sekarang.

    Soalan saya,
    a)Adakah kemungkinan anak saya sebenarnya mengalami kepatahan hidung sama ada tulang hidung atau tulang lembut hidungya.

    b) Di dalam gambar xray tidaklah kelihatan apakah kemungkinan patah hidung boleh berlaku walaupun tidak lebam?

    c) Adakah kemungkinan untuk bayi saya dipulihkan semula hidungnya (sama ada tulang hidung atau tulang lembut) supaya kelihatan seperti yang asal. Bayi saya sekarang telahpun berusian setahun 10 bulan.

    Sekian terima kasih.

    • Dr Ahmad Nordin
      March 2, 2015 at 4:26 pm

      Waalaikumussalam Fazirah,

      a) Ada kemungkinan, kerana ada nampak perbezaan ketara pada foto sebelumnya

      b) XRay ialah sebagai ujian sokongan kepada diagnosis patah hidung, lebih digunakan dalam kes medikolegal. Diagnosis patah hidung lebih bergantung kepada pemeriksaan klinikal atas diri pesakit. Xray hanya boleh mengesan patah tulang (lebam atau tidak lebam) dan bukannya patah rawan.

      c) Bayi agak jarang patah tulang hdung kerana hidung bayi terdiri dari lebih rawan bebanding dengan tulang. Bagaimanapun, tulang & rawan hidung akan membesar sehingga umurnya dalam belasan tahun. Pembedahan tulang hidung biasanya dijalankan selepas umur pesakit dalm lingkungan 18 tahun.

  9. aina
    June 4, 2015 at 4:34 pm

    Assalamualaikum Dr.

    Sy mengalami masalah tulang hidung bengkok (bentuk S). Keadaan ini menyebabkan saya seringkali sukar untuk bernafas. Adakah cara lain yang boleh digunakan selain terpaksa melakukan pembedahan? Terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box