5 mitos tentang kencing manis – Dr. Nur Hidayati

Source: http://guardianlv.com/

Source: http://guardianlv.com/

Pada 2011, Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Nasional (NHMS) melaporkan kira-kira 2.6 juta rakyat Malaysia disahkan menghidap kencing manis. Walaupun ramai rakyat kita yang menghidap kencing manis, masih ramai yang tidak memahami penyakit ini secara mendalam.

Mitos 1 : Kencing manis adalah akibat makan banyak makanan yang manis

Fakta ini ada benar dan ada yang salah. Tidak semua pesakit kencing manis mendapat penyakit ini kerana makan makanan manis dengan banyaknya. Anda mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap kencing manis jika ada di kalangan keluarga anda menghidap kencing manis (seperti ibu bapa dan adik beradik). Jika anda mempunyai berat badan berlebihan – anda juga mempunyai risiko tinggi untuk mendapat kencing manis. Diet yang terdiri daripada makanan berkalori tinggi dan berlemak (sama ada manis atau tidak) boleh mengakibatkan obesiti. Oleh itu, jika anda mahu mengurangkan risiko anda untuk menjadi obes – pemakanan yang berkalori tinggi hendaklah dielakkan.

Sekiranya masih mahu makan makanan manis, ambillah dalam kuantiti yang terhad dan pada masa yang sama mengamalkan senaman yang bersesuaian.

Mitos 2: Pesakit kencing manis lebih senang menghidap jangkitan kuman

Jika anda menghidap kencing manis dan tidak mengawalnya dengan baik, anda lebih mudah mendapat penyakit berjangkit berbanding orang yang sihat. Malah, jika pesakit kencing manis dijangkiti oleh kuman, risiko kematian mereka lebih tinggi berbanding mereka yang sihat. Maka, pesakit kencing manis perlu menjaga kebersihan diri terutamanya bahagian gigi dan kaki, memeriksa bahagian tubuh untuk ulser dan menjaga kebersihan bahagian ulser untuk mengelakkan jangkitan bakteria pada bahagian yang luka.

Source: http://www.sciencedaily.com/

Source: http://www.sciencedaily.com/

Mitos 3: Saya gagal untuk mengawal kencing manis menyebabkan doktor saya menghukum saya untuk mengambil insulin/ubatan

Kencing manis jenis 2 (diabetes mellitus type 2) adalah akibat tisu tubuh kita menjadi kebal terhadap kesan insulin yang dihasilkan dalam badan. Maka, walaupun gula dalam darah adalah tinggi, tisu tubuh tidak mampu menggunakan gula dalam darah dengan berkesan. Ini menyebabkan kandungan gula dalam darah menjadi tinggi.

Pada peringkat awal penyakit kencing manis khususnya jenis 2, boleh diatasi dengan mengawal kalori dalam pemakanan kita dan bersenam untuk mencapai berat badan yang ideal.  Namun, untuk kebanyakan pesakit kencing manis jenis 2, penyakit ini boleh menjadi lebih teruk di mana kawalan pemakanan yang baik dan senaman harian sahaja tidak memadai untuk mengawal paras gula dalam badan ke tahap yang sempurna atau selamat.

Pada peringkat ini – doktor akan menyarankan ubat kencing manis termasuklah insulin untuk mengawal kandungan gula dalam badan. Jika anda tidak mahu mengambil ubat-ubatan ini dan paras gula anda kekal di paras tinggi, anda boleh mendapat akibat buruk atau komplikasi seperti kegagalan buah pinggang, strok, serangan sakit jantung atau buta akibat katarak atau masalah retinopati diabetik.

Mitos 4: Kencing manis bukan masalah kesihatan serius

Tahukah anda penyebab majoriti kegagalan buah pinggang sehingga bergantung pada mesin dialisis di Malaysia adalah kencing manis?

Tahukah anda jika anda menghidap kencing manis – anda berisiko tinggi menghadapi  maut dari angin ahmar atau serangan penyakit jantung?

Tahukah anda bahawa kencing manis adalah penyebab paling tinggi buta dan hilang upaya akibat amputasi dalam golongan dewasa Malaysia?

Tahukah anda penghidap penyakit kencing manis berpotensi mendapat keadaan yang dinamakan ‘diabetic ketoacidois’ atau ‘hyperglycemic hyperosmolar syndrome’ yang boleh mengakibatkan maut?

Adakah kematian dan kehilangan upaya masalah yang bukan serius?

Jika anda bersetuju bahawa kencing manis adalah masalah kesihatan serius, jangan ambil mudah jika paras gula anda di tahap berlebihan dan bahaya. Masih ramai rakyat Malaysia yang tidak menyedari bahawa mereka menghidap penyakit kencing manis kerana pada peringkat awal, mereka tidak mengalami sebarang simptom penyakit ini. Oleh itu, anda disarankan memeriksa paras gula anda walaupun anda tidak mengalami apa-apa simptom.

Mitos 5: Golongan tua sahaja mendapat kencing manis

Terdapat kanak-kanak seawal tujuh tahun telah didapati menghidap kencing manis. Dahulu, kanak-kanak yang menghidap penyakit kencing manis selalunya terdiri daripada kencing manis jenis 1 (diabetes mellitus type1) yang lebih disebabkan oleh faktor genetik dan autoimun. Namun, makin ramai kanak-kanak di Malaysia menghidap penyakit kencing manis jenis 2. Kebanyakan mereka mempunyai berat badan berlebihan dan mengamalkan pemakanan yang tidak sihat. Justeru itu, ibu bapa disarankan mengawal pemakanan anak-anak dari kecil lagi. Ibu bapa juga harus mencegah tabiat makan makanan segera atau snek yang tidak berkhasiat.

Source: http://www.wddpe.com/join/

Source: http://www.wddpe.com/join/

Kanak-kanak juga hendaklah digalakkan bersenam dari peringkat kecil supaya ia menjadi tabiat yang sihat dan diamalkan secara berterusan apabila mereka meningkat dewasa. Bawalah mereka menyertai kegiatan luar seperti bersukan dan aktiviti lasak yang sesuai dengan peringkat umur mereka. Galakkan mereka menceburi aktiviti yang aktif. Dengan cara ini, kita dapat mengelakkan gejala obesiti di kalangan kanak-kanak Malaysia dan seterusnya membendung peningkatan kes kencing manis di kalangan mereka.

14 November adalah Hari Diabetes Sedunia. Manfaatkanlah hari ini untuk menukar cara hidup anda ke arah yang lebih sihat untuk bebas dari penyakit kencing manis.

Pautan berguna:

Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Nur Hidayati, seorang doktor perubatan dalaman yang bertugas di sebuah hospital di Selangor. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

Rujukan

  • National Health and Morbidity Survey 2011

[Artikel ini kepunyaan The Malaysian Medical Gazette. Sebarang pencentakan semula (samada di atas talian atau di luar talian) tanpa keizinan bertulis daripada pihak The Malaysian Medical Gazette tidak dibenarkan.]

7 comments for “5 mitos tentang kencing manis – Dr. Nur Hidayati

  1. Ahmad Ghazali
    October 29, 2013 at 9:38 pm

    Bolehkah g 6pd dirawat?

    • Dr. Khoo Yoong Khean
      October 31, 2013 at 8:45 am

      Salam Encik Ahmad Ghazali,

      Pada masa sekarang, G6PD adalah satu keadaan genetik. Oleh sebab itu, G6PD tiada rawatan tetapi ada cara-cara untuk mengelakkan komplikasi.

      Untuk lebih maklumat, sila rujuk kepada doktor keluarga ataupun doktor kanak-kanak.

      Sekian.

  2. starzgate
    October 30, 2013 at 8:25 am

    I am a type 1 diabetes and 24 years old, and quite sad when most people don’t really know that there are two type of diabetes. People keep saying I get diabetes because i consume too much carbs and sugar which are not. This article is more too type 2 diabetes and less info on type 1.

    • Dr. Khoo Yoong Khean
      October 31, 2013 at 8:47 am

      Hello,

      First of all, thank you for the comment. Yes, this is more of type 2 DM. Hopefully in the future we can publish an article regarding type 1 as well.

      Thank you.

    • Dr Nur Hidayati
      October 31, 2013 at 9:14 am

      Starzgate

      Thankyou for commenting – in my effort to keep this article simple – I have intentionally left out explanation on type 1. I decided to focus on type 2 DM as it is much common n largely preventable. I am going to do a follow up article on diabetes type 1 later. But in english

      • starzgate
        November 4, 2013 at 1:14 am

        Thanks! I’m interested to know more about type1 in Malaysia itself. The scenario, any support group or anything related 🙂 I don’t really get much info from my doc in klinik kesihatan about type1, on my first visit being suspected, i’ve been given the insulin pen with pharmacist instruction on how to use and how many dose. To be honest it makes me blur, so i didnt use it till after 4months when i revisit the doc and getting new insulin supply after reading many info about type 1 in internet. Till now, im not really sure if i should request to do my schedule check up in hospital instead of klinik kesihatan.

  3. Hairi
    November 3, 2015 at 12:56 am

    Hi doktor…
    Saya pengidap kencing manis dan berumur 27 tahun.Saya mengetahuinya semenjak berusia 18 tahun.Pada peringkat permulaannya saya diberi rawatan ubat metformin tetapi kurang berkesan kerana kawalan paras gula saya masih tinggi.Kemudian pada usia 19 tahun saya beralih ke rawatan cucukan insulin atrapid sebelum makan dan insulatard sebelah malam sebelum tidur.Bagaimana cara untuk saya mengetahui saya pengidap DM type 1 atau DM type 2.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Please type the characters of this captcha image in the input box

Please type the characters of this captcha image in the input box